#7096: Memakan Burung yang Memakan Semut

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah hukum memakan burung yang mana pada sesetengah keadaan seperti dalam musim mengawan ia memakan semut selain daripada memakan biji-bijian? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ كَذَلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya:Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal daripada rezeki yang dikurniakan-Nya?’ Katakanlah: ‘Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia; (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari kiamat.’ Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.

(Surah al-A‘raf: 32)

Muhammad Ali al-Sabuni menyatakan bahawa ayat di atas adalah bagi menolak pendapat sesiapa yang telah mengharamkan sesuatu sama ada makanan, atau minuman atau pakaian, menurut pendapat diri mereka sendiri dan bukannya syariat daripada Allah SWT. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 2/15).

Seterusnya, di sana terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal — yakni berlepas daripada hukum haram.

Bahkan al-Mawardi dalam kitabnya, al-Hawi al-Kabir ada menjelaskan berkenaan tiga kelompok haiwan yang terkait dengan hukum halal dan haram, di mana beliau menyatakan, adapun binatang darat ada dua jenis: Jenis yang melata (hidup di tanah) dan jenis yang terbang. Perbahasan dalam bab ini mencakupi binatang halal dan haram yang terbahagi menjadi tiga bahagian. Pertama, binatang yang ketentuan halalnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran atau sunnah (hadith). Kedua, binatang yang ketentuan haramnya ada dinyatakan di dalam nas al-Quran  atau sunnah (hadith). Ketiga, binatang yang ketentuan halal atau haramnya tidak ditentukan oleh nas al-Quran atau sunnah. Dalam hal ini, dua ayat (iaitu ayat 4 surah al-Ma’idah dan ayat 157 surah al-A‘raf) dan hadith Nabi SAW boleh dijadikan sebagai dasar/kayu ukur  dalam menentukan kehalalan atau keharamannya.

Adapun ayat yang dimaksudkan adalah firman Allah SWT:

يَسْأَلُونَكَ مَاذَا أُحِلَّ لَهُمْ ۖ قُلْ أُحِلَّ لَكُمُ الطَّيِّبَاتُ

Maksudnya: “Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): ‘Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?’ Bagi menjawabnya katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’

(Surah al-Ma’idah: 4)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa dijadikan yang baik-baik itu sebagai halal.

Manakala ayat kedua pula adalah firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk.

(Surah al-A‘raf: 157)

Dalam ayat di atas menunjukkan bahawa apa yang baik-baik itu dijadikan sebagai halal, manakala apa yang buruk itu dijadikan sebagai haram. Ayat ini lebih umum daripada ayat yang pertama kerana ayat pertama hanya khusus pada penghalalan yang baik-baik, sedangkan ayat ini merangkumi penghalalan yang baik-baik dan pengharaman yang buruk-buruk. Maka Dia menjadikan yang baik itu halal dan yang buruk itu haram. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/132).

Justeru, dapat difahami bahawa standard kehalalan sesuatu makanan atau minuman itu bergantung kepada sama ada ia tayyibat (benda yang baik-baik) ataupun tidak, begitu juga sebaliknya di mana makanan atau minuman itu dikira sebagai haram disebabkan oleh khaba’ith (benda yang buruk).

Demikianlah juga Imam al-Haramain al-Juwaini turut menyebutkan, di antara usul (atau asas) yang dapat dijadikan sebagai rujukan dalam soal penghalalan dan pengharaman sesuatu ialah apa yang dianggap baik dan dianggap buruk. Imam al-Syafi‘i telah menjadikannya sebagai dasar utama dan menetapkannya berdasarkan dengan firman Allah SWT (dalam surah al-Ma’idah ayat 4 yang bermaksud): “Katakanlah: ‘Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik.’” (Lihat Nihayah al-Matlab fi Dirayah al-Mazhab, 18/210)

Malah, al-Suyuti juga ada menjelaskan berkenaan haiwan yang susah untuk ditentukan statusnya; sama ada ia halal atau haram sebagaimana beliau nyatakan bahawa haiwan yang susah untuk diketahui berkenaan kehalalan atau keharamannya, ada dua pendapat. Pendapat yang kuat di antara dua pendapat itu adalah halal hukumnya seperti mana dikatakan oleh al-Rafi‘i. Manakala al-Mutawalli pula berpendapat, haiwan seperti itu adalah haram untuk dimakan. Namun, Imam al-Nawawi menyelisihi pendapat ini dengan menyatakan, pendapat yang lebih dekat (dengan kebenaran) dan selari dengan pendapat Imam al-Syafi‘i adalah halal. (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, hlm. 60).

Berkenaan hukum yang berkait dengan burung juga, diharamkan untuk memakan burung yang mempunyai kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan. Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803

Seterusnya, berkenaan haiwan yang menjadikan semut sebagai salah satu makanannya. Kami katakan bahawa terdapat perbahasan berkenaan haiwan yang memakan najis yang dipanggil sebagai haiwan jallalah. Ringkasnya menurut Ibn Manzur, Abu Daud dan pengarang Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’ mendefinisikan haiwan jallalah sebagai haiwan yang mana makanannya adalah najis dan seumpamanya, yang terdiri daripada tahi dan benda-benda kotor. (Lihat Mu‘jam Lughah al-Fuqaha’, 1/165; Lisan al-‘Arab, 11/119; Sunan Abi Daud, 3/336).

Semut termasuk dalam kategori haiwan yang tidak memiliki darah merah seperti serangga, ulat dan seumpamanya. Haiwan seperti ini ketika hidupnya dianggap suci dan bukannya najis. Adapun ketika matinya, jumhur ulama berpendapat, ia dianggap suci dan bukan najis manakala ulama Syafi‘iyyah berpendapat, ia adalah najis.

Mengenai hal ini, Imam al-Nawawi menyebutkan, terdapat dua tariq (pendapat/aliran). Salah satunya, berkenaan kenajisannya ada dua pendapat. Jika kita katakan ia najis, maka ia telah menajiskan air. Sekiranya tidak (yakni bukan najis), maka ia tidak menajiskan air. Ini merupakan pendapat al-Qaffal. Manakala aliran (tariq) kedua pula, haiwan itu dikira sebagai najis secara pasti. Inilah pendapat yang diputuskan oleh ulama dari Iraq dan selain mereka. Inilah pendapat yang sahih kerana ia termasuk dalam bangkai. Seterusnya mazhab Imam Malik dan Abu Hanifah berpendapat, ia tidak menjadi najis disebabkan oleh kematiannya. Dalil kami (ulama mazhab Syafi‘i), haiwan itu adalah bangkai. Namun, air tidak menjadi najis kerana susah untuk menjaga dan memelihara daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/130).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika burung itu termasuk dalam jenis yang halal dimakan tetapi ia memakan semut, maka hal itu tidak mengharamkan untuk memburu dan memakannya; kerana semut termasuk dalam jenis serangga suci dan bukannya najis. Oleh yang demikian, tidak benar untuk mengatakan bahawa ia mengambil hukum haiwan jallalah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ

Maksudnya: Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *