Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Apakah pendapat ustaz berkenaan isteri yang menolak untuk disentuh oleh suami seperti bersalaman, atau berpegangan tangan dengannya atau seumpamanya, atas alasan kerana isteri ingin menjaga wuduk yang baru diambil? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan, isu ini menjadi khilaf di kalangan ulama’.

Pertamanya, menurut mazhab al-Syafi‘i, bersentuhan antara lelaki dan perempuan secara langsung tanpa berlapik membatalkan wuduk. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Habib Hasan bin Ahmad al-Kaff yang menyebutkan, perkara yang membatalkan wuduk ada empat iaitu:

  1. Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan air mani. Hal ini kerana keluarnya air mani mewajibkan mandi.
  2. Hilang akal sama ada dengan tidur atau selainnya, kecuali sekiranya tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.
  3. Bersentuhan kulit di antara lelaki dewasa dan perempuan ajnabi dewasa secara langsung tanpa berlapik.
  4. Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan atau jari-jemari bahagian dalam. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 100-103)

Imam al-Nawawi juga ada menyatakan bahawa sentuhan kulit antara lelaki dan perempuan ajnabi membatalkan wuduk, tidak kira dengan bersyahwat atau tidak. Namun, sentuhan itu tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) sekalipun ia nipis. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/30)

Pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafi‘i menyatakan batal wuduk isteri dan suami sekiranya bersentuhan sama ada bernafsu ataupun tidak. Hal ini kerana suami atau isteri itu merupakan ajnabi di antara keduanya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, 102)

Begitu juga di dalam al-Fiqh al-Manhaji disebutkan bahawa di antara perkara yang membatalkan wuduk ialah seseorang lelaki menyentuh isterinya atau perempuan lain (ajnabi) tanpa berlapik. Perbuatan tersebut membatalkan wuduk kedua-duanya. Maksud perempuan lain (ajnabi) ialah semua perempuan yang halal untuk dikahwini oleh lelaki berkenaan. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam menerangkan perkara-perkara yang mewajibkan berwuduk:

أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

Maksudnya:Atau kamu sentuh perempuan.”

(Surah al-Ma’idah: 6)

Berdasarkan bacaan mutawatir, perkataan “لَامَسْتُمُ” bermakna “لَمَسْتُم” iaitu kamu menyentuhnya. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/63).

Al-Syaukani berkata: Yakni dengan mencium atau menyentuh dengan tangan atau lainnya dengan maksud menikmati dan melepaskan syahwat. Dan pendapat lain mengatakan yang dimaksud adalah berjima’. (Lihat Fath al-Qadir, 3/442)

Keduanya, kami katakan bahawa adalah menjadi satu kewajipan seorang isteri mentaati suaminya selagi mana suami tidak menyuruh ke arah perkara-perkara yang mungkar. Ini adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

لَوْ كُنْتُ آمِرًا أَحَدًا أَنْ يَسْجُدَ لِأَحَدٍ لَأَمَرْتُ المَرْأَةَ أَنْ تَسْجُدَ لِزَوْجِهَا

Maksudnya: “Seandainya aku boleh memerintahkan seseorang untuk bersujud kepada orang lain, pasti aku akan memerintahkan seseorang perempuan untuk sujud kepada suaminya.

Riwayat al-Tirmizi (1159)

Hadith di atas jelas menunjukkan kedudukan suami serta tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh isteri ke atas suaminya. Perbuatan sujud di dalam Islam lazimya dilakukan oleh manusia sebagai hamba kepada Pencipta iaitu Khaliq. Justeru itu, hadith ini cuba menggambarkan betapa seorang isteri wajib mematuhi, menghormati dan mentaati seseorang suami. Walau bagaimanapun, isteri dikecualikan daripada mentaati suami pada perkara-perkara mungkar.

Begitu juga dalam bab hubungan kelamin, ia termasuk dalam hak suami ke atas isteri yang harus dipenuhi. Oleh yang demikian melayani suami adalah perkara yang wajib mengikut ijma‘ para ulama. Hal ini juga boleh dilihat melalui hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دَعَا الرَّجُلُ امْرَأَتَهُ إِلَى فِرَاشِهِ فَأَبَتْ فَبَاتَ غَضْبَانَ عَلَيْهَا لَعَنَتْهَا المَلاَئِكَةُ حَتَّى تُصْبِحَ

Maksudnya: “Apabila seorang suami mengajak isterinya ke katil (dengan tujuan untuk bersama, lalu isteri itu menolaknya, dan suami itu pun tidur dalam keadaan marah terhadap isterinya, maka para malaikat akan melaknatnya (isteri) sehinggalah dia bangun (daripada tidurnya) pada waktu pagi.”

 Riwayat al-Bukhari (3237)(5193)

Hadith menunjukkan kepada kita bahawa haram bagi seorang wanita untuk menolak, menunda, atau menunjukkan ketidaksenangan terhadap suaminya apabila dia mengundangnya ke tempat tidur untuk tujuan hubungan kelamin. Menolak tindakan ini dianggap sebagai salah satu dosa besar, dan akibatnya malaikat akan melaknatnya hingga pagi.

Oleh yang demikian kewajipan seorang isteri adalah untuk taat kepada suaminya apabila dia memanggilnya ke tempat tidur tanpa penentuan masa.  Pengecualian dibuat hanya pada situasi di mana terdapat perkara yang menghalangnya daripada menjalankan kewajipannya. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram,5/370).

Dalam isu ini juga Imam al-Nawawi menyatakan bahawa hadith ini menjadi dalil bahawa haramnya seorang isteri itu menolak ajakan suaminya tanpa keuzuran yang syarak dan haid juga bukanlah satu keuzuran yang boleh menghalang ajakan suami kerana suami mempunyai hak untuk istimta‘ (berseronok) dengan apa yang terdapat di atas kain (selain daripada faraj). Hadith ini juga bermaksud laknat daripada malaikat akan berterusan sehingga hilangnya maksiat dengan terbitnya fajar dan dengan suami itu merasa memadai atau dengan taubat si isteri apabila menerima ajakan suami tersebut untuk bersama. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 10/7-8).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa tidak sepatutnya seseorang isteri menolak untuk disentuh suaminya disebabkan alasan ingin menjaga wuduk. Ini kerana mentaati suami adalah wajib, sedangkan memelihara wuduk pula adalah sunat. Justeru, perkara yang wajib didahulukan berbanding perkara yang sunat. Ini adalah sebagaimana kaedah yang menyebutkan:

 إِذَا تَعَارَضَ وَاجِبٌ وَمُسْتَحَبٌّ: فَالْأَمْرُ فِي ذَلِكَ ظَاهِرٌ، فَإِنَّهُ يُقَدَّمُ الْوَاجِبُ عَلَى الْمُسْتَحَبِّ

Maksudnya: “Apabila bertembung antara perkara wajib dan perkara sunat, maka perkara tersebut adalah jelas bahawa perkara wajib didahulukan berbanding perkara sunat.” (Lihat Syarh Risalah Latifah Jami‘ah fi Usul al-Fiqh al-Muhimmah oleh Syeikh Khalid al-Misyaiqah, hlm. 248).

Justeru, dibimbangi hal itu akan menyebabkan suami berasa hati, lalu isteri dianggap nusyuz atau derhaka terhadap suaminya. Apatah lagi, selepas itu isteri boleh atau tidak menjadi masalah untuknya pergi mengambil wuduk semula.

Namun, jika isteri menolak untuk disentuh atau berpegangan tangan dengan suaminya ketika itu disebabkan alasan yang kukuh seperti kerana ingin menunaikan solat fardhu dan dibimbangi sentuhan suaminya itu akan menyebabkan wuduknya terbatal (mengikut mazhab Syafi‘i), atau kerana mereka sedang berada di luar dan waktu solat sudah hampir, ditambah lagi dengan kesukaran untuk mengambil wuduk bagi wanita (ketika di luar), maka tidak mengapa isteri menolaknya. Akan tetapi isteri mestilah menolaknya dengan baik dan menjelaskan sebabnya kepada suaminya itu. Dan selepas selesai menunaikan kewajipannya (solat fardhu itu), isteri hendaklah memenuhi pula kehendak suaminya yang ingin berpegangan tangan atau seumpamanya. Pada masa yang sama, suami juga hendaklah faham dan kami melihat dalam isu ini, kedua-duanya hendaklah saling berlapang dada dan berusaha untuk memahami antara satu sama lain.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

 

Leave a Reply