Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bagi sesiapa yang terlupa untuk membaca doa masuk tandas kerana mungkin sangat tidak tahan lalu terlupa, bolehkan dia membacanya di dalam tandas ketika dia teringat? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menyatakan bahawa di antara bukti kesempurnaan syariat agama ini adalah terdapatnya adab-adab yang diberi penekanan dan diajari kepada setiap orang Islam untuk mempelajarinya dan menjaganya — yakni beramal dengannya — yang mana adab-adab tersebut merangkumi setiap aktiviti siang malam.
Seterusnya, di antara adab tersebut pula adalah adab dan doa memasuki tandas. Terdapat riwayat daripada Anas bin Malik RA:
كَانَ النَبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم إِذَا دَخَلَ الخَلَاءَ قَالَ: اللهُمَّ إِنِّيْ أَعُوْذُ بِكَ مِنَ الخُبُثِ وَالخَبائِثِ
Maksudnya: “Apabila Nabi SAW ingin memasuki tandas. Baginda bersabda: ‘Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan jantan dan syaitan betina.’”
Riwayat al-Bukhari (139)
Selain itu, terdapat riwayat lain daripada Ali bin Abu Talib bahawa Rasulullah SAW bersabda:
سِتْرُ مَا بَيْنَ الْجِنِّ وَعَوْرَاتِ بَنِي آدَمَ إِذَا دَخَلَ الْكَنِيفَ أَنْ يَقُولَ: بِسْمِ اللَّهِ
Maksudnya: “Penghalang — yakni hijab — antara pandangan mata jin dan aurat Bani Adam, ketika memasuki kanif — yakni tempat buang air — adalah membaca bismillah.”
Riwayat Ibn Majah (297); al-Tirmizi (606) dengan sedikit perbezaan.
Mengenai hal ini, al-Mubarakfuri menukilkan pendapat al-Munawi yang menyatakan, sebab perlunya membaca basmalah kerana nama Allah SWT itu ibarat segel (kunci) bagi anak Adam yang mana jin dan syaitan tidak akan mampu untuk membukanya. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 3/184)
Selain itu, Sa‘id bin Ali Wahf al-Qahtani juga ada menyebutkan bahawa bacaan basmalah ketika mahu masuk ke dalam tandas, ketika hendak menanggalkan pakaian atau menyelaknya bagi menunaikan suatu hajat di dalam tandas adalah menepati syariat sebagaimana di dalam riwayat Ali R.A. Hikmahnya adalah untuk memohon pertolongan daripada Allah SWT supaya syaitan dan jin tidak melihat aurat anak-anak Adam ketika menunaikan hajat, menanggalkan pakaian atau seumpamanya. (Lihat Ithaf al-Muslim bi Syarhi Husni al-Muslim, hlm. 103).
Seterusnya, dalam menjawab soalan di atas, Ibn al-Munzir menukilkan daripada ‘Ikrimah yang menyatakan, jangan menyebut nama Allah dengan lidah ketika berada di dalam tandas, tetapi ucapkanlah dengan hati. (Lihat al-Ausat, 1/341).
Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith tentang doa masuk tandas (اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْخُبُثِ وَالْخَبَائِثِ), beliau menyatakan: Bilakah hendak mengucapkan doa ini? Sesiapa yang berpendapat makruh menyebut nama Allah dalam keadaan itu, memperincikan: Adapun di tempat yang dikhususkan untuk itu (tandas), maka ucapkan doa itu sejurus sebelum masuk. Adapun di tempat selainnya (yang tidak dikhususkan untuk itu) maka ucapkan pada permulaan (sesuatu perbuatan), seperti ketika melipat pakaian. Ini adalah pandangan majoriti ulama. Mereka juga berkata tentang orang yang terlupa: Beristighfar di dalam hati tanpa menyebutnya dengan lidah. (Lihat Fath al-Bari, 1/244).
Begitu juga dalam Hasyiah al-Tahtawi ‘ala Maraqi al-Falah (2/49) turut dinyatakan bahawa jika seseorang terlupa (membaca doa masuk tandas), maka ucapkannya dalam hati dan bukannya dengan lidah.
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan di atas, kami berpendapat dan tegaskan sekali lagi bahawa sesiapa yang ingin memasuki tandas maka dia boleh membaca doa masuk tandas sejurus sebelum memasuki tandas atau lebih awal sedikit. Namun, bagi sesiapa yang terlupa membaca doa sebelum masuk tandas, kemudian baru mengingatinya setelah masuk, maka tidak disyariatkan untuk membacanya kerana zikir itu telah terlepas waktu.
Begitu juga kerana tidak dibolehkan menyebut zikir dan nama Allah di dalam tandas, bagi bertujuan menjaga kesucian nama Allah di dalamnya, lebih-lebih lagi tandas merupakan tempat yang dianggap kotor. Namun, jika seseorang itu membaca doa masuk tandas atau beristighfar di dalam hati tanpa melafazkan dengan lidah, maka hal itu adalah tidak mengapa dan dibolehkan.
Saya mengambil kesempatan dengan menyebut kata-kata orang tua akan perihal nikmat Allah berkenaan kesihatan kepada kita, katanya:
- Kalau kamu dapat makan, itu adalah nikmat
- Kalau kamu dapat berjalan, itu adalah nikmat
- Kalau kamu dapat lihat, itu adalah nikmat
- Kalau kamu dapat mendengar, itu adalah nikmat
- Kalau kamu dapat qadha hajat, itu adalah nikmat
Inilah nikmat sihat yang sewajarnya kita hargai dan syukuri kepada Yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmat-Mu – dalam kumpulan hamba-hamba-Mu yang soleh.”