Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya bertugas sebagai pegawai penjara. Ketika bertugas pada shift petang di hospital jaga banduan sakit saya menghadapi kesukaran untuk solat zohor dan asar kerana sop tugas saya tidak boleh tinggalkan banduan. Incaj pula hanya boleh ganti sekali sahaja kerana ada anggota lain lagi yang incaj kena ganti. Dan pada yg sama juga surau di hospital selalu penuh kerana waktu melawat. Bolehkah saya jamak kan solat saya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:
وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”
(Surah al-Nisa’:101)
Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)
Dalam menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terlebih dahulu syarat-syarat yang perlu dipenuhi untuk melakukan solat jamak dan qasar. Antara syarat-syarat tersebut:
- Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
- Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
- Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
- Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)
Pendapat Ulama Silam Tentang Solat Jamak Kerana Sakit Dan Uzur
Dalam mazhab al-Syafie, pendapat yang masyhur lagi muktamad bahawa jamak hanya pada safar yang jauh, ketika hujan dan ketika Hari Arafah. Adapun bagi orang yang sakit maka tidak boleh menjamakkan solat. Ini kerana faktor sakit adalah suatu yang tidak pasti sedangkan penetapan waktu solat adalah suatu yang sabit berdasarkan nas. Namun begitu Imam al-Nawawi dan beberapa ulama Syafieyyah lain seperti al-Qadhi Hussein, Ibn Suraij, al-Ruyani, al-Mawardi, al-Darimi, dan al-Mutawalli menyokong pendapat yang membenarkannya. (Lihat al-Taqrirat al-Sadidah – Qism Ibadat, hlm. 322)
Ibn Ruslan al-Syafie dalam Sofwah al-Zubad berkata:
في مَرَضٍ قَوْلٌ جَلِيٌّ وقَوِي اختارَهُ حَمْدٌ ويحيى النَّوَوِي
Tentang (jamak ketika) sakit, ada pendapat yang terang dan kuat.
Pilihan Hamdun (al-Khattabi) dan Yahya al-Nawawi
Para ulama ini menyokong mazhab Imam Ahmad bin Hanbal yang membenarkan jamak sekiranya terdapat keuzuran atau masyaqqah (kesukaran). Berkata Imam Ibn Qudamah dalam al-Mughni (2/205-206):
“Tidak diharuskan jamak selain daripada apa yang kami telah sebutkan (seperti musafir, tanah berlumpur, angin kuat, hujan, dan sakit). Berkata Ibn Syubrumah: Dibenarkan sekiranya ada hajat atau suatu urusan, selagi mana tidak dijadikan sebagai adat, berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Rasulullah SAW menjamakkan solat Zuhur dengan Asar, Maghrib dengan Isya’ tanpa sebab takut atau hujan. Ditanya Ibn Abbas mengapa Nabi berbuat demikian. Beliau menjawab kerana baginda tidak ingin memberatkan umatnya.
Di sisi kami (Mazhab Ahmad dan Jumhur ulama), hukum diambilkira daripada umum khabar-khabar syarak yang menentukan waktu solat. Hadis Ibn Abbas ini kami tanggungkan ia ketika sakit, dan diharuskan untuk mengambil rukhsah ini orang yang mengalami kesukaran seperti ibu yang menyusukan anak, orang tua yang lemah dan mereka yang seumpama mereka berdua yakni mereka yang sukar untuk tidak meninggalkan jamak. Hadith berkenaan juga memiliki kemungkinan bahawa (jika dijamakkan tanpa uzur) adalah dengan solat waktu pertama dilewatkan (tanpa melangkaui waktunya) dan solat kedua diawalkan pelaksanaannya pada awal waktu. Amr bin Dinar meriwayatkan hadis ini daripada Jabir bin Zaidm daripada Ibn Abbas. Amr bertanya kepada Jabir: Wahai Abu al-Sya’tha’! Aku berpendapat bahawa Nabi melewatkan zuhur dan mempercepatkan asar, melewatkan Maghrib dan menyegerakan Isyak. Berkata Jabir: Aku juga berpendapat sedemikian.”
Oleh itu, di sisi ulama salaf, sebahagian mereka berpendapat bahawa boleh seseorang sakit itu menjamakkan solat. Ini termasuk jua mereka yang memiliki situasi yang sama seperti orang sakit pada kesukaran untuk tidak meninggalkan jamak solat.
Menjawab persoalan di atas, kami berpandangan tidak boleh untuk anda menjamakkan solat dalam situasi tersebut. Ini kerana ada alternatif lain yang boleh diusahakan seperti menggari dahulu banduan tersebut untuk keselamatan dan solat di dalam bilik tersebut, atau bergilir dengan rakan yang diluar (seorang menjaga pintu keluar) dan seorang lagi solat di dalam bilik banduan tersebut setelah banduan itu digari.
Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”
(Surah Ibrahim: 40)