Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bolehkah saya jamak qasar solat qadha? Contohnya saya sedang dalam usaha untuk qadha semua solat yang saya tinggal semasa remaja,  jadi jika saya bermusafir bolehkah saya qasar solat qadha tersebut?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.”

Surah al-Nisa’ (103)

Ibn Mas’ud RA dalam menafsirkan ayat ini berkata bahawa setiap solat itu mempunyai waktu-waktunya yang tertentu yang wajib untuk dilaksanakan padanya sama seperti waktu-waktu yang ditentukan bagi perlaksanaan ibadah haji. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/258)

Al-Maraghi berkata: “Lima sembahyang wajib telah ditetapkan waktunya secara terperinci tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjadikan mukmin itu selalu mengingati Tuhannya pada setiap waktu, supaya tidak lalai menghadapi perbuatan dosa atau kurang berbuat baik. Sesiapa yang ingin menambah perkara sunat dan zikir dengan lebih banyak, hendaklah memilih waktu-waktu yang sesuai dengan keadaan dan situasi dirinya.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 3/1338)

Islam mengharuskan bagi orang yang musafir bagi perjalanan lebih dua marhalah untuk mengqasarkan atau memendekkan rakaat solat-solat yang menerima hukum qasar seperti solat fardhu Zohor, Asar dan Isyak. Islam juga mengharuskan orang yang musafir untuk menghimpunkan dua solat fardu dalam satu masa atau disebut sebagai menjamakkan solat. Terdapat dua kategori jamak solat; jamak taqdim dan jamak ta’khir.

Solat qasar merupakan rukhsah yang diberikan ketika mana musafir. Ini berdasarkan kepada pertanyaan yang diajukan oleh Umar Bin Al-Khattab kepada Rasulullah SAW. Kata Ya’la Bin Umayyah kepada Umar R.A :

لَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلاَةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا فَقَدْ أَمِنَ النَّاسُ فَقَالَ عَجِبْتُ مِمَّا عَجِبْتَ مِنْهُ فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَ صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: (Firman Allah SWT): Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa ‘mengqasarkan’ (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya manusia telah berasa aman. Maka Umar berkata: Aku pun pernah hairan sebagaimana kamu lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW berkenaan ayat tersebut. Rasulullah SAW bersabda: Ia adalah sedekah yang diberikan oleh Allah kepada kalian. Maka terimalah pemberiannya.”

Riwayat Muslim (1605)

Sheikh ‘Abd al-Muhsin Al-‘Abbad berkata: “Maka harus bagi musafir untuk memendekkan solat yang empat rakaat kepada dua rakaat dan juga menjamakkan di antara solat zohor dengan asar dan maghrib dengan isyak. Ini adalah sedekah yang diberikan kepada kita semua.” (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud, 1/149)

Benarlah hadith sebagaimana riwayat Saidina Umar bin al-Khattab R.A, berkata: Sabda Nabi SAW:

 صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللَّهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: “Ianya (solat Qasar) adalah sedekah dari Allah untuk kamu semua, terimalah sedekah daripada Allah tersebut.”

Riwayat Muslim (686)

Hadis ini menunjukkan solat secara Qasar disyariatkan ketika dalam permusafiran sebagai satu pemberian kasih-sayang dan memberi keringanan kepada manusia. Namun ia bukanlah satu kemestian atau wajib dilakukan oleh orang yang bermusafir kerana kesemua para ulama telah bersepakat, pihak yang dikurniakan sedekah tidak menjadi kewajipan ke atasnya menerima sedekah yang diberikan kepadanya itu. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari oleh Ibn al-Battal, 2/10)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili ketika mengulas berkenaan hikmah diberikan rukhsah qasar dan jamak ialah menolak kepayahan yang ada ketika permusafiran dan memberi kemudahan untuk menunaikan kewajipan yang telah difardukan. (Lihat al-Fiqh Al-Islami wa Adillatuhu, 2/319)

Menurut para ulama mazhab Hanafi dan Maliki, seseorang itu perlu mengqadha solat yang ditinggalkan mengikut keadaan sewaktu ia ditinggalkan. Maka, seorang musafir perlu mengqadha solat yang ditinggalkan sewaktu dalam keadaan muqim secara penuh (empat rakaat), manakala seorang muqim perlu mengqadha solat yang ditinggalkan ketika musafir secara qasar (dua rakaat). (Lihat al-Bahr al-Ra’iq, 2/86, al-Fatawa al-Hindiyyah, 1/121, al-Mudawwanah, 1/206 dan al-Syarh al-Saghir, 1/365)

Menurut mazhab Syafi’e pula, qaul yang azhar ialah solat yang ditinggalkan sewaktu qasar harus untuk diqadha secara qasar jika dia masih dalam keadaan musafir, dan diqadha penuh jika dalam keadaan mukim. Namun terdapat tiga pandangan lain dalam isu ini:

  • Qadha secara penuh samada dalam musafir atau mukim.
  • Qadha secara qasar dalam musafir atau mukim.
  • Qadha secara qasar jika dalam musafir, dan qadha secara penuh jika dalam keadaan mukim atau dalam permusafiran yang lain. (Lihat Minhaj al-Thalibin, 1/19, Raudhah al-Thalibin, 1/389 dan al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Ibadah, hlm. 316-317)

Menurut ulama mazhab Hanbali pula, hendaklah qadha secara penuh, kerana qasar merupakan rukhsah dalam permusafiran, dan rukhsah itu gugur dengan berakhirnya permusafiran. Imam Ahmad pula memfatwakan perlu solat secara penuh atas dasar ihtiyath (berhati-hati), dan ini juga pandangan Imam al-Auza’ie dan Dawud al-Zahiri. (Lihat al-Mughni, 2/127, al-Mubdi’ Syarh al-Muqni’, 2/102, al-Rawdh al-Murbi’, 2/387)

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini kami lebih cenderung kepada pandangan mazhab Syafi’e dan Hanbali, iaitu diharuskan untuk qadha solat yang ditinggalkan sewaktu musafir secara qasar, dengan syarat dia masih dalam keadaan musafir.

 Adapun jika dalam keadaan mukim, maka dia perlu qadha secara penuh. Begitu juga jika dia meninggalkan solat sewaktu dalam keadaan mukim dan ingin mengqadhanya sewaktu bermusafir, hendaklah qadha secara penuh.

Oleh itu, dalam isu anda tidak boleh untuk anda melakukan qadha solat secara jamak qasar kerana anda telah meninggalkan solat sewaktu anda remaja, secara penuh, maka perlu diganti semula solat yang ditinggalkan secara penuh.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إيَّاكَ أرْجُو، وَلَكَ أدْعُو، فَبَلِّغْنِي صَالِحَ أمَلِي، واغْفِرْ لِي ذُنُوبِي، وَامْنُنْ عَليَّ بِما مَنَنْتَ بِهِ على أهْلِ طاعَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Hanya kepada-Mu aku berharap. Hanya kepada-Mu aku berdoa. Capaikanlah cita-cita baikku. Ampunkan dosa-dosaku. Kurniakanlah kepadaku segala perkara yang Engkau kurniakan kepada orang-orang yang mentaati-Mu.”

Wallahu a’lam.

Leave a Reply