Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum wanita haid masuk surau untuk mengajar al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَقْرَبُوا الصَّلَاةَ وَأَنتُمْ سُكَارَىٰ حَتَّىٰ تَعْلَمُوا مَا تَقُولُونَ وَلَا جُنُبًا إِلَّا عَابِرِي سَبِيلٍ حَتَّىٰ تَغْتَسِلُوا ۚ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu hampiri sembahyang (mengerjakannya) sedang kamu dalam keadaan mabuk, hingga kamu sedar dan mengetahui akan apa yang kamu katakan. Dan janganlah pula (hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub (berhadas besar) – kecuali kamu hendak melintas sahaja – hingga kamu mandi bersuci.”

(Surah al-Nisaa’: 43)

Berdasarkan ayat di atas, Imam al-Syafi’e menyatakan bahawa seorang yang dalam keadaan berjunub, dia tidak boleh untuk duduk di dalam masjid dan hanya boleh melaluinya sahaja. (Lihat Ahkam al-Qur’an, 3/168)

Begitu juga dengan hadith Nabi SAW yang lain:

إِنَّ الْمَسْجِدَ لاَ يَحِلُّ لِجُنُبٍ وَلاَ لِحَائِضٍ

Maksudnya: Sesungguhnya masjid tidak halal untuk dimasuki oleh orang yang berjunub dan wnaita yang sedang dalam keadaan haidh.

Sunan Abi Daud (232) dan Sunan Ibn Majah (645)

Meskipun hadith ini tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama, namun Imam al-Syaukani telah membahaskan secara panjang lebar dan menegaskan bahawa hadith ini menjadi kuat kerana disokong oleh banyak faktor penguat (syawahid). (Lihat Nail al-Authar, 1/288)

Definisi Masjid dan Surau

Secara umumnya, terdapat perbezaan di antara masjid dan surau/musolla.

Masjid: Suatu bangunan khas bagi umat Islam melaksanakan solat Jumaat dan ibadah-ibadah lain.

Surau: Suatu bangunan yang lebih kecil daripada masjid, tempat orang-orang beribadat seperti bersembahyang dan belajar agama, namun tidak didirikan solat Jumaat. (Lihat Kamus Dewan Bahasa Edisi ke-4)

Justeru itu, dapat difahami di sini bahawa masjid dan surau/ musolla adalah berbeza sama sekali. Maka, dalam menjawab isu ini al-Imam al-Ghazali menyatakan bahawa:

لا يَثْبُتُ لَهُ حُكْمُ الْمَسْجِدِ فِي الاِعْتِكَافِ وَمُكْث الْجُنُبِ وَغَيْرِهِ مِنَ الأَحْكَامِ

Maksudnya: “Tidak ada baginya (musolla) hukum masjid dari segi iktikaf, hukum orang berjunub duduk dalam masjid dan hukum hakam yang lain.” (Lihat I’lam al-Saajid bi Ahkam al-Masajid, hlm 389)

Begitu juga, al-Imam al-Nawawi berkata:

الْمُصَلَّى الْمُتَّخَذُ لِلْعِيدِ وَغَيْرِهِ الَّذِي لَيْسَ بِمَسْجِدٍ لَا يَحْرُمُ الْمُكْثُ فِيهِ عَلَى الْجُنُبِ وَالْحَائِضِ عَلَى الْمَذْهَبِ وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ

Maksudnya: “Musolla yang dijadikan tempat solat hari raya dan lain-lainnya yang bukan dianggap masjid, tidak haram padanya bagi orang berjunub, wanita haid atas pandangan mazhab. Pendapat ini dipegang oleh jumhur ulama.” (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/180)

Walaupun begitu, di Malaysia mutakhir ini khasnya di Kuala Lumpur dan beberapa negeri yang lain, istilah masjid, surau dan surau Jumaat mempunyai perbezaan berdasarkan kepada pendapat Mufti Wilayah Persekutuan dan fatwa bahawa hukum surau Jumaat dianggap sama seperti masjid. Justeru, perempuan yang didatangi haid sebagaimana tidak dibolehkan berada di dalam masjid juga tidak dibolehkan berada di dalam surau Jumaat. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW, daripada Aisyah R.Anha, bahawa Nabi SAW bersabda:

فَإِنِّي لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya aku tidak halalkan duduk di dalam masjid bagi orang yang dalam keadaan haid dan berjunub.”

Riwayat Abu Daud (232) dan Ibn Khuzaimah (1327)

Syeikh Abu al-Tayyib Muhammad Syams al-Haq al-’Azim Abadi berkata: Hadis tersebut dijadikan dalil dengan larangan memasuki masjid bagi orang berjunub dan wanita haid. Akan tetapi, ia dita’wilkan pula sebagai menetap dalam tempoh yang lama atau pendek. Adapun melintasinya dan melewatinya tanpa menetap, tidaklah dilarang kecuali apabila dibimbangi akan mencemarkan. (Lihat ‘Aun al-Ma’bud, 1/390)

Hukum Perempuan Haid Membaca al-Quran

Dalam masalah wanita membaca al-Quran ketika haid, terdapat dua pandangan:

Pertama: Haram

Ini merupakan pendapat kebanyakan Fuqaha’. Mereka melarang wanita membaca al-Quran ketika dalam haid dan sedang berjunub berdasar kepada hadis daripada Ibn Umar R.Anhuma, daripada Nabi SAW, baginda bersabda:

لاَ تَقْرَأُ الحَــائِضُ وَلاَ الجُــنُبُ شَــْـيئاً مِنَ القُرأَنِ

Maksudnya: “Tidak dibolehkan wanita di dalam haid dan yang berjunub membaca sedikit pun daripada al-Quran.”

Riwayat al-Tirmizi (131) dan Ibn Majah (596) Syeikh Syuaib al-Arnout di dalam Takhrij al-Awasim wa al-Qawasim (4/32) menyatakan dalam sanad hadith ini terdapat Ismail bin Ayyash yang meriwayatkan selain daripada ahli negerinya dan hadith ini terdapat dua jalur dan kedua-duanya dhaif.

Kedua: Harus

Ini adalah pendapat ulama Malikiah mengikut riwayat yang sahih mengatakan bahawa: Dibolehkan untuk memegang al-Quran bagi wanita yang haid dan dibolehkan juga untuk membacanya dengan tujuan mengajar dan belajar. Kelonggaran ini hanya diberikan kepada wanita yang dalam keadaan haid sahaja dan bukannya yang sedang berjunub. Ini kerana hari-hari haid itu berlangsung adalah cukup lama. Maka, jika mereka dilarang daripada membaca al-Quran, dibimbangi bahawa mereka akan melupakan al-Quran. Sedangkan berzikir kepada Allah SWT adalah dibolehkan kepada wanita-wanita yang sedang dalam haid. Ianya juga memberi kemudahan kepada madrasah Tahfiz Al-Quran untuk meneruskan pengajarannya sehingga para huffaz tidak melupakan hafazannya disebabkan terhenti bacaan kerana haid dan nifas.

Inilah juga pendapat tokoh ulama silam seperti Imam al-Bukhari, al-Tabari, Ibn Munzir, Dawud al-Zahiri, al-Sya’bi, pendapat Imam al-Syafi’i dalam qaul Qadimnya dan kebanyakan ulama masa kini seperti Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin dan lain-lain. (Lihat Taudhih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, al-Syeikh Abdullah Al-Bassam, 1/461)

Malah dalam masalah wanita yang sedang dalam nifas juga dibolehkan untuk membaca al-Quran sebagaimana yang terdapat di dalam kitab Majmu’ al-Fatawa: “Membaca al-Quran bagi wanita nifas dibolehkan jika dia khuatir akan boleh lupa bacaan al-Quran dengan sebab lamanya tempoh masa nifas tersebut. Tetapi jika dia yakin bahawa tidak melupakan bacaan al-Quran tersebut maka tak perlulah dia membacanya.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 1/636)

Antara pandangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor yang bersidang pada 14 Syawal 1437 bersamaan 19 Julai 2016 telah membuat keputusan seperti berikut:

“Hukum wanita haid membaca al-Quran menurut qaul muktamad dalam mazhab Syafie ialah haram sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi. Walaubagaimanapun, adat budaya pada zaman sekarang dalam mempelajari al-Quran sudah berbeza jika dibandingkan dengan zaman dahulu yang mana salah satu kemajuannya adalah ianya telah menjadi satu bidang yang diiktiraf di peringkat Negara dan juga antarabangsa.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk perempuan haid untuk memasuki surau kerana tidak dihukum seperti hukum masjid/ surau jumaat. Namun, sekiranya mengajar di dalam masjid/ surau jumaat, maka ianya tidak dibenarkan oleh syarak.

Begitu juga, soal mengajar al-quran dalam keadaan haid juga dibenarkan menurut pandangan mazhab Maliki.

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: “Yang benar menurut pandangan para ulama’ ialah tidak ada masalah bagi wanita haid dan nifas untuk membaca apa yang mereka hafal daripada al-Quran. Tidak ada masalah juga bagi wanita haid dan nifas untuk membaca Ayat al-Kursi ketika tidur, dan tidak ada masalah bagi mereka untuk membaca sebanyak yang mereka mampu dari Al-Quran pada semua waktu dengan ikhlas dari hati. Inilah yang benar dan ini adalah yang asalnya. Oleh sebab itu, Nabi SAW memerintahkan Aisyah R.Anha ketika beliau haid semasa Haji Wada’ untuk melakukan apa yang dilakukan oleh para haji, kecuali tidak melakukan tawaf di sekitar Kaabah hingga dia bersuci, dan dia tidak dilarang membaca al-Quran.”

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا عَبِيْدُكَ، وَبَنُوْ عَبِيْدِكَ، وَبَنُوْ إِمَائِكَ، نَوَاصِينَا بِيَدِكَ، مَاضٍ فِيْنَا حُكْمُكَ، عَدْلٌ فِيْنَا قَضَاؤُكَ، نَسْأَلُكَ بِكُلِّ اسْمٍ هُوَ لَكَ سَمَّيْتَ بِهِ نَفْسَكَ، أَوْ عَلَّمْتَهُ أَحَدًا مِنْ خَلْقِكَ، أَوْ أَنْزَلْتَهُ فِي كِتَابِكَ، أَوْ اسْتَأْثَرْتَ بِهِ فِي عِلْمِ الْغَيْبِ عِنْدَكَ، أَنْ تَجْعَلَ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِنَا، وَنُورَ صُدُوْرِنَا، وَجِلَاءَ أَحْزَانِنَا، وَذَهَابَ هُمُوْمِنَا.

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami adalah hamba-Mu, anak kepada hamba-Mu, anak kepada hamba perempuan-Mu, ubun-ubun kami di tangan-Mu, telah berlalunya keputusan-Mu, Engkau telah berlaku adil ke atas kami dalam keputusan-Mu. Kami memohon kepada-Mu dengan setiap nama yang Engkau berikan pada diri-Mu, atau yang telah Engkau ajarkan kepada salah satu makhluk ciptaan-Mu, atau yang telah Engkau turunkan dalam kitab-Mu, atau yang telah Engkau rahsiakan dalam ilmu ghaib-Mu, untuk menjadikan al-Quran sebagai penyejuk hati kami, cahaya di dada kami, penghilang kesedihan kami, penghapus kesusahan kami.”

Leave a Reply