Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, apakah hukum mereka yang dipaksa minum arak sehingga boleh mengancam nyawa?  Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, arak diharamkan buat umat Islam dan berdosa besar sekiranya melakukan aktiviti yang berkaitan dengannya. Sebagai umat Islam, kita diwajibkan untuk menjauhinya dan ini merupakan perintah Allah SWT melalui firman-Nya:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ مِنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Jumhur ulama bersepakat tentang pengharaman meminum arak sama ada sedikit atau banyak. Ini kerana sifatnya yang memabukkan dan menyebabkan hilang ingatan untuk mengingati Allah SWT. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/15).

Bukan itu sahaja, malah terdapat hadith yang jelas melarang daripada sebarang penglibatan dan aktiviti berkaitan arak sebagaimana diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي الْخَمْرِ عَشَرَةً: عَاصَرَهَا وَمُعْتَصِرَهَا وَشَارِبَهَا، وَحَامِلُهَا وَالْمَحْمُولَةُ إِلَيْهِ وَسَاقِيهَا وَبَائِعُهَا، وَآكِلُ ثَمَنَهَا، وَالْمُشْتَرِي لَهَا وَالْمُشْتَرَي لَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melaknat sepuluh golongan yang ada hubung kait dengan arak iaitu orang yang memerah arak, orang yang meminta arak diperah, orang yang meminumnya, orang yang membawanya, orang yang dibawa kepadanya, orang yang menuangkan arak, orang yang menjualnya, orang yang memakan hasil jualan arak, orang yang membeli arak dan yang dijual untuknya.”

Riwayat al-Tirmizi (1295)

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah, jumhur fuqaha’ berpendapat bahawa arak dikira sebagai najis seperti air kencing dan darah disebabkan sabit pengharamannya dan penamaannya sebagai rijsun (رِجْسٌ) dalam al-Quran sebagaimana firman Allah SWT:

إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالْأَنْصَابُ وَالْأَزْلَامُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Sesungguhnya arak, dan judi, dan pemujaan berhala, dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji).”

(Surah al-Ma’idah: 90)

Perkataan al-Rijs (الرِّجْسُ) dari segi bahasa merujuk kepada sesuatu yang kotor dan berbau busuk. Adapun minuman-minuman lain yang diperselisihi oleh fuqaha tentangnya, hukum pengharamannya di sisi mereka adalah mengikut hukum kenajisan bagi minuman tersebut. Manakala sebahagian fuqaha’ seperti Rabi‘ah guru kepada Imam Malik, al-San‘ani dan al-Syaukani berpendapat bahawa ia adalah suci dengan berpegang kepada hukum asalnya, dan memahami makna rijs (الرِّجْسُ) dalam ayat tersebut merujuk kepada kotoran maknawi. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/27; 40/93-94).

Dalam menjawab bagi persoalan di atas kami katakan bahawa syarak menetapkan hukuman bagi peminum arak adalah dengan hukuman sebatan. Namun para fuqaha berbeza pandangan mengenai bilangan sebatan tersebut. Para fuqaha’ Hanafi dan Maliki berpendapat bahawa jumlahnya adalah 80, manakala Imam Syafi’i berpendapat bahawa jumlahnya adalah 40.  Diriwayatkan daripada Anas bin Malik bahawa beliau berkata:

أنَّ النبيَّ صَلّى اللَّهُ عليه وسلَّمَ أُتِيَ برَجُلٍ قدْ شَرِبَ الخَمْرَ، فَجَلَدَهُ بجَرِيدَتَيْنِ نَحْوَ أَرْبَعِينَ.

Maksudnya: “Nabi SAW menghukum bagi kesalahan meminum arak agar dipukul (pelakunya) dengan pelepah kurma dan kasut, dan Abu Bakar menghukum agar disebat sebanyak 40 kali sebatan.”

Riwayat al-Bukhari (6776) dan Muslim (1706)

Imam al-Nawawi menyatakan: Para ulama berbeza pendapat tentang kadar hukuman sebatan bagi peminum arak. Syafi ‘i, Abu Thaur, Dawud, dan ulama zahiri serta lainnya mengatakan hukumannya adalah 40. Syafi‘i R.A berkata bahawa imam boleh menetapkan sehingga 80, dan penambahan di atas 40 itu adalah sebagai hukuman tambahan kerana menyebabkan hilangnya akal. (Lihat Syarh al-Nawawi  ‘ala Muslim, 11/217)

Namun, hukuman hudud ini dikecualikan dalam beberapa keadaan, seperti jika seseorang meminum arak tanpa sengaja, tidak menyedari bahawa ia mengandungi alkohol, atau terpaksa meminumnya akibat paksaan yang mengancam jiwanya. Allah SWT berfirman:

وَقَدْ فَصَّلَ لَكُم مَّا حَرَّمَ عَلَيْكُمْ إِلَّا مَا اضْطُرِرْتُمْ إِلَيْهِ

Maksudnya: “padahal Allah telah menerangkan satu persatu kepada kamu apa yang diharamkanNya atas kamu, kecuali apa yang kamu terpaksa memakannya”

(Surah al-An‘am: 119)

Ayat ini menunjukkan bahawa apabila Allah telah menjelaskan apa yang haram, dan Dia membenarkannya dalam keadaan darurat dan kebuluran (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.271)

Imam Ibn Rejab al-Hanbali berkata di dalam Jami‘ al-‘Ulum wa al-Hikam (hlm. 376), paksaan itu mempunyai dua bentuk:

  • Orang yang dipaksa itu tidak mempunyai pilihan.

Dalam erti kata mudah, dia tidak mempunyai sebarang kemampuan untuk menentang atau menolak paksaan tersebut; seperti orang yang diangkat secara paksa lalu dimasukkan ke dalam satu tempat yang pernah dia (orang dipaksa itu) bersumpah untuk tidak memasukinya, atau orang yang dikawal pergerakan tubuhnya untuk memukul orang lain sehingga mati – dalam keadaan orang itu tidak mampu untuk menghalang paksaan tersebut, atau perempuan yang dibaringkan lalu dia dirogol – dan dia tidak mampu untuk menghalangnya dari berlaku. Kesemua situasi ini tidaklah dihukumkan berdosa menurut persepakatan ulama.

  • Orang itu dipaksa untuk melakukan sesuatu, atau dia akan dicederakan.

Sekiranya dia dipaksa untuk meminum arak dan sebagainya dari perkara-perkara yang haram, jika tidak dia akan dipukul atau dibunuh. Maka dalam situasi ini, diharuskan baginya untuk melakukan perkara haram tersebut. Ini adalah pandangan majoriti ulama seperti Imam al-Syafi‘i, Imam Abu Hanifah, riwayat yang masyhur dari Imam Ahmad, dan ini pendapat ‘umar bin al-Khattab.

Begitu juga dalam isu ini dinyatakan dalam Mausu‘ah al-Fiqh al-Islami (9/726): Seseorang yang dipaksa untuk meminum arak dengan cara mulutnya dibuka secara paksa dan arak dituangkan ke dalamnya, dia tidak akan dipertanggungjawabkan dan tidak dikenakan hukuman.

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي الْخَطَأَ وَالنِّسْيَانَ وَمَا اسْتُكْرِهُوا عَلَيْهِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengampunkan umatku yang melakukan kesalahan dan terlupa serta apa yang terpaksa ke atasnya.”

Riwayat Ibn Majah (2045) dan al-Baihaqi di dalam al-Sunan (7)

Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimullah menyebut: “Hadis ini mempunyai manfaat yang menyeluruh kerana terdapat tiga perkara yang selalu dibahaskan di dalam permasalahan figh bahkan ada juga yang mengatakan bahawa hadis ini adalah sebahagian daripada syariat. Ini kerana setiap perbuatan yang dilakukan oleh seorang yang mukallaf tidak terlepas daripada dua hal; sama ada sengaja ataupun tidak sengaja. Adapun yang tidak sengaja itu merangkumi dua lagi perkara iaitu sama ada terlupa ataupun dipaksa melakukannya.” (Lihat al-Fath al Mubin, hlm. 606-607).

Telah dinyatakan dalam Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram bahawa: Hadith di atas menunjukkan bahawa  hukuman-hukuman yang berkaitan dengan kehidupan akhirat  dimaafkan jika dilakukan kerana kesalahan, lupa, atau paksaan. Ia khususnya bagi umat Nabi Muhammad SAW. (Lihat Taudih al-Ahkam min Bulugh al-Maram, 5/505)

Sebagai kesimpulannya, berdasarkan perbincangan di atas, minum arak merupakan perbuatan yang dilarang keras dalam syarak dan boleh dikenakan hukuman sebatan sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith. Namun, dalam situasi di mana seseorang dipaksa meminum arak dan diancam dengan pembunuhan, maka dia tidak dikenakan hukuman hudud kerana tindakan tersebut dilakukan di luar kehendaknya dan bagi menyelamatkan nyawa.

Pengecualian ini bertepatan dengan prinsip Islam yang menekankan kepentingan memelihara nyawa dan mempertimbangkan faktor paksaan yang menggugurkan kewajipan seseorang individu dalam situasi tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahua’lam

Leave a Reply