Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana cara atau prinsip Baginda Nabi SAW dalam berniaga?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّـهِ وَاذْكُرُوا اللَّـههَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: “Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).”
(Surah al-Jumuah : 10)
Imam al-Baghawi dalam menafsirkan ayat ini menyebut bahawa kita disuruh untuk bertebaran dalam mencari rezeki Allah SWT dalam bentuk perniagaan atau menyelesaikan apa-apa urusan dunia. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 8/123) Imam al-Qurtubi menyatakan bahawa apa-apa rezeki yang datangnya daripada Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 18/108)
Imam Hassan al-Banna menyatakan dalam prinsip pertama kesempurnaan Islam ialah umatnya perlu mempunyai kesungguhan dalam mencari rezeki atau berusaha dalam memperolehi kekayaan daripada rezeki Allah SWT. (Lihat al-Nahj al-Mubin li Syarh al-Usul al-‘Isyrin, hlm. 33)
Seterusnya, dalam surah yang sama, Allah SWT berfirman dalam ayat selanjutnya:
وَإِذَا رَأَوْا تِجَارَةً أَوْ لَهْوًا انفَضُّوا إِلَيْهَا وَتَرَكُوكَ قَائِمًا ۚ قُلْ مَا عِندَ اللَّهِ خَيْرٌ مِّنَ اللَّهْوِ وَمِنَ التِّجَارَةِ ۚ وَاللَّهُ خَيْرُ الرَّازِقِينَ
Maksudnya: “Dan apabila mereka mengetahui kedatangan barang-barang dagangan (yang baharu tiba) atau (mendengar) sesuatu hiburan, mereka bersurai (lalu pergi) kepadanya dengan meninggalkan engkau berdiri (di atas mimbar – berkhutbah). Katakanlah (wahai Muhammad:” Pahala – balasan) yang ada di sisi Allah, lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan itu; dan Allah sebaik-baik pemberi rezeki.”
(Surah al-Jumu’ah: 11)
Allah SWT membenarkan mereka untuk mencari rezeki dan apa sahaja yang mereka perlukan dari limpahan dan kurniaan-Nya yang dihalalkan bagi mereka. Namun Allah SWT memerintahkan mereka supaya berzikir mengingati Allah sebanyak-banyaknya dalam semua keadaan mereka. Sama ada mereka berada di masjid atau di luar masjid, mereka perlu sentiasa mengingati Allah dalam apa jua urusan mereka. Semoga dengan banyak mengingati Allah, mereka akan beroleh kejayaan di dunia dan di akhirat. Kemudian, Allah SWT menjelaskan satu peristiwa yang berlaku pada hari Jumaat di dalam Masjid Nabawi di Madinah pada zaman Nabi Muhammad SAW. Para jemaah Jumaat bergegas keluar dari masjid ketika Baginda sedang menyampaikan khutbah Jumaat di atas mimbar. Mereka keluar untuk menyambut ketibaan rombongan peniaga yang baru sampai ke Madinah dengan membawa banyak barang-barang dagangan atau kerana mereka mendengar sesuatu hiburan lalu mereka keluar dari masjid untuk menyaksikannya.
Kebanyakan dari mereka meninggalkan Nabi SAW berdiri di atas mimbar menyampaikan khutbah. Hanya sebilangan kecil sahaja yang tetap duduk dan setia mendengar khutbah Nabi SAW tersebut. Lalu, Allah SWT memerintahkan Nabi SAW supaya menjelaskan kepada mereka bahawa pahala dan ganjaran yang ada di sisi Allah SWT adalah lebih baik dari hiburan dan barang-barang dagangan yang mereka saksikan itu. Allah SWT adalah Tuhan yang sebaik-baik pemberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya. (Lihat Taisir Al-Karim Ar-Rahman, hlm. 863; al-Tahrir wa al-Tanwir, 28/229; al-Tafsir al-Wasit, 14/391; Tafsir al-Bayan, 5/737)
Islam menyeru umatnya untuk bekerja dalam meneruskan kehidupan seharian. Namun demikian penekanan terhadap punca rezeki atau mata pencarian yang halal adalah menjadi kewajipan kepada seluruh umat Islam. Hal ini kerana, setiap apa yang menjadi rezeki atau yang berkaitan dengan kehidupan seharian kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Hal ini berdasarkan hadis daripada Ibn Mas’ud R.Anhuma, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَزُولُ قَدَمَا ابْنِ آدَمَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ عِنْدِ رَبِّهِ حَتَّى يُسْأَلَ عَنْ خَمْسٍ عَنْ عُمْرِهِ فِيمَا أَفْنَاهُ وَعَنْ شَبَابِهِ فِيمَا أَبْلاَهُ وَمَالِهِ مِنْ أَيْنَ اكْتَسَبَهُ وَفِيمَ أَنْفَقَهُ وَمَاذَا عَمِلَ فِيمَا عَلِمَ
Maksudnya: “Kaki anak Adam akan tetap tegak berdiri di sisi Tuhannya pada hari Kiamat, hingga dia ditanya tentang lima perkara (iaitu): tentang umurnya untuk apa dia habiskan, tentang masa mudanya untuk apa dia gunakan, tentang hartanya dari mana dia dapatkan, dan dalam hal apa (hartanya tersebut) dia belanjakan dan apa sahaja yang telah dia lakukan dari ilmu yang dimilikinya.”
Riwayat al-Tirmizi (2416)
Galakan untuk berusaha untuk mencari sumber rezeki yang halal juga dapat dilihat berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ طلَبَ الدُّنْيَا حلاَلاً اِسْتِعْفَافًا عَنِ الْمَسْأَلَةِ وَسَعْيًا عَلَى اَهْلهِ وَتَعَطُّفًا عَلَى جَارِهِ بَعَثَهُ اللهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَوَجْهُهُ كَالْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ. وَمَنْ طَلَبَ الدُّنْيَا حَلاَلاً مُكَاثِرًا مُفَاخِرًا مُرَائِيًا لَقِىَ اللهَ تَعَالَى يَوْمَ الْقِيَامَةِ وَهُوَ عَلَيْهِ غَضْبَانٌ
Maksudnya: “Siapa yang mencari dunia yang halal untuk menjauhkan diri dari berminta-minta, dan usaha untuk keluarganya dan untuk baik dengan tetangganya, akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat dengan mukanya bagaikan bulan purnama, dan siapa yang mencari dunia halal untuk memperbanyak, berbangga dan sombong, akan bertemu dengan Allah pada hari kiamat sedang Allah murka padanya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (9890), Ahmad (2/436), Ibn Abi Syaibah
dalam al-Musannaf (7/16) dan al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (3465).
Antara iktibar yang dapat diambil daripada hadis di atas ialah:
- Hadis ini menunjukkan bahawa bekerja merupakan perkara yang dituntut. Ini menunjukkan kita perlu berusaha dalam meneruskan kesinambungan hidup.
- Dengan modal insan, pekerja dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh kreatif, inovatif dan bermutu. Ini kerana dengan tahap disiplin yang tinggi sudah tentu dapat menghasilkan natijah dan perkhidmatan yang cemerlang. Islam menentang keras budaya malas, ponteng kerja dan juga sikap acuh tak acuh atau sambil lewa dalam melaksanakan sebarang tugas yang diamanahkan. Ini kerana, dengan sikap seperti itu kegagalan dan juga kemunduran sudah pasti bertapak dalam kehidupan mereka, bahkan memberi kesan kepada negara untuk mencapai wawasan yang gemilang.
Menjawab persoalan di atas, antara petunjuk Nabi SAW dalam jual beli perniagaan, yang mungkin dapat disimpulkan:
- Nabi SAWmelakukan amalan jual beli sebelum diangkat sebagai Rasul bersama bapa saudaranya Abu Talib dan ketika Baginda bekerja dengan Khadijah, serta perjalanannya ke negeri Syam. Baginda juga berniaga di pasar-pasar yang ada di Mekah pada zaman jahiliah.
- Nabi SAW melakukan sendiri urusan jual beli seperti yang dijelaskan dalam hadis Umar dan Jabir tentang unta. Kadang-kadang, baginda mewakilkan seseorang daripada sahabatnya, seperti yang terdapat dalam riwayat Urwah bin Abi Ja’d al-Bariqi. Dia berkata, “Nabi SAW memberinya satu dinar untuk dibelikan haiwan korban – seekor kambing. Lalu dia membeli dua ekor kambing, salah satunya dijual dengan harga satu dinar. Kemudian, dia memberikan seekor kambing dan satu dinar kepada baginda. Maka baginda mendoakan agar dia mendapat keberkatan dalam jual belinya. Sejak itu, jika dia membeli debu sekalipun, nescaya dia akan mendapat keuntungan.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1258, Abu Daud, no. 3384, Ibn Majah, no. 2402, dinyatakan sahih dalam Sahih al-Tirmizi)
- Rasulullah SAW memerintahkan para peniaga untuk berbuat baik, jujur, dan suka bersedekah.
- Daripada Hakim bin Hizam R.A, beliau berkata, Rasulullah SAW bersabda:
الْبَيِّعَانِ بِالْخِيَارِ مَا لَمْ يَتَفَرَّقَا ، فَإِنْ صَدَقَا وَبَيَّنَا بُورِكَ لَهُمَا فِي بَيْعِهِمَا ، وَإِنْ كَتَمَا وَكَذَبَا مُحِقَتْ بَرَكَةُ بَيْعِهِمَا
Maksudnya: “Penjual dan pembeli masih boleh memilih (untuk meneruskan transaksi atau membatalkannya) selama mana mereka belum berpisah. Jika kedua-duanya jujur dan menjelaskan apa adanya, maka kedua-duanya diberkati dalam jual beli mereka. Jika kedua-duanya menyembunyikan (cacat) dan berdusta, maka akan dihapuskan keberkatan pada jual beli mereka.”
Riwayat al-Bukhari, no. 1973 dan Muslim, no. 1532
- Daripada Ismail bin Ubaid bin Rifaah, daripada bapanya, daripada datuknya, sesungguhnya dia keluar bersama Nabi SAW ke masjid, lalu Baginda melihat dua orang yang sedang berniaga, maka Baginda bersabda, “Wahai para peniaga,” Maka mereka mendatangi dan berkumpul di hadapan Rasulullah SAW serta mengangkat pandangan mereka. Lalu Baginda bersabda:
إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ فُجَّاراً ، إِلاَّ مَنِ اتَّقَى اللَّهَ وَبَرَّ وَصَدَقَ
Maksudnya: “Sesungguhnya para pedagang akan dibangkitkan di hari kiamat dalam keadaan derhaka, kecuali orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat kebajikan dan bersedekah.”
Riwayat al-Tirmizi, no. 1210, Ibn Majah, no. 2146, dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Targhib, no. 1785
iii. Qais bin Abi Gharzah R.A berkata, “Rasulullah SAW bersabda,
يَا مَعْشَرَ التُّجَّارِ إِنَّ الْبَيْعَ يَحْضُرُهُ اللَّغْوُ وَالْحَلِفُ ، فَشُوبُوهُ بِالصَّدَقَةِ
Maksudnya: “Wahai para peniaga, sesungguhnya dalam urusan jual beli terdapat kelalaian dan sumpah, maka bersihkanlah dengan sedekah.”
Riwayat al-Tirmizi, no. 1208, Abu Daud, no. 3326, al-Nasa’i, no. 3797, Ibn Majah, no. 2145. Dinyatakan sahih dalam Sahih Abu Daud
- Rasulullah SAW telah memerintahkan para peniaga untuk bersikap toleran dan memudahkan urusan jual beli. Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhuma, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda:
رَحِمَ اللَّهُ رَجُلاً سَمْحًا إِذَا بَاعَ ، وَإِذَا اشْتَرَى ، وَإِذَا اقْتَضَى
Maksudnya: “Semoga Allah merahmati seseorang yang bersikap mudah apabila menjual, membeli, dan menuntut haknya.”
Riwayat al- Bukhari (1970)
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata, “Dalam hadis ini terdapat anjuran untuk bersikap toleran dalam bermuamalah (transaksi), berakhlak mulia, meninggalkan pertikaian, serta anjuran untuk tidak berlaku keras terhadap orang lain ketika menuntut haknya dan mudah memberi maaf kepada mereka.” (LihatFath al-Bari, 4/307)
Antara gambaran kemudahan daripada Rasulullah SAW:
- Daripada Ibn Umar R.A, dia berkata, “Dahulu kami bersama Nabi SAW dalam sebuah perjalanan. Aku menunggang anak unta yang sukar dikendalikan milik Umar. Anak unta tersebut tidak dapat aku kendalikan, sehingga dia berjalan mendahului rombongan. Lalu Umar menghalaunya dan membawanya ke belakang, kemudian dia maju lagi, Umar kembali menghalaunya dan menarik unta tersebut ke belakang. Maka Nabi SAW berkata kepada Umar, “Juallah dia kepadaku.” Umar berkata, “Dia adalah milikmu wahai Rasulullah,” Baginda bersabda, “Juallah dia kepadaku.” Maka akhirnya Umar menjualnya kepada Rasulullah SAW. Lalu Nabi SAW bersabda, “Dia adalah milikmu wahai Abdullah bin Umar. Engkau dapat memperlakukan unta tersebut sesukamu.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2610)
- Daripada Jabir bin Abdillah R.A, beliau menunggang di atas seekor unta yang sudah letih, maka beliau hendak melepaskannya. Beliau berkata, “Lalu Nabi SAW menyusulku, kemudian baginda mendoakanku dan memukul unta tersebut. Maka unta tersebut kembali gagah melebihi sebelumnya. Kemudian baginda berkata, ‘Juallah unta ini kepadaku seharga satu uqiyah.’ Aku berkata, ‘Tidak.’ Lalu baginda berkata lagi, ‘Juallah dia kepadaku.’ Maka aku menjualnya dengan satu uqiyah dan aku memberikan syarat agar aku dihantar ke keluargaku. Ketika aku telah tiba, aku membawa unta tersebut kepada baginda. Lalu baginda memberikan wangnya. Kemudian aku kembali, lalu baginda mengutus seseorang untuk menyusulku. Maka aku kembali kepada baginda, lalu baginda berkata, ‘Apakah kamu kira aku menawarmu untuk mengambil untamu? Ambillah untamu, sedangkan dirham kamu adalah milikmu.’” (Riwayat al-Bukhari, no. 1991 dan Muslim, no. 710).
- Rasulullah SAW menunaikan hak kepada orang lain dengan sebaik-baiknya dan menganjurkan perbuatan tersebut.
Daripada Abu Hurairah R.A, beliau berkata, “Suatu ketika dahulu, Rasulullah SAW mempunyai hutang kepada seseorang dalam bentuk anak unta. Orang itu datang untuk menagih hutangnya. Maka Rasulullah SAW bersabda kepada pembantunya, “Lunaskanlah.” Mereka mencari anak unta yang seusia, tetapi tidak menemui kecuali yang lebih besar usianya. Rasulullah SAW bersabda, “Berikan.” Orang itu berkata, “Engkau telah memenuhi hakku, semoga Allah membalas kebaikanmu.” Rasulullah SAW, “Sebaik-baik kamu adalah orang yang baik dalam melunaskan hutang.” (Riwayat al-Bukhari, no. 2182 dan Muslim, no. 1601)
- Rasulullah SAW menganjurkan penjual untuk menerima apabila pembeli mengembalikan barang yang telah dibeli.
Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَقَالَ مُسْلِماً أَقَالَهُ اللَّهُ عَثْرَتَهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: “Barang siapa yang menerima kembali barang yang telah dibeli daripadanya apabila pembeli membatalkan pembelian, maka Allah akan mengangkatnya dari ketergelinciran pada hari kiamat.”
Riwayat Abu Daud, no. 3460 dan Ibn Majah, no. 2199. Dinyatakan sahih oleh dalam Sahih Abu Daud.
Yang dimaksudkan di sini adalah toleransi dalam pembatalan jual beli. Ini menunjukkan kelapangan hati.
Contohnya, jika seseorang membeli sesuatu daripada orang lain, kemudian dia menyesali pembeliannya tersebut, sama ada kerana nampaknya terlalu mahal, atau kerana dia tidak lagi memerlukannya atau kerana kehilangan nilainya. Kemudian dia ingin mengembalikan barang yang dibelinya kepada penjual, dan penjual menerima pengembalian tersebut, maka Allah akan menghilangkan kesulitannya dan ketergelincirannya pada hari kiamat, kerana dia (penjual) telah berbuat baik kepada pembeli. Ini kerana (dalam situasi tersebut), transaksi jual beli telah selesai, dan pembeli tidak dapat membatalkannya.” (Lihat ‘Aun al-Ma’bud)
Rasulullah SAW melakukan tawar-menawar ketika membeli, tetapi baginda tidak merugikan barang dagangan mereka. Seperti yang telah kita baca dalam hadis tentang unta Jabir.
Daripada Suwaid bin Qaid, beliau berkata, “Aku dan Makhramah Al-‘Abdi membeli kain kapas dari Hajar (sebuah daerah di Yaman), lalu kami bawa ke Mekah. Maka Rasulullah SAW mendatangi kami dengan berjalan kaki dan menawar kami untuk membeli seluar. Maka kami menjualnya.” (Riwayat al-Tirmizi, no. 1305, beliau berkata: Hadis hasan sahih, Abu Daud, no. 3336, al-Nasa’i, no. 4592, Ibn Majah, no. 2220)
- Rasulullah SAW memerintahkan untuk memberatkan timbangan.
Daripada Suwaid bin Qais dia berkata, “Rasulullah SAW melihat seseorang menimbang harga (untuk pembayaran). Maka Rasulullah SAW bersabda: “Timbanglah dan beratkanlah.”
Ini merupakan lanjutan hadis sebelumnya.
- Rasulullah SAW juga memerintahkan agar memberi penangguhan kepada orang yang berhutang dan menghadapi kesulitan untuk membayar hutangnya dalam tempoh yang ditetapkan, atau membebaskannya sepenuhnya.
Daripada Abi Al-Yusr R.A, beliau berkata, ‘Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِراً أَوْ وَضَعَ عَنْهُ أَظَلَّهُ اللَّهُ فِي ظِلِّهِ
Maksudnya: Sesiapa yang memberi penangguhan kepada orang yang menghadapi kesulitan untuk membayar hutang, atau membebaskan hutangnya, maka Allah akan memberinya naungan dalam naungan-Nya.”
(Riwayat Muslim, no. 3006)
- Rasulullah SAW melarang amalan riba, perdagangan yang diharamkan serta penipuan.
Firman Allah SWT:
وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ
Maksudnya: “Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”
(Surah al-Baqarah: 275)
Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa lafaz jual beli ini adalah dalam bentuk umum namun pada masa yang sama ia juga khusus, iaitu terkecuali daripada riba dan selainnya yang dilarang dan ditegah syarak. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/356)
Inilah juga sepertimana yang disebut dalam tulisan bertajuk Hadyu al-Nabi SAW fi al-Bai’ wa al-Syira’ sepertimana dalam al-Islam Su’al wa Jawab (no. 134621).[1]
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”
Nota hujung:
[1] Lihat islamqa.info/ar/answers/134621/هدي–النبي–صلى–الله–عليه–وسلم–في–البيع–والشراء