Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Sebelum melakukan persetubuhan dengan isteri, saya terlupa untuk membaca doa sebelum berjimak dan hanya mengingatinya selepas selesai atau ketika sedang melakukan hubungan intim tersebut, jadi apakah yang perlu saya lakukan? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَالْآنَ بَاشِرُوهُنَّ وَابْتَغُوا مَا كَتَبَ اللَّهُ لَكُمْ
Maksudnya: “Maka sekarang setubuhilah isteri-isteri kamu dan carilah apa-apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kamu.”
(Surah al-Baqarah: 187)
Pertamanya, kami mulakan dengan menyatakan bahawa dalam ajaran Islam, kita disunatkan untuk membaca doa sebelum bersama atau melakukan persetubuhan dengan isteri. Hal ini adalah jelas sebagaimana riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata: Nabi SAW bersabda:
لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ: اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنِي، فَإِنْ كَانَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ لَمْ يَضُرُّهُ الشَّيْطَانُ، وَلَمْ يُسَلَّطْ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya dengan mengucapkan: “اللَّهُمَّ جَنِّبْنِي الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنِي” (Ya Allah, jauhkanlah aku daripada syaitan dan jauhkan syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepadaku), sekiranya mereka berdua dikurniakan seorang anak, nescaya syaitan tidak akan mampu memudaratkannya dan anak itu tidak akan dikuasai oleh syaitan.”
Riwayat al-Bukhari (3283)
Begitu juga dalam riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda:
لَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا أَتَى أَهْلَهُ قَالَ بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَقُضِيَ بَيْنَهُمَا وَلَدٌ، لَمْ يَضُرَّهُ
Maksudnya: “Sekiranya salah seorang daripada kamu mendatangi isterinya lalu dia mengucapkan: “بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا” (Bismillah, Ya Allah jauhkanlah kami daripada syaitan dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang telah Engkau rezekikan kepada kami), maka apabila ditetapkan buat mereka berdua lahirnya seorang anak, maka syaitan tidak akan mampu memberi mudarat kepadanya.”
Riwayat al-Bukhari (141)
Al-hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menyatakan, di antara faedah yang terdapat pada hadith ini adalah anjuran atau galakkan untuk membaca tasmiyyah (bismillah), berdoa, dan menjaga hal tersebut dalam perkara-perkara yang melazatkan seperti hubungan suami isteri.
Selain itu juga, hadith-hadith sebegini memberikan isyarat bahawa syaitan itu sentiasa melazimi anak-anak Adam dan tidak akan berpaling dari mereka melainkan apabila dibacanya zikrullah. Serta menunjukkan tuntutan untuk seseorang itu sentiasa memohon perlindungan dengan Allah SWT daripada segala bentuk kejahatan dalam urusan dunianya dan juga urusan akhirat. (Lihat Fath al-Bari, 9/136).
Keduanya, dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa sesiapa yang terlupa untuk membaca doa sebelum berjimak dengan isterinya dan dia tidak mengingatinya sehinggalah selesai, maka tidak mengapa dan tidak ada apa-apa dikenakan ke atasnya. Ini kerana doa atau tasmiyyah (bacaan basmalah) sebelum berjimak itu adalah disunatkan dan bukannya wajib. Apatah lagi dalam al-Quran Allah SWT berfirman:
رَبَّنَا لَا تُؤَاخِذْنَا إِن نَّسِينَا أَوْ أَخْطَأْنَا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau mengirakan kami salah jika kami lupa atau kami tersalah.”
(Surah al-Baqarah: 286)
Begitu juga hadith daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ قَدْ تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ، وَالنِّسْيَانَ، وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengampunkan bagi umatku akan kesilapan, lupa dan apa yang dipaksakan ke atasnya.”
Riwayat Ibn Majah (2043)
Namun, sesiapa yang terlupa membaca doa tersebut dan hanya menyedari atau mengingatinya ketika sedang melakukan hubungan intim bersama isterinya, maka kami berpendapat bahawa dia dibolehkan membacanya ketika itu. Ini adalah berdasarkan kepada sebahagian lafaz dalam riwayat yang menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَا يَمْنَعُ أَحَدَكُمْ أَنْ يَقُولَ حِينَ يُجَامِعُ أَهْلَهُ: بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا فَإِنْ قَضَى اللَّهُ وَلَدًا، لَمْ يَضُرَّهُ الشَّيْطَانُ
Maksudnya: “Apa yang menghalang salah seorang daripada kamu untuk mengucapkan ketika bersama dengan isterinya: ‘بِسْمِ اللَّهِ اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا الشَّيْطَانَ، وَجَنِّبِ الشَّيْطَانَ مَا رَزَقْتَنَا’ (Dengan nama Allah, Ya Allah, jauhkanlah kami daripada syaitan, dan jauhkanlah syaitan daripada apa yang Engkau rezekikan kepada kami).’ Jika Allah mentakdirkan (baginya) seorang anak, maka syaitan tidak akan memudaratkannya.”
Riwayat al-Darimi (2258); Pentahqiq Musnad al-Darimi (3/1419) iaitu Husain Salim Asad al-Darani menilai sanadnya sebagai sahih dan hadith ini adalah muttafaq ‘alaih.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”