Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bagaimanakah cara yang betul bagi membersihkan air kencing yang terkena atas karpet yang besar dan berat? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa mensucikan diri.”
(Surah al-Baqarah: 222)
Al-Syaukani menyatakan bahawa makna ayat di atas ialah Allah menyukai orang yang bertaubat daripada dosa-dosanya dan mensucikan diri daripada junub dan hadas.[2] Dalam erti kata lain, Allah SWT menyukai para hamba-Nya yang banyak beristighfar dan bertaubat serta yang menyucikan diri dengan menjauhi segala perbuatan keji dan kotor. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir oleh al-Asyqar, hlm. 44; Tafsir al-Muyassar, hlm. 35)
Begitu juga Islam sangat mengambil berat dalam hal bersuci dan kebersihan. Apatah lagi, manusia cenderung kepada kebersihan dan secara tabii manusia tidak suka serta menjauhkan diri daripada kekotoran. Oleh sebab Islam adalah agama fitrah, maka secara tabii ia memerintahkan manusia supaya bersuci dan menjaga kebersihan. Nabi SAW pernah bersabda:
الطُّهُورُ شَطْرُ الإِيمَانِ
Maksudnya: “Bersuci itu adalah antara ciri-ciri keimanan.”
Riwayat Muslim (223)
Pada asasnya, najis terbahagi kepada tiga kategori, iaitu najis mukhaffafah, najis mutawassitah, dan najis mughallazah. Najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya. Najis mukhaffafah pula ialah air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun. Manakala najis mutawassitah ialah apa yang selain daripada kedua-dua jenis najis yang telah disebutkan seperti seperti air kencing, najis haiwan, darah dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/40-41)
Setiap jenis najis tersebut berbeza cara membersihkannya. Mengenai najis mutawassitah, Habib Hasan al-Kaff menyebutkan, ia terbahagi kepada dua kategori iaitu hukmiyyah (حكمية) dan ‘ainiyyah (عينية). Hukmiyyah ialah najis yang tidak kelihatan secara jelas kerana tiada tanda-tanda seperti bau, rasa dan warna. Cara membersihkannya adalah cukup sekadar mengalirkan air pada tempat yang terkena najis tersebut. Manakala ‘ainiyyah pula ialah najis yang kelihatan dan ada sifat-sifatnya sama ada bau, rasa atau warna. Cara membersihkannya adalah dengan air sehingga hilang semua sifat-sifat tersebut — yakni bau, rasa dan warna. Sekiranya najis tersebut dapat dihilangkan bersama sifat-sifatnya dengan sekali basuhan sahaja, ia sudah mencukupi. Akan tetapi disunatkan untuk membasuhnya pada kali kedua dan ketiga.
Begitu juga, sekiranya najis itu tidak dapat dihilangkan dengan sekali basuhan, maka wajib membasuhnya kali kedua. Jika masih lagi belum hilang, wajib membasuhnya buat kali ketiga. Sekiranya najis itu masih belum lagi dapat dihilangkan sifat-sifatnya dengan tiga kali basuhan bersama bahan-bahan bantuan seperti sabun dan lain-lain, maka keadaan ini dinamakan sebagai keadaan yang susah (حالة التعسر). (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 135)
Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebutkan bahawa contoh najis hukmiyyah adalah seperti air kencing yang telah kering serta tidak dilihat padanya kesan atau sifat-sifatnya. Maka, cara membersihkannya, cukup dengan hanya mengalirkan air padanya sekali. Adapun ‘ainiyyah, maka wajib dihilangkan sifat-sifatnya yang terdiri daripada bau, rasa dan warna, melainkan ada kesukaran bagi menghilangkan salah satu antara dua sifat iaitu sama ada warna atau bau. Maka, dalam hal ini tidak wajib menghilangkannya, bahkan ia telah pun dikira sebagai suci. Akan tetapi, sekiranya terhimpun kedua-duanya sekali (bau dan warna) pada tempat tersebut, maka wajib untuk dihilangkan kedua-dua sifat tersebut kerana ia adalah bukti yang kuat bahawa ‘ain najis itu masih ada seperti mana ciri atau sifat yang ditunjukkan oleh rasa. (Lihat Fath al-Wahhab, 1/25; Kasyifah al-Saja, hlm. 182-184)
Begitu juga, belum lagi dikira suci, jika masih ada sifat najis daripada segi rasa kerana kebiasaannya ia mudah untuk dihilangkan. Oleh itu, sekiranya masih berbaki sifat rasa, maka wajib untuk dihilangkan sekalipun dengan mengikis atau menggosok sebanyak tiga kali. Cara mengikis adalah dengan mengikis tempat terkena najis itu menggunakan batu atau lain-lain, manakala menggosok pula adalah dengan menggunakan jari jemari dengan gosokan yang kuat dan kemudian menjiruskan air ke atasnya sehingga hilang ‘ain dan kesan najis itu. Selain itu, tidak disyaratkan menggunakan bahan bantuan seperti sabun dan usynan (sejenis pokok) bagi menghilangkan najis melainkan setelah terhimpun bau dan warna sekali, atau yang tinggal hanya rasanya sahaja. Maka, dalam situasi ini wajib menggunakan bahan bantuan tersebut. (Lihat Kasyifah al-Saja, 182-183)
Habib Hasan al-Kaff telah meringkaskan berkenaan hukum bagi keadaan susah (حالة التعسر) kepada dua, iaitu:
- Sekiranya hanya tinggal bau atau warna sahaja, maka hukumnya adalah dikira sebagai suci.
- Namun jika yang tinggal adalah bau dan warna, atau yang tinggal itu adalah rasa sahaja, maka wajib membasuhnya bersama bahan bantuan seperti sabun sehingga hilang sifat-sifat tersebut.
Akan tetapi, sekiranya orang yang berkepakaran (Ahl al-Khibrah) menyatakan najis tersebut, tidak akan dapat dihilangkan melainkan hanya dengan memotongnya (membuangnya), maka dinamakan bagi keadaan atau situasi ini sebagai situasi yang ada keuzuran (حالة التعذر). Hukumnya, ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan dan sah solat dengannya. Walau bagaimanapun, jika dia mampu untuk menghilangkannya pada masa akan datang, wajib untuk dia menghilangkannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah, hlm. 136)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa cara membersihkan najis mutawassitah adalah dengan menggunakan air sehingga hilang ‘ain dan sifat-sifatnya. Berbalik kepada soalan yang diajukan, kami berpendapat bahawa jika air kencing yang terdapat di atas karpet tersebut telah kering serta tidak dilihat padanya kesan mahupun sifat-sifatnya, maka ia termasuk dalam ketegori najis hukmiyyah. Justeru, bagi mensucikannya cukup dengan hanya mengalirkan air padanya. Sekiranya kuantiti air sedikit, hendaklah air yang dilalukan ke atas najis dan bukan sebaliknya seperti mana yang telah dijelaskan oleh Syeikh Ibrahim al-Baijuri dalam hasyiahnya. (Lihat Hasyiah Syeikh Ibrahim Baijuri, 1/199)
Walau bagaimanapun, jika air kencing tersebut meninggalkan ‘ain atau sifat-sifatnya di atas karpet berkenaan, maka hendaklah terlebih dahulu dihilangkan ‘ain dan sifat-sifatnya itu. Ia boleh dilakukan sama ada dengan terus dibasuh dengan air sehingga hilang sifat-sifat najis itu, atau jika terdapat kesukaran untuk mengangkatnya kerana tebal dan berat, maka kami syorkan lap dan pindahkan air kencing yang bertakung pada karpet tersebut semampu mungkin dengan menggunakan kain, span atau wet/dry vacuum sehingga tidak ada lagi yang berbaki melainkan sedikit lembap yang tidak boleh dipisahkan (dielakkan) sebagaimana yang disebutkan oleh Syeikh Nawawi al-Bantani. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 181)
Kemudian, barulah dialirkan air di atasnya. Sekiranya air basuhan tersebut tidak dapat mengalir, hendaklah ia juga dipindahkan atau dikeringkan semampu mungkin, dengan menggunakan kain, span atau seumpamanya. Jika masih lagi berbaki warna atau bau sahaja, maka tidak mengapa dan ia sudah dianggap suci.
Namun, sekiranya yang tinggal — yakni berbaki — adalah warna dan bau, atau semata-mata rasa sahaja, maka hendaklah ia dihilangkan semampu mungkin dengan menggunakan bahan-bahan bantuan seperti sabun dan seumpamanya, atau dengan cara menggosoknya sekuat mungkin sehinggalah sifat-sifat yang berbaki tersebut hilang. Sekiranya masih lagi tidak dapat dihilangkan, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan serta sah solat di atasnya.
Selain itu, apa-apa air yang mungkin terserap di dalam tilam semasa proses pembersihan adalah tidak mengapa. Basuhan di bahagian luar sahaja telah mencukupi. Dalam hal ini, Imam al-Nawawi menukilkan pendapat Imam al-Syafi‘i, yang menyatakan bahawa jika dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Kemudian, racun itu telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Lalu besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir — yakni yang dilihat — dan bukannya pada apa yang terdapat di dalam rongga — yakni yang tidak nampak. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/600)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H