Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami, berapakah anak-anak Saidina Ali R.A?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
إِنَّمَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيُذْهِبَ عَنكُمُ الرِّجْسَ أَهْلَ الْبَيْتِ وَيُطَهِّرَكُمْ تَطْهِيرًا
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah (perintahkan kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan diri kamu – wahai “AhlulBait” dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji).”
(Surah al-Ahzab: 33)
Syeikh Ibrahim bin Mar’i al-Syabrakhiti berkata: Saidina ‘Ali R.A mempunyai anak seramai 14 orang lelaki dan 19 orang perempuan. (Lihat al-Futuhat al-Wahbiyyah bi Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 84)
Antara anak-anak Saidina ‘Ali ialah:
Pertama: Hasan bin Ali R.Anhuma
Beliau merupakan cucu Rasulullah SAW dan merupakan anak kepada Ali bin Abu Talib R.A bersama Fatimah R.Anha. Beliau juga merupakan adik beradik dengan Husain bin Ali.
Nama penuh beliau ialah Abu Muhammad al-Hasan bin Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf al-Qurasyi. Beliau digelar sebagai “Raihanah Rasulillah SAW” dan merupakan cucu kepada Baginda SAW. Selain itu, beliau juga adalah penghulu bagi segala pemuda ahli Syurga. Beliau dilahirkan pada bukan Syaaban tahun ke-3 Hijrah. Namun, terdapat pendapat menyatakan bahawa beliau dilahirkan pada pertengahan bulan Ramadhan tahun ke-3 Hijrah. Namun, pendapat yang menyatakan beliau dilahirkan pada bulan Syaaban adalah lebih sahih. Rasulullah SAW telah melakukan akikah buatnya dengan seekor kibasy. Di samping itu, beliau turut meriwayatkan hadith daripada datuknya, Rasulullah SAW, bapanya dan juga ibunya. Manakala mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah anaknya sendiri iaitu al-Hasan bin al-Hasan, Suwaid bin Ghafalah, Abu al-Haura’ al-Sa‘di, al-Sya‘bi, Hubairah bin Yarim, Asbagh bin Nubatah dan al-Musayyib bin Nujabah. Selain daripada itu, beliau juga mirip kepada datuknya, Rasulullah SAW.
Dikatakan bahawa Ali R.A merupakan seorang yang sangat suka berperang (Harb). Maka, ketika al-Hasan dilahirkan, beliau ingin menamakannya sebagai Harb. Akan tetapi Rasulullah SAW menamakannya sebagai al-Hasan. Begitu juga ketika al-Husain dilahirkan, beliau sekali lagi ingin menamakannya sebagai Harb. Akan tetapi Rasulullah SAW menamakannya sebagai al-Husain. Terdapat riwayat daripada Abdullah bin Muhammad bin ‘Aqil, daripada Muhammad bin Ali, daripada bapanya bahawa beliau menamakan anaknya yang sulung sebagai Hamzah dan menamakan Husain dengan nama pakciknya iaitu Jaafar. Lalu Nabi SAW memanggilnya dan menyatakan bahawa telah menukar nama kedua anak itu kepada Hasan dan Husain. Manakala menurut Ibn ‘Uyainah daripada ‘Amr daripada ‘Ikrimah bahawasanya ketika Fatimah melahirkan Hasan, beliau telah membawanya menemui Nabi SAW dan Baginda menamakannya sebagai Hasan. Begitulah juga ketika Fatimah melahirkan anaknya yang seorang lagi, dan Baginda menamakannya sebagai Husain dan bersabda: “Inilah sebaik-baik nama daripada ini.”
Abu Bakrah berkata: Aku melihat Rasulullah SAW di atas mimbar dan al-Hasan bin Ali berada di sampingnya, Baginda sesekali menghadap ke arah manusia dan sesekali menghadap ke arahnya, lalu bersabda: “Sesungguhnya anakku (cucuku) ini adalah seorang pemimpin, semoga dengannya, Allah mendamaikan antara dua kelompok yang besar (yang bertikai) daripada kalangan kaum Muslimin.” (Riwayat al-Bukhari, 2704). Begitu juga terdapat riwayat daripada Ummu Salamah bahawasanya Nabi SAW telah menutup Hasan, Husain dan Fatimah dengan sehelai kain, kemudian berdoa: “Ya Allah, mereka ini adalah ahli baitku dan orang-orang terdekatku. Ya Allah, hilangkanlah daripada mereka dosa, dan sucikanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.”
Menurut Jaafar al-Sadiq, Hasan telah hidup selama 47 tahun. Pada ulama telah berbeza pendapat berkenaan tahun kewafatannya. Al-Waqidi, Sa‘id bin ‘Ufair dan Khalifah berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 49 Hijrah. Manakala al-Mada’ini, al-Ghalabi, al-Zubair, Ibn al-Kalbi dan selain mereka berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 50 hijrah. Sebahagian daripada mereka menambah, pada bulan Rabi‘ul Awwal. Imam al-Bukhari pula berpendapat, beliau meninggal dunia pada tahun 51 Hijrah. Dikatakan sebab kematiannya adalah kerana racun yang diberikan oleh Jad‘ah binti al-Asy‘ath bin Qais.
Terdapat riwayat daripada Ibn Ishaq, katanya: Musawir al-Sa‘di menyampaikan kepadaku, katanya: Aku melihat Abu Hurairah berdiri di atas masjid Rasulullah SAW pada hari kematian al-Hasan, dalam keadaan menangis dan beliau menyeru dengan suaranya yang nyaring: “Wahai sekalian manusia! Pada hari ini telah wafatnya orang yang dicintai dan dikasihi oleh Rasulullah SAW, maka menangislah.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/245-279).
Al-Hasan bin Ali R.Anhuma sangat mirip kepada Nabi SAW. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Anas R.A, katanya:
لَمْ يَكُنْ أَحَدٌ أَشْبَهَ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنَ الحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ
Maksudnya: “Tidak ada seseorang pun yang lebih menyerupai dengan Nabi SAW berbanding al-Hasan bin Ali.”
Riwayat al-Bukhari (3752)
Imam al-Bukhari meriwayatkan dengan sanadnya daripada ‘Uqbah bin al-Harith, bahawa beliau berkata:
رَأَيْتُ أَبَا بَكْرٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَحَمَلَ الحَسَنَ وَهُوَ يَقُولُ: بِأَبِي، شَبِيهٌ بِالنَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، لَيْسَ شَبِيهٌ بِعَلِيٍّ. وَعَلِيٌّ يَضْحَكُ
Maksudnya: “Aku melihat Abu Bakar R.A mendukung al-Hasan dan berkata: ‘Demi bapaku, sungguhlah beliau mirip dengan Nabi SAW, dan tidak mirip dengan Ali,’ dan Ali R.A pun tersenyum (mendengarnya).”
Riwayat al-Bukhari (3750)
ِAl-Hasan bin Ali R.Anhuma termasuk dalam kalangan mereka yang dijanjikan syurga. Hal ini dapat dilihat menerusi riwayat daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
الحَسَنُ وَالحُسَيْنُ سَيِّدَا شَبَابِ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Al-Hasan dan al-Husain adalah penghulu bagi sekalian pemuda ahli syurga.”
Riwayat al-Tirmizi (3768) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih; Riwayat Ahmad (11636); al-Nasa’i dalam al-Kubra (8113); al-Albani menilainya sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3181)
Kedua: Husain bin Ali R.Anhuma
Beliau merupakan cucu Rasulullah SAW dan anak kepada Ali bin Abu Talib R.A bersama Fatimah R.Anha. Beliau juga adalah adik beradik dengan Hasan bin Ali.
Beliau ialah Abu ‘Abdillah al-Husain bin Abu al-Hasan Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf bin Qusai al-Qurasyi al-Hasyimi. Beliau merupakan seorang Imam yang mulia lagi sempurna, cucu kepada Rasulullah SAW, wangian (Raihanah) Baginda daripada dunia dan disayangi Baginda. Menurut al-Zubair, beliau dilahirkan pada hari ke-5 Syaaban, tahun 4 Hijrah. Hani’ bin Hani’ meriwayatkan daripada Ali, katanya: “Al-Husain menyerupai atau mirip Rasulullah SAW daripada dada hingga kedua kakinya.” Terdapat riwayat daripada Ibn Juraij, daripada Umar bin ‘Ata’, katanya: “Aku melihat al-Husain mewarnakan (rambutnya) dengan wasmah. Oleh itu, kepalanya (rambutnya) dan janggutnya berwarna sangat hitam.”
Beliau meriwayatkan hadith daripada datuknya iaitu Rasulullah SAW, kedua ibu bapanya, Umar dan lain-lain. Manakala mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah kedua anaknya iaitu Ali dan Fatimah, ‘Ubaid bin Hunain, Hammam al-Farazdaq, ‘Ikrimah, al-Sya‘bi, Talhah al-‘Uqaili, anak saudaranya iaitu Zaid bin al-Hasan, cucunya iaitu Muhammad bin Ali al-Baqir dan lain-lain.
Selain daripada itu, terdapat juga riwayat daripada Muhammad bin Abu Ya‘qub, aku mendengar Ibn Abi Nu‘m, aku mendengar Abdullah bin Umar, sewaktu seorang lelaki (daripada Iraq) bertanya kepadanya berkenaan (hukum-hakam) orang yang berihram? Syu‘bah berkata: “Aku menyangka dia telah membunuh seekor lalat.”[1] Maka Ibn Umar berkata: “Penduduk Iraq bertanya berkenaan membunuh lalat, padahal mereka telah membunuh anak kepada puteri Rasullullah SAW, sedangkan Nabi SAW telah bersabda: ‘Kedua-duanya (al-Hasan dan al-Husain) adalah Raihan (wangian) bagiku di dunia ini.’” (Riwayat al-Bukhari, 3753).
Begitu juga terdapat riwayat daripada Abu Ayyub al-ANsari, katanya: “Aku masuk menemui Rasulullah SAW dan ketika itu al-Hasan dan al-Husain sedang bermain-main di atas dada Baginda. Maka, aku bertanya: ‘Wahai Rasulullah, adakah engkau menyayangi dan mencintai mereka berdua?’ Baginda SAW bersabda: ‘Bagaimana aku tidak menyayangi mereka berdua, kerana kedua-duanya adalah wangian bagiku daripada dunia.’” Selain itu juga, terdapat riwayat daripada Ya‘la al-‘Amiri bahawasanya Rasulullah SAW bersabda: “Husain adalah salah seorang cucu. Maka sesiapa yang mencintaiku, maka hendaklah dia juga mencintai Husain.”
Di samping itu, diriwayatkan daripada al-Harith, daripada Ali secara marfu‘ bahawasanya al-Hasan dan al-Husain adalah penghulu bagi para pemuda ahli syurga. Begitu juga terdapat riwayat daripada Jabir bahawasanya beliau berkata — dan ketika itu al-Husain sedang memasuki masjid —: “Sesiapa yang suka untuk melihat kepada penghulu bagi sekalian pemuda ahli syurga, maka lihatlah kepada orang ini.” Selain itu terdapat riwayat daripada Ummu Salamah bahawasanya Nabi SAW telah menutup Hasan, Husain dan Fatimah dengan sehelai kain, kemudian berdoa: “Ya Allah, mereka ini adalah ahli baitku dan orang-orang terdekatku. Ya Allah, hilangkanlah daripada mereka dosa, dan sucikanlah mereka dengan sebersih-bersihnya.” (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/280-283).
Al-Husain bin Ali R.Anhuma juga sangat mirip kepada datuknya, Rasulullah SAW. Hal ini sebagaimana riwayat daripada Anas bin Malik R.A, katanya:
أُتِيَ عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ زِيَادٍ بِرَأْسِ الحُسَيْنِ عَلَيْهِ السَّلاَمُ فَجُعِلَ فِي طَسْتٍ فَجَعَلَ يَنْكُتُ وَقَالَ فِي حُسْنِهِ شَيْئًا، فَقَالَ أَنَسٌ: كَانَ أَشْبَهَهُمْ بِرَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكَانَ مَخْضُوبًا بِالوَسْمَةِ.
Maksudnya: “Kepala al-Husain A.S dibawakan kepada ‘Ubaidullah bin Ziyad (pemimpin Kufah yang berpihak kepada Yazid bin Mu‘awiyah). Lalu kepala itu diletakkan di atas sebuah talam (bekas). Dia mula menusuknya (diantara mata dengan hidung) serta mengatakan sesuatu tentang ketampanannya (dalam bentuk kejian).” Anas berkata: “Beliau (al-Husain) sangat mirip dengan Rasulullah SAW di antara kamu semua. Rambutnya diwarnai dengan wasmah.”[2]
Riwayat al-Bukhari (3748)
Beliau juga adalah salah seorang penghulu sekalian pemuda ahli syurga. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Abu Sa‘id al-Khudri, katanya: Rasulullah SAW bersabda:
الحَسَنُ وَالحُسَيْنُ سَيِّدَا شَبَابِ أَهْلِ الجَنَّةِ
Maksudnya: “Al-Hasan dan al-Husain adalah penghulu bagi sekalian pemuda ahli syurga.”
Riwayat al-Tirmizi (3768) dan beliau menilainya sebagai hasan sahih; Riwayat Ahmad (11636); al-Nasa’i dalam al-Kubra (8113); al-Albani menilainya sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (3181)
Selain itu, Husain juga merupakan orang yang banyak melakukan amalan kebaikan seperti puasa, solat, haji, sedekah dan lain-lain. Dikatakan bahawa al-Husain tidak suka apa yang dilakukan oleh saudaranya, al-Hasan yang menyerahkan urusan kepimpinan itu kepada Mu‘awiyah, dan berkata: “ Demi Allah, engkau membenarkan cerita Mu‘awiyah dan mendustakan cerita ayahmu.” Maka, al-Hasan berkata kepadanya: “Diamlah, sesungguhnya aku lebih mengetahui berkenaan urusan ini berbanding engkau.” Beliau telah dibunuh pada hari Jumaat — namun terdapat pendapat menyatakan, pada hari Sabtu — bersamaan pada hari ‘Asyura’ tahun 61 Hijrah di Karbala’ iaitu satu tempat di Iraq. Orang yang telah membunuhnya itu ialah Sinan bin Anas al-Nakha‘i. (Lihat Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 2/24).
Ketiga: Muhassin bin Ali R.Anhuma
Nama penuhnya ialah al-Muhassin bin Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib al-Hasyimi. Beliau adalah salah seorang daripada cucu Nabi SAW.
Terdapat riwayat daripada Hani’ bin Hani’, daripada Ali R.A, katanya: “Ketika al-Hasan dilahirkan, aku menamakannya sebagai Harb. Kemudian Rasulullah SAW datang kepadaku, lalu bertanya: ‘Tunjukkan kepadaku anakku (yakni cucuku), apakah nama yang kamu telah berikan kepadanya?’” Ali berkata: “Aku menjawab: ‘Harb.’ Baginda SAW bersabda: ‘Bahkan, namanya ialah Hasan.’ Begitu juga ketika mana al-Husain dilahirkan, aku menamakannya sebagai Harb. Setelah itu, Rasulullah SAW datang kepadaku dan bertanya: ‘Tunjukkan kepadaku anakku (yakni cucuku), apakah nama yang kamu telah berikan kepadanya?’” Ali berkata: “Aku menjawab: ‘Harb.’ Baginda SAW bersabda: ‘Bahkan, namanya ialah Husain.’ Begitulah juga ketika anak lelakiku yang ketiga dilahirkan, aku memberinya nama sebagai Harb. Kemudian Nabi SAW datang kepadaku, lalu bertanya: ‘Tunjukkan kepadaku anakku (yakni cucuku), apakah nama yang kamu telah berikan kepadanya?’ Aku menjawab: ‘Harb.’ Baginda bersabda: ‘Bahkan, namanya ialah Muhassin.’ Kemudian Baginda SAW bersabda lagi: ‘Aku menamakan mereka dengan nama-nama anak Harun; Syabbar, Syabir dan Musyabbir.’”
Riwayat Ahmad (769); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (769) menilai sanadnya sebagai hasan. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam al-Isabah (6/192) menilai sanadnya sebagai sahih.
Walau bagaimanapun, usianya tidak lama kerana beliau meninggal dunia ketika masih lagi kecil. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 6/191-192; Mukhtasar Sirah al-Nabi oleh al-Hafiz ‘Abd al-Ghani al-Maqdisi, hlm. 77).
Keempat: Ummu Kulthum binti Ali R.Anhuma
Beliau ialah Ummu Kulthum binti Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim al-Hasyimiyyah. Ibunya pula bernama Fatimah binti Rasulullah SAW. Beliau adalah adik-beradik kandung kepada al-Hasan dan al-Husain. Beliau dilahirkan pada penghujung tahun 6 Hijrah, dan sempat melihat Nabi SAW tetapi tidak meriwayatkan apa-apa hadith daripadanya.
Umar bin al-Khattab R.A masuk meminangnya, dan ketika itu Ummu Kulthum masih lagi kecil. Maka, ditanyakan kepada Umar R.A: “Apa yang kamu mahukan kepadanya?” Umar R.A menjawab: Sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
كُلُّ سَبَبٍ وَنَسَبٍ مُنْقَطِعٌ يَوْمَ القِيَامَةِ إِلاَّ سَبَبِي وَنَسَبِي
Maksudnya: “Semua sebab (asal usul) dan nasab akan terputus pada hari kiamat kecuali sebab dan nasabku.”
Riwayat al-Bazzar (274); al-Tabarani (2633); al-Zahabi dalam al-Muhazzab (5/2632) menilai sanadnya sebagai baik (soleh); Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij Siyar A‘lam al-Nubala’ (3/500) menilainya sebagai sahih; al-Bazzar dalam al-Ahkam al-Syar‘iyyah al-Kubra (3/75) menyebutkan, (dalam jalur ini) Abdullah bin Zaid bersendirian dalam meriwayatkannya daripada bapanya, manakala dalam jalur yang lain adalah mursal. Selain itu, Abdullah bin Zaid telah dinilai sebagai dhaif oleh Yahya bin Ma‘in, akan tetapi Ahmad bin Hanbal menilainya sebagai thiqah. Manakala Abu Hatim pula berpendapat, dia tidak ada masalah.
Tambahan lagi, Abdullah bin Zaid bin Aslam meriwayatkan daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Umar menikahi Ummu Kulthum dan memberinya mahar sebanyak 40 ribu dirham.
Diceritakan bahawa Umar bin al-Khattab R.A berkata kepada Ali R.A: “Kahwinkanlah aku dengannya wahai Abu Hasan kerana sesungguhnya aku tertarik kepada kemuliaannya apa yang tidak ada pada orang lain.” Ali berkata: Kalau begitu, aku akan menghantarnya kepada kamu. Jika kamu redha dengannya, maka aku akan kahwinkan kamu dengannya — disebabkan oleh Ummu Kulthum ketika itu masih lagi kecil. Setelah itu, Ali R.A menghantar Ummu Kulthum R.Anha kepada Umar R.A dengan membawa bersamanya al-Burd (sejenis pakaian berbelang yang membaluti). Kemudian Ali berpesan kepada Ummu Kulthum: “Katakanlah kepadanya: ‘Ini adalah al-Burd yang aku pernah sebutkan kepadamu.’”
Maka Ummu Kulthum menyebutkan perkara tersebut kepadanya. Lalu Umar berkata: “Katakanlah kepadanya: ‘Sesungguhnya aku meredhainya, semoga Allah meredhaimu,’” dan Umar pun meletakkan tangannya pada betis Ummu Kulthum dan menyelaknya (yakni kain yang menutupi betis Ummu Kulthum). Maka, Ummu Kulthum berkata: “Adakah engkau melakukan perkara ini? Kalaulah bukan kerana engkau Amirul Mukminin, pasti aku dah pecahkan hidung engkau.” Kemudian beliau pergi kepada bapanya lalu memberitahunya apa yang berlaku, dan beliau berkata: “Sesungguhnya engkau telah menghantarku kepada seorang lelaki tua yang jahat.” Lalu Ali R.A berkata: “Wahai anak perempuanku, sesungguhnya dia adalah suamimu.”
Setelah itu, Umar bin al-Khattab R.A pergi ke majlis kaum Muhajirin di dalam al-Raudhah. Hal ini kerana di situ menjadi tempat kaum Muhajirin yang terawal biasanya duduk. Lalu Umar duduk bersama mereka dan berkata kepada mereka: “Berilah ucapan tahniah dan doa kepadaku.” Maka mereka bertanya: “Kenapa wahai Amirul Mukminin?” Umar menjawab: “Aku telah berkahwin dengan Ummu Kulthum binti Ali bin Abu Talib. Aku pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda: ‘Semua nasab, sebab dan hubungan kekeluargaan akan terputus pada hari kiamat kecuali nasab, sebab dan hubungan kekeluargaanku.’ Maka, aku (sudah) mempunyai sebab dan nasab dengannya, dan aku ingin pula berhimpun hubungan kekeluargaan (melalui perkahwinan) dengannya.” Maka, mereka (kaum Muhajirin) R.Anhum pun mengucapkan tahniah kepada Umar dan mendoakannya.
Al-Zuhri dan ulama selainnya menukilkan bahawa Ummu Kulthum R.Anha melahirkan buat Umar R.A seorang anak lelaki bernama Zaid. Namun, ada juga yang berpendapat, beliau melahirkan buatnya seorang anak perempuan bernama Ruqayyah. Anaknya yang bernama Zaid merupakan salah seorang pemuka Quraisy yang sangat dihormati. Akan tetapi Zaid bin Umar meninggal dunia ketika masih lagi muda dan tidak meninggalkan zuriat.
Setelah Umar bin al-Khattab R.A meninggal dunia, Ummu Kulthum berkahwin dengan ‘Aun bin Jaafar bin Abu Talib, dan beliau sangat mencintainya. Kemudian, setelah ‘Aun meninggal dunia, bapanya iaitu Ali R.A mengahwinkannya pula dengan Muhammad bin Jaafar. Setelah Muhammad meninggal dunia, bapanya mengahwinkannya pula dengan Abdullah bin Jaafar, dan Ummu Kulthum meninggal dunia ketika menjadi isterinya. Menurut al-Zahabi, beliau tidak melahirkan seorangpun anak hasil perkahwinannya dengan tiga orang beradik tersebut. Namun, al-Zuhri menyebutkan bahawa Ummu Kulthum ada melahirkan seorang anak perempuan buat Muhammad bin Jaafar, dan anak itu bernama Bathnah.
Ibn Abi Khalid meriwayatkan daripada al-Sya‘bi, katanya: Aku datang dan Ibn Umar mendirikan solat jenazah ke atas saudara lelakinya Zaid bin Umar dan ibunya, Ummu Kulthum binti Ali. Manakala Hammad bin Salamah meriwayatkan daripada ‘Ammar bin Abu ‘Ammar bahawa Ummu Kulthum dan Zaid bin Umar meninggal dunia. Setelah kedua-duanya selesai dikafankan, jenazah kedua-duanya telah disolatkan oleh Sa‘id bin al-‘As yang merupakan gabenor Madinah ketika itu. Akan tetapi dalam Mukhtasar Tarikh Dimasyq dinyatakan, riwayat yang lebih terpelihara (mahfuz) bahawasanya Abdullah bin Umar R.anhuma yang telah mengimamkan solat jenazah ke atas kedua-duanya di kediaman Sa‘id bin al-‘As, dan di antara mereka yang solat di belakangnya ialah al-Hasan, al-Husain, Ibn al-Hanafiyyah, Ibn Abbas dan ramai lagi. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’,3/500-502; al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/464-466; al-Muntazam fi Tarikh al-Muluk wa al-Umam, 4/237-238; Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 9/162).
Imam al-Nawawi menukilkan daripada Ibn Abi Hatim, katanya: Aku mendengar bapaku berkata: “Zaid dan ibunya, Ummu Kulthum meninggal dunia pada waktu yang sama, dan ketika itu dia masih lagi kecil, serta tidak diketahui yang mana antara keduanya yang terlebih dahulu meninggal dunia.” (Lihat Tahzib al-Asma’ wa al- Lughat, 1/204; al-Jarh wa al-Ta‘dil oleh Ibn Abi Hatim, 3/568).
Diceritakan bahawa berlaku peperangan atau pertelingkahan dalam kalangan Bani ‘Adi bin Ka‘ab. Lalu Zaid bin Umar datang untuk meleraikan antara mereka satu sama lain, maka dia telah bercampur dengan mereka yang bertelingkah itu. Tiba-tiba seseorang daripada mereka telah memukulnya pada bahagian kepala dalam kegelapan malam dan dia tidak mengenalinya. Maka kepala Zaid telah cedera kerana pukulan tersebut dan dia pun jatuh dari haiwan tunggangannya. Kemudian orang ramai pun menjerit: “Zaid… Zaid…” Lalu mereka yang bertelingkah pun bersurai. Kemudian, Abdullah bin Muti‘ datang, dan bila mana dia melihat Zaid dalam keadaan terbaring selepas terjatuh, dia pun turun dan membangunkannya sambil memanggil-manggil nama Zaid dua atau tiga kali, sehinggalah apabila Zaid menyahutnya, (barulah dia berhenti) dan Ibn Muti‘ pun bertakbir. Kemudian dia membawanya di atas baghalnya sehingga sampai di rumahnya. Di sana dia telah merawat kecederaan Zaid di kepalanya sehingga dia meninggal dunia. Dikatakan, dia sembuh lalu dia ditanya berkenaan orang yang memukulnya, tetapi dia tidak menyebutkan namanya. Kemudian, luka di kepala Zaid bin Umar terbuka kembali dan dia berterusan menanggung kesakitan tersebut, dan juga mengalami sakit pada perut. Lalu dia pun meninggal dunia.
Sebahagian ahli ilmu menyebutkan bahawa Zaid bin Umar dan ibunya, Ummu Kulthum binti Ali telah sama-sama jatuh sakit. Lalu sakit kedua-duanya semakin berat dan parah. Diceritakan bahawa seorang lelaki berjalan di antara keduanya bagi melihat siapakah antara mereka berdua yang akan wafat terlebih dahulu, lalu yang seorang lagi akan mewarisi pusakanya. Namun, kedua-duanya wafat pada waktu yang sama, sehingga tidak diketahui yang mana antara keduanya yang wafat terlebih dahulu. Justeru, kedua-duanya saling tidak mewarisi.
Begitu juga Imam al-Zahabi menyebutkan dalam kitabnya, dikatakan bahawa telah berlalu rusuhan atau kekacauan pada suatu malam, dan Zaid sedang menunggang di dalamnya. Lalu beliau telah terkena batu dan meninggal dunia disebabkan oleh batu itu. Perkara tersebut berlaku pada awal pemerintahan Mu‘awiyah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 3/502; Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 9/161; Tarikh Dimasyq, 19/487; al-Munammaq fi Akhbar Quraisy, hlm. 312).
Kelima: Zainab binti Ali
Beliau ialah Zainab binti Ali bin Abu Talib bin ‘Abd al-Muttalib al-Hasyimiyyah. Beliau adalah cucu kepada Rasulullah SAW. Ibunya pula ialah Fatimah al-Zahra’.
Ibn al-Asir menyebutkan, Zainab dilahirkan semasa Nabi SAW masih hidup. Beliau adalah seorang wanita yang cerdik (berakal) dan cerdas, serta petah berkata-kata. Bapanya iaitu Ali R.A telah menikahkannya dengan anak saudaranya, Abdullah bin Jaafar. Hasil perkahwinan tersebut, mereka telah dikurniakan anak yang bernama Ali, ‘Aun al-Akbar, Abbas, Muhammad, Ummu Kulthum, Ruqayyah (tetapi dia meninggal dunia sebelum mencecah usia baligh) dan Jaafar.
Selain daripada itu, Zainab juga ada bersama saudara lelakinya, al-Husain R.A saat beliau dibunuh. Lalu Zainab dibawa ke Damsyik dan dibawa bertemu dengan Yazid bin Mu‘awiyah. Ucapan atau kata-katanya kepada Yazid bin Mu‘awiyah ketika al-Syami meminta saudara perempuannya Fatimah sangat masyhur dan ia menunjukkan kepada kepintaran dan keteguhan hatinya. (Lihat al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 8/166-167; Usd al-Ghabah fi Ma‘rifah al-Sahabah, 6/132-133; al-Tabaqat al-Kubra, 8/465; Imta‘ al-Asma‘ bi ma li al-Nabi min al-Ahwal wa al-Amwal al-Hafadah wa al-Mata‘, 5/371; al-Zurriyyah al-Tahirah al-Nabawiyyah, hlm. 119).
Zainab binti Ali telah menetap di Madinah selepas al-Husain gugur syahid, dan begitu juga selepas syahidnya dua orang anak lelakinya; ‘Aun dan Muhammad. Beliau telah hidup selepas kesyahidan mereka selama lebih dari setahun. Disebutkan bahawa Zainab meninggal dunia di sisi suaminya, Abdullah bin Jaafar. Ada pendapat yang menyatakan bahawa Zainab binti Ali meninggal dunia pada tahun 62 Hijrah, dan dikebumikan di perkuburan Baqi‘ di Madinah Munawwarah. Ada juga yang berpendapat bahawa beliau dikebumikan di Mesir, dan ada juga yang berpendapat, beliau dikebumikan di Syam.
Walau bagaimanapun, pendapat yang lebih tepat adalah tidak ada mana-mana pendapat mahupun nas yang sahih lagi putus dalam perkara tersebut. Akan tetapi sebahagian ulama menyatakan, tidak disebutkan bahawasanya Zainab binti Ali pernah pergi ke Mesir dan begitu juga tidak terdapat mana-mana sumber yang dipercayai menunjukkan keluarnya dari Madinah Munawwarah. Justeru, pendapat yang tepat dalam hal ini di sisi para ulama adalah beliau wafat di Madinah dan dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat al-Lu’lu’ al-Maknun fi Sirah al-Nabi al-Makmun, 2/513; Nisa’ Ahl al-Bait fi Dhau’ al-Quran wa al-Hadith, hlm. 648-649).
Keenam: Ruqayyah binti Ali
Berkenaan hal ini, para ulama berselisih pendapat mengenainya, di mana adakah Ruqayyah binti Ali merupakan salah seorang daripada anak-anak hasil perkahwinan Ali R.A dan Fatimah R.Anha, ataupun bukan. Ada dalam kalangan mereka yang berpendapat, anak-anak mereka adalah seramai lima orang tidak termasuk Ruqayyah, dan ada juga yang berpendapat, anak-anak mereka adalah seramai enam orang termasuklah salah seorangnya bernama Ruqayyah.
Muhibbuddin al-Tabari ketika menyebutkan mengenai anak-anak Fatimah R.Anha, menukilkan daripada al-Laith bin Sa‘ad yang menyebutkan, Ali R.A telah menikahi Fatimah R.Anha, lalu Fatimah R.Anha telah melahirkan buatnya anak yang bernama Hasan, Husain, Muhassin, Zainab, Ummu Kulthum dan Ruqayyah, namun Ruqayyah telah meninggal dunia sebelum mencapai usia baligh. Manakala ulama selainnya pula berpendapat, Fatimah R.Anha melahirkan Hasan, Husain, Muhassin (dan dia meninggal dunia ketika masih kecil), Ummu Kulthum dan Zainab. (Lihat Zakha’ir al-‘Uqba fi Manaqib Zawi al-Qurba, hlm. 55; lihat juga Irsyad al-Sari oleh al-Qastalani, 6/141).
Begitu juga Ibn al-Jauzi juga ada menyatakan, Fatimah R.Anha telah melahirkan buat Ali R.A anak-anak yang bernama al-Hasan, al-Husain, Zainab dan Ummu Kulthum. Namun, Ibn Ishaq menambah, termasuk dalam kalangan anak-anak Fatimah R.Anha dan Ali R.A ialah seorang anak lelaki yang bernama Muhassin, tetapi dia telah meninggal dunia ketika masih kecil. Selain itu, al-Laith bin Sa‘ad juga ada menambah bahawa mereka juga memiliki anak perempuan yang bernama Ruqayyah, tetapi dia telah meninggal dunia sebelum mencapai umur baligh. (Lihat Kasyf al-Musykil min Hadith al-Sahihain, 1/121).
Namun, menurut Ibrahim al-Mudaihisy, Ali R.A memang mempunyai anak perempuan yang bernama Ruqayyah. Akan tetapi ia bukan daripada Fatimah R.anha. Ibn Sa‘ad ada menyebutkan dalam kitabnya, al-Tabaqat al-Kubra mengenai anak-anak Ali bin Abu Talib R.A. Di antara mereka ialah Umar al-Akbar bin Ali dan Ruqayyah binti Ali, dan ibu mereka berdua pula ialah al-Sahba’ iaitu Ummu Habib binti Rabi‘ah bin Bujair bin al-‘Abd bin ‘Alqamah bin al-Harith bin ‘Utbah bin Sa‘ad bin Zuhair bin Jusyam bin Bakr bin Habib bin ‘Amr bin Ghanm bin Taghlib bin Wa’il. Asalnya Ummu Habib merupakan tawanan perang, yang ditawan dalam operasi serangan Khalid bin al-Walid ke atas Bani Taghlib yang terletak berdekatan kawasan ‘Ain al-Tamr. (Lihat Fatimah binti al-Nabi SAW Siratuha, Fadha’iluha, Musnaduha R.Anha, 3/401; lihat juga al-Tabaqat al-Kubra, 3/20).
Begitu juga anak-anak yang lain sebagaimana yang telah kami terangkan di atas. Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ
Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”
Nota Hujung:
[1] Maksudnya ialah penduduk Iraq menunjuk-nunjuk kesempurnaan taqwa mereka dengan bertanya hukum membunuh lalat sedangkan mereka berani membunuh Saidina Husain R.A.
[2] Wasmah ialah sejenis tumbuhan yang digunakan untuk mewarnakan rambut, berwarna gelap hampir kepada hitam.