Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memegang tafsir al-Quran dalam keadaan junub?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

(Surah al-Waqi‘ah: 79)

Imam Qurtubi menyebut dalam kitabnya bahawa para ulama berbeza pendapat dalam hal menyentuh mushaf dalam keadaan tidak berwuduk, jumhur ulama melarang daripada menyentuhnya berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh ‘Amr bin Hazm RA. Dan ini merupakan pandangan mazhab Ali RA, Ibn Mas‘ud, Sa‘ad bin Abu Waqqas, Sa‘id bin Zaid, ‘Ata’, al-Nakha‘i serta mazhab fuqaha’ daripada Malik dan Syafi‘i. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 17/226).

Al-Quran adalah kalam tuhan sekalian alam yang diturunkan oleh Malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad SAW untuk hidayah bagi manusia semuanya. (Lihat al-Quran wa I’jazuhu al-‘Ilm, hlm. 2)

Syeikh Muhammad Ali al-Sobuni pula mendefinisikan: Al-Quran adalah Kalam Allah yang mukjizat yang diturunkan kepada penutup segala Nabi dan Rasul melalui Malaikat Jibril AS yang ditulis pada mashaf-mashaf yang dipindahkan kepada kita secara mutawatir dengan membacanya adalah ibadah bermula dengan surah al-Fatihah dan diakhiri dengan surah al-Nas. (Lihat al-Tibyan fi ‘Ulum al-Quran, hlm. 8)

Di sisi mazhab Syafi’e, yang sahih di sisi mereka adalah haram menyentuh dan membawa tafsir sekiranya ayat al-Quran lebih banyak dari tafsirnya. Sekiranya tafsir itu lebih banyak dari ayat al-Quran, maka hukumnya dibolehkan.

Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi Rahimahullah di dalam kitabnya al-Majmu`(Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab,  2/69):

كِتَابُ تَفْسِيرِ الْقُرْآنِ إنْ كَانَ الْقُرْآنُ فِيهِ أَكْثَرَ كَبَعْضِ كُتُبِ غَرِيبِ الْقُرْآنِ حُرِّمَ مَسُّهُ وَحَمْلُهُ وَجْهًا وَاحِدًا كَذَا ذَكَرَهُ الْمَاوَرْدِيُّ وَغَيْرُهُ وَنَقَلَهُ الرُّويَانِيُّ عَنْ الْأَصْحَابِ وَإِنْ كَانَ التَّفْسِيرُ أَكْثَرَ كَمَا هُوَ الْغَالِبُ فَفِيهِ أَوْجُهٌ أَصَحُّهَا لَا يَحْرُمُ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِمُصْحَفٍ

Maksudnya: Kitab tafsir al-Quran, sekiranya pada tafsir itu terdapat banyaknya al-Quran (ayat-ayatnya) seperti sebahagian kitab-kitab gharib al-Quran, maka diharamkan untuk menyentuh dan membawanya pada pendapat yang satu. Ini seperti yang disebutkan oleh al-Mawardi dan selainnya dan dinaqalkan juga oleh al-Ruyani daripada ashab. Sekiranya tafsir itu lebih banyak daripada kebiasaannya, maka padanya ada beberapa pendapat dan yang paling sahih adalah tidak diharamkan (untuk menyentuh dan membawanya) kerana ia bukanlah maushaf.

Perkara yang sama juga disebutkan oleh al-Imam al-Nawawi di dalam Raudhah al-Tolibin wa `Umdah al-Muftiin (1/80) dan Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari di dalam kitabnya Asnaa al-Matolib fi Syarh Raudh al-Tolib (1/61).

Di dalam Syarh Mukhtasar Khalil (1/161) oleh al-Imam al-Kharasyi al-Maliki Rahimahullah:

يَجُوزُ لِلْمُحْدِثِ مَسُّ التَّفْسِيرِ

Maksudnya: Dibolehkan bagi mereka yang berhadas untuk menyentuh tafsir.

Begitu juga disebutkan oleh al-Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi di dalam kitabnya al-Mughni (1/109):

وَيَجُوزُ مَسُّ كُتُبِ التَّفْسِيرِ وَالْفِقْهِ وَغَيْرِهَا، وَالرَّسَائِلِ، وَإِنْ كَانَ فِيهَا آيَاتٌ مِنْ الْقُرْآنِ، بِدَلِيلِ أَنَّ النَّبِيَّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – كَتَبَ إلَى قَيْصَرَ كِتَابًا فِيهِ آيَةٌ؛ وَلِأَنَّهَا لَا يَقَعُ عَلَيْهَا اسْمُ مُصْحَفٍ، وَلَا تَثْبُتُ لَهَا حُرْمَتُهُ

Maksudnya: Dan dibolehkan menyentuh kitab-kitab tafsir, fiqh, risalah-risalah yang lainnya sekiranya padanya terdapat ayat-ayat daripada Al-Quran berdalilkan bahawasanya Nabi SAW pernah menulis surat kepada maharaja Rom dan pada surat tersebut terdapat ayat Al-Quran kerana ia tidak dinamakan dengan mushaf dan tidak sabit keharaman padanya.

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan bagi mereka yang berhadas/junub untuk menyentuh dan membawa tafsir al-Quran sekiranya tafsirnya itu melebihi kandungan ayat al-Quran dan pendapat ini juga sesuai dengan pendapat yang sahih di sisi mazhab Syafi’i. Menyentuh tafsir seperti ini tidaklah mengurangkan pengagungan terhadap al-Quran. Namun, yang terbaiknya adalah dengan berwudhuk.

Akan tetapi, sekiranya al-Quran/mushaf semata-mata, maka haram bagi seseorang yang dalam keadaan hadas/junub untuk memegangnya tanpa wudhuk.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *