Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, Kalau syirik kecil terkeluar atau tidak dari agama? Syirik kecil ini hanya Riya sahajakah atau ada yang lain?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Syirik kecil tidak mengeluarkan seseorang daripada agama Islam, namun merosakkan amalan seseorang dengan pencemaran dosa yang besar! Persoalan di atas dijawab dengan mendulang faedah ilmu dan ketaatan daripada firman Allah SWT di dalam al-Kitab, firman-Nya:
وَمَاۤ أُمِرُوۤا۟ إِلَّا لِیَعۡبُدُوا۟ ٱللَّهَ مُخۡلِصِینَ لَهُ ٱلدِّینَ حُنَفَاۤءَ وَیُقِیمُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَیُؤۡتُوا۟ ٱلزَّكَوٰةَۚ وَذَ ٰلِكَ دِینُ ٱلۡقَیِّمَةِ
Maksudnya: “Dan tidaklah mereka diarahkan melainkan hanya untuk menyembah Allah dalam keadaan ikhlas, memurnikan seluruh amalan agama hanya kepada-Nya sahaja. Menuju kepada Allah dan berpaling daripada selain-Nya, serta mendirikan solat dan menunaikan zakat. Demikian itulah agama yang teguh berdiri.”
(Surah al-Bayyinah: 5)
Berdasarkan ayat suci di atas, Allah SWT melarang kita daripada perbuatan Riya’ yang merupakan syirik kecil. Imam Ibn Juzai al-Kalbi al-Gharnati berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Ikhlas yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah al-Tauhid, iaitu meninggalkan syirik (akbar) dan meninggalkan perbuatan Riya’. Hal yang demikian kerana ikhlas itu dituntut di dalam Tauhid (akidah) dan juga di dalam amalan. Ikhlas dalam Tauhid adalah meninggalkan syirik jaliy (nyata), manakala ikhlas dalam amalan pula adalah meninggalkan syirik khafi (tersembunyi) iaitu Riya’.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/502)
Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, kami nyatakan bahawa Syirik kecil atau dinamakan sebagai al-syirk al-asghar tidak mengeluarkan pelakunya daripada agama Islam, sebaliknya menjadikan dirinya sebagai seorang Muslim namun berstatus fasiq; iaitu pelaku dosa besar yang berada dalam kemurkaan Allah sentiasa selagi belum meninggalkan dosa tersebut.
Namun ia hanya menjadi dosa besar apabila dilakukan tanpa disertai iktikad (pegangan) yang menafikan Allah SWT serta sekalian hak-Nya dalam Ketuhanan. Adapun jika syirik kecil dilakukan disertai iktikad menafikan Allah SWT serta mana-mana daripada hak-Nya, maka ia boleh menjadi syirik akbar.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata: “(Syirik kecil) adalah salah satu dosa besar, kerana meskipun ia bukan perbuatan syirik (secara khusus dan nyata), namun ia mendorong dan membawa kepadanya.” (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, hlm. 274)
Jenis Syirik | Definisi dan Takrifan |
Syirik Akbar (الشِّرْكُ الْأَكْبَرُ) | Perbuatan dosa kufur dan syirik nyata yang mengeluarkan seseorang daripada agama Islam secara mutlak.
Contoh: Menganggap ada pencipta atau sembahan selain Allah, sujud dan ruku’ kepada selain Allah, berdoa kepada sembahan-sembahan orang kafir. |
Syirik Asghar (الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ) | Perbuatan menghampiri/menuju ke arah syirik akbar yang menyebabkan seseorang Muslim berdosa besar dan dihukum sebagai fasiq. Tidak mengeluarkan pelakunya daripada Islam.
Contoh: Riya yang sedikit, bersumpah dengan nama selain Allah, menisbahkan hujan kepada gerakan bintang-bintang dan lain-lain. |
Antara syirik asghar atau syirik kecil adalah perbuatan Riya’, Imam Ibn Hajar al-Haitami menjelaskan dalam al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir (hlm. 63) berkenaan dosa Riya’ ketika menyatakan dosa yang kedua daripada jenis syirik kecil. Pengharamannya telah ditegaskan di dalam al-Quran, al-Sunnah dan ijma‘ umat Islam. Adapun dalil daripada ayat-ayat al-Quran adalah seperti berikut, firman Allah SWT:
الَّذِينَ هُمْ يُرَاءُونَ
Maksudnya: “(Celakalah) orang yang riya’.”
(Surah al-Ma’un: 6)
Begitu juga firman Allah SWT:
وَالَّذِينَ يَمْكُرُونَ السَّيِّئَاتِ لَهُمْ عَذَابٌ شَدِيدٌ
Maksudnya: “Dan orang-orang yang merancang perbuatan buruk, bagi mereka itu azab yang dahsyat.”
(Surah Fatir: 10)
Imam Mujahid Jabr menafsirkan ayat di atas berkata: “Mereka itu adalah golongan orang yang Riya’.” Seterusnya firman Allah:
وَلا يُشْرِكْ بِعِبَادَةِ رَبِّهِ أَحَدًا
Maksudnya: “Dan janganlah menyekutukan Tuhanmu dengan suatu apa pun dalam amal ibadah.”
(Surah al-Kahfi: 110)
Iaitu: janganlah dia melakukan Riya’ dalam seluruh amal solehnya, ayat ini turun mengecam orang yang mahukan ganjaran duniawi berupa harta dan pujian daripada amal baiknya.
Seterusnya adalah firman Allah SWT:
إِنَّمَا نُطْعِمُكُمْ لِوَجْهِ اللَّهِ لا نُرِيدُ مِنْكُمْ جَزَاءً وَلا شُكُورً
Maksudnya: “Sesungguhnya kami (ahli Syurga) memberi makan kepada kalian (di dunia) semata-mata kerana mengharapkan keredhaan Allah; kami tidak menghendaki balasan dan habuan duniawi sedikit pun.”
(Surah al-Insan: 9)
Adapun dalil daripada Sunnah, adalah sabdaan Nabi SAW:
إنَّ أَخْوَفَ مَا أَخَافُ عَلَيْكُمْ الشِّرْكُ الْأَصْغَرُ الرِّيَاءُ يَقُولُ اللَّهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ إذَا جَزَى النَّاسَ بِأَعْمَالِهِمْ: اذْهَبُوا إلَى الَّذِينَ كُنْتُمْ تُرَاءُونَ فِي الدُّنْيَا اُنْظُرُوا هَلْ تَجِدُونَ عِنْدَهُمْ جَزَاءً
Maksudnya: “Sesungguhnya yang aku paling takutkan kepada kalian adalah al-Syirk al-Asghar (syirik kecil) iaitu perbuatan Riya’, Allah SWT bertitah pada hari kiamat kelak apabila manusia dibalas atas setiap perbuatan mereka: ‘Pergilah kalian kepada orang-orang yang kalian beramal kerana mereka dahulu di dunia dahulu, akibat Riya’ kalian. Lihatlah di sisi mereka, ada atau tidak ganjaran kalian itu.’”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu‘ab al-Iman (6831); dinilai sahih oleh Syeikh Syu‘aib al-Arnaut dalam Takhrij al-Musnad (23636)
Syirik kecil ini tidak terhad kepada perbuatan Riya’ sahaja semata. Banyak lagi dosa-dosa lain yang merupakan syirik asghar. Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah mengkelaskan perbuatan Riya’ sebagai syirik kecil, seterusnya diikuti dengan dosa-dosa lain yang turut diklasifikasikan sebagai syirik kecil:
وأما الشرك الأصغر: فكيسير الرياء، والتصنع للخلق، والحلف بغير الله
“Adapun syirik asghar: contohnya adalah seperti perasaan Riya’ yang sedikit, melakukan perbuatan yang meniru ciptaan Allah/menisbahkan kejadian alam secara mutlak kepada makhluk dan bersumpah dengan nama selain Allah.” (Lihat Madarij al-Salikin, 1/530)
Kesimpulannya, kami tegaskan di sini bahawa syirik kecil tidak mengeluarkan seseorang daripada agama Islam. Syirik kecil juga tidak terhad kepada dosa Riya’ sahaja; bahkan banyak lagi senarai dosa-dosa syirik kecil yang disenaraikan oleh ulama seperti bersumpah dengan nama selain Allah, sengaja bertemu dan membaca penjelasan tukang tilik meskipun tanpa mempercayainya, menisbahkan kejadian alam kepada makhluk, dan lain-lain.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.