Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dapat duit hadiah dari seseorang (bukan muslim) yang memenangi duit loteri. Bolehkah saya gunakan untuk berbelanja bukan makanan. Jika tidak boleh, bolehkah saya sedekahkan ke tabung masjid.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT berikut:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.

(Surah al-An’am: 164)

Ayat di atas menerangkan bahawa dosa adalah dipikul oleh siapa yang melakukannya, seseorang hanya menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukannya sahaja dan dia tidak menanggung dosa atau kesalahan yang dilakukan oleh orang lain. Begitu juga keadaannya dengan pahala. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 212/3; Tafsir al-Mawardi, 196/2)

Sehubungan dengan itu, Dr Muhammad Zuhayli juga menyebut:

فَالْإِنْسَانُ مَسْؤُولٌ عَنْ نَفْسِهِ فَقَطْ، وَلَا يَكُونُ مَسْؤُولًا عَنْ غَيْرِهِ نِهَائِيًّا إِلَّا بِمَا أُنِيطَ بِهِ بِنَفْسِهِ

Maksudnya: Seorang manusia dipertanggungjawabkan untuk dirinya sahaja, dan dia tidak dipertanggungjawabkan pada hal berkaitan orang lain kecuali apa yang dilakukannya sendiri. (LihatAl-Wajiz fi Usul al-Fiqh, 470/1)

Tambahan lagi, terdapat juga sebuah athar daripada Ibn Mas’ud yang mana menunjukkan bahawa harus untuk seseorang menerima suatu pemberian yang diketahui sumber hartanya daripada sumber yang haram kerana penerima tidak menanggung dosa pemberi yang melakukan perkara haram.

Daripada Ibn Mas’ud, beliau ditanya seseorang tentang seorang jirannya yang memakan riba secara terang-terangan dan dia tidak rasa bersalah dengannya kemudian dia (pemakan riba) memanggilnya untuk datang makan, maka Ibn Mas’ud berkata:

‌أَجِيبُوهُ ‌فَإِنَّمَا ‌الْمَهْنَأُ ‌لَكُمْ ‌وَالْوِزْرُ ‌عَلَيْهِ

Maksudnya: “Jawablah panggilannya kerana jemputan itu untuk kamu manakala kesalahan memakan riba itu ditanggung mereka. (Lihatal-Bahr al-Muhit, 27/729;  Jami’ al-‘Ulum, 201/1; Zakhirah al-’Uqba, 40/336)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan hukum haram itu hanya kepada orang yang menerima duit loteri tersebut sahaja kerana menerimanya dengan cara yang haram. Manakala, bagi orang lain yang menerimanya tidak dihukum haram, sebagaimana kaedah fiqh menyebut:

تَبَدُّلُ سَبَبِ الْمُلْكِ قَائِمٌ مَقَامَ تَبَدُّلِ الذَّاتِ

Maksudnya: Perpindahan yang disebabkan oleh pemilikan akan mengakibatkan perubahan pada ain. (Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba’ah, 527/1)

Oleh itu, tidak mengapa untuk anda menerima duit itu dan membeli keperluan harian anda atau sedekah di masjid.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply