Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum mereka yang menerima rasuah dan melepaskan penjenayah daripada hukuman hudud? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hudud menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat adalah hukum yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, dan tidak boleh diubah-ubah oleh manusia, seperti hukum zina, murtad, dan minum arak.

Ia merupakan kata pinjaman bahasa Arab (الحُدُودُ) dan juga jamak kepada kalimah al-had (الحَدُّ), yang bermaksud menghalang. Ia digunakan untuk merujuk kepada hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘ ke atas pelaku jenayah. Ia dinamakan demikian kerana hukuman ini menjadi sebab yang menghalang pesalah itu dari mengulangi kesalahan tersebut, serta menghalang sesiapa sahaja yang berhasrat untuk melakukannya.

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga digunakan untuk merujuk kepada maksiat-maksiat yang dilarang, sebagaimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

تِلْكَ حُدُودُ اللَّهِ فَلَا تَقْرَبُوهَا

Maksudnya: “Itulah batas-batas larangan Allah, maka janganlah kamu  menghampirinya.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Yakni, itulah maksiat-maksiat yang telah Allah SWT larang dari kita melakukannya, oleh itu janganlah kita mendekatinya. Imam al-Qurtubi ketika menafsirkan ayat di atas berkata, (حُدُودُ اللَّهِ) dalam ayat ini bermaksud, hukum-hakam yang disebutkan dalam ayat ini merupakan batas-batas larangan Allah, maka janganlah melanggarnya. Dan (تِلْكَ) pula sebagai isyarat kepada perintah-perintah serta larangan-larangan yang disebutkan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 2/337)

Kalimah al-had (الحَدُّ) juga merujuk kepada apa yang telah Allah SWT tetapkan dari hukum-hakam-Nya, sepertimana yang disebutkan dalam firman Allah SWT:

مَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّهِ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ

Maksudnya: “Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim.”

(Surah al-Baqarah: 229)

Imam Abu Bakar al-Jaza’iri berkata, (حُدُودَ اللَّهِ) yang dimaksudkan adalah apa yang wajib dilakukan oleh seseorang hamba itu seperti mentaati perintah Allah dan tidak menyelisihinya. (Lihat Aisar al-Tafasir, 1/213)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji pula mendefinisikan al-had (الحَدُّ) sebagai suatu hukuman yang telah ditetapkan oleh syara‘, dan ianya tidak boleh ditokok tambah atau dikurangkan ketetapannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/54)

Sebagai contoh, telah thabit riwayat daripada Abu Burdah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يُجْلَدُ فَوْقَ عَشْرِ جَلَدَاتٍ إِلَّا فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ

Maksudnya: “(Seseorang) tidak boleh disebat lebih daripada sepuluh kali sebatan melainkan dengan had yang telah ditetapkan oleh Allah (hukuman hudud).”

Riwayat al-Bukhari (6848) dan Muslim (1708)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani mengatakan, maksud sabda Rasulullah SAW (حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ) adalah apa sahaja yang telah disebutkan oleh syara‘ kadarnya, sama ada sebatan atau pukulan yang dikhususkan, dan disepakati tentangnya, seperti zina, mencuri, minum arak, al-hirabah, tuduhan qazaf , membunuh, qisas, atau murtad. (Lihat Fath al-Bari, 12/177)

Syeikh ‘Abdullah al-Bassam di dalam kitabnya Taudhih al-Ahkam (6/319) pula membawakan perbincangan ulama’ mengenai maksud hudud (الحُدُودُ) yang datang dalam banyak nas-nas al-Quran serta Sunnah al-Nabawiyyah. Sebahagian mereka berpandangan bahawa yang dimaksudkan adalah apa telah yang ditentukan hukumannya oleh syara‘, seperti hukuman zina, qazaf, mencuri, qisas kerana membunuh atau mencacatkan anggota atau mencederakan. Maka selain dari maksiat-maksiat yang disebutkan ini, hukuman ke atas pelakunya adalah ta‘zir[1]

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa perlaksanaan hukuman hudud merupakan hukuman yang ditetapkan oleh Allah SWT untuk dilaksanakan oleh pemerintah kepada mereka yang melakukan jenayah seperti melakukan pembunuhan, penzinaan, pencurian dan sebagainya. Oleh yang demikian, tindakan menerima dan memberi rasuah dalam hukuman hudud adalah diharamkan oleh syarak baik kepada pemerintah mahupun penjenayah.

Hal ini sebagaimana yang  yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:

لَعْنَةُ اللَّهِ عَلَى الرَّاشِي وَالْمُرْتَشِي

Maksudnya: “Laknat Allah kepada pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

 Riwayat Ahmad (6984) dan Ibnu Majah (2313)

Dalam hadith lain yang turut diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.Anhuma, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ -صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ- الرَّاشِىَ وَالْمُرْتَشِىَ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah dan penerima rasuah.”

Riwayat Ahmad (6532, 6778, 6830), Abu Daud (3582) dan al-Tirmizi (1337)

Al-Fayumi dalam menyatakan tentang rasuah beliau menyebut : “Pemberi rasuah akan terjerumus dalam laknat, kecuali jika ia memberikan rasuah tersebut sebagai bentuk pertahanan terhadap kerugian yang dapat menimpanya. Jika pemberi rasuah bertujuan untuk membatalkan hak yang sah atau mencapai sesuatu yang salah, maka itulah pemberi rasuah yang dilaknat menurut sabda Rasulullah SAW. Namun, jika melalui rasuah tersebut ia mendapatkan hak atau menyingkirkan kezaliman terhadap dirinya, maka tindakan ini tidaklah haram. Manakala, penerima rasuahlah yang lebih ditegah dan  dilaknat.(Lihat Fath al-Qarib al-Mujib ala’ Targhib wa Tarhib,9/578 )

Ibn Taimiyyah dalam soal ini menyatakan: Tidak dibenarkan untuk mengambil harta daripada penzina, pencuri, peminum arak, penyamun jalanan, atau yang seumpamanya, sebagai ganti untuk menghentikan pelaksanaan hudud; tidak untuk Baitulmal mahupun untuk pihak lain. Harta yang diambil untuk menghentikan pelaksanaan hudud adalah haram. Jika pemerintah melakukan demikian, maka dia telah melakukan dua keburukan besar: Pertama: Menghentikan pelaksanaan hudud, dan kedua: Memakan harta haram. (Lihat Majmu’ Fatawa, 28/302)

Bahkan, Nabi SAW telah memberi amaran agar tidak berusaha membatalkan hudud setelah ia sampai kepada pihak berkuasa. Ini dibuktikan dalam sebuah hadith sahih mengenai kisah Usamah, di mana Nabi SAW, dengan marah, berkata kepadanya setelah dia memohon syafaat untuk seorang wanita yang mencuri:

تَشْفَعُ فِي حَدٍّ مِنْ حُدُودِ اللَّهِ؟» ثُمَّ قَامَ فَخَطَبَ، قَالَ: «يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنَّمَا ضَلَّ مَنْ قَبْلَكُمْ، أَنَّهُمْ كَانُوا إِذَا سَرَقَ الشَّرِيفُ تَرَكُوهُ، وَإِذَا سَرَقَ الضَّعِيفُ فِيهِمْ أَقَامُوا عَلَيْهِ الحُدُودَ، وَايْمُ اللَّهِ، لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ بِنْتَ مُحَمَّدٍ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، سَرَقَتْ لَقَطَعَ مُحَمَّدٌ يَدَهَا

Maksudnya: “Apakah engkau mahu memberi pembelaan dalam (meninggalkan perlaksanaan hukuman) hudud yang telah ditetapkan Allah?” Kemudian Baginda bangun dan berucap: “Wahai manusia, sesungguhnya umat-umat sebelum kamu telah tersesat kerana apabila orang kenamaan mencuri mereka membiarkannya(tidak mengenakan hukuman hudud kepadanya), namun apabila orang lemah di antara mereka mencuri mereka menegakkan hukuman ke atasnya. Demi Allah, jikalau Fatimah binti Muhammad sekalipun yang mencuri nescaya Muhammad akan memotong tangannya!

Riwayat al-Bukhari (6788)

Hadith ini memberi amaran bahawa segala usaha untuk membatalkan hukuman hudud yang telah ditetapkan oleh Allah SWT adalah tidak dibolehkan. Ini adalah kerana hukum hudud bertujuan untuk mengekalkan keadilan dan mencegah kemungkaran di kalangan umat Islam.

Oleh yang demikian, Allah SWT memberi peringatan kepada para ulama atau pemerintah agar tidak lalai dan cuai dalam melaksanakan kewajipan mereka dalam menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Hal ini sebagaimana firman-Nya:

لَوْلَا يَنْهَىٰهُمُ ٱلرَّبَّـٰنِيُّونَ وَٱلْأَحْبَارُ عَن قَوْلِهِمُ ٱلْإِثْمَ وَأَكْلِهِمُ ٱلسُّحْتَ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا۟ يَصْنَعُونَ

Maksudnya: “Tidakkah para ulama dan pendeta mereka melarang daripada mengeluarkan perkataan-perkataan yang berdosa dan memakan harta haram. Sesungguhnya amatlah keji perbuatan-perbuatan yang telah mereka lakukan.”

(Surah al-Maidah: 63)

Ibn Juzai ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: Ayat ini adalah antara ayat yang paling keras terhadap mereka yang meninggalkan amar ma‘ruf dan nahi munkar, kerana Allah SWT telah menggabungkan antara pelaku kemungkaran dan mereka yang meninggalkan pencegahan kemungkaran dalam kecaman. Ibn  ‘Abbas berkata: Tidak ada ayat dalam al-Quran yang lebih keras kecamannya daripada ayat ini. (Lihat Zad al-Masir, 1/565)

Justeru, sebagai pemerintah, adalah wajib untuk berintegriti dalam menjalankan amanah dengan tidak menerima rasuah atau membela penjenayah yang telah melakukan kezaliman terhadap orang lain. Tindakan menerima rasuah daripada mereka yang dikenakan hukuman hudud, dengan tujuan untuk membatalkan atau mengurangkan hukuman tersebut, bukan sahaja melanggar perintah Allah SWT, malah boleh menyebabkan penyebaran jenayah dan ketidakadilan dalam masyarakat.

Keputusan untuk tidak melaksanakan hukuman hudud yang ditetapkan oleh Allah akan mengancam keamanan masyarakat, kerana ia memberikan gambaran bahawa pelanggaran hukum boleh dimaafkan melalui rasuah atau pengaruh. Oleh itu, penting bagi pemerintah untuk menegakkan keadilan dan memastikan bahawa hukuman hudud dilaksanakan dengan adil dan tanpa sebarang bentuk kompromi, demi memastikan keselamatan dan keharmonian masyarakat.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”

Wallahua’lam

Nota Hujung:

[1] Ta‘zir merupakan hukuman yang tidak ditetapkan oleh syara‘, bahkan ditentukan sendiri oleh pemerintah berdasarkan kebijaksanaannya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 8/62)

Leave a Reply