Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Islam menyarankan untuk berdagang? Apa dalil-dalil Quran atau Sunnah?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
فَإِذَا قُضِيَتِ الصَّلَاةُ فَانتَشِرُوا فِي الْأَرْضِ وَابْتَغُوا مِن فَضْلِ اللَّهِ وَاذْكُرُوا اللَّهَ كَثِيرًا لَّعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ
Maksudnya: Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat).
(Surah al-Jumu’ah: 10)
Berdagang atau berniaga merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Ini kerana, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang peniaga sebelum dan selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul.Hal ini, banyak dinukilkan di dalam kitab-kitab sirah apabila Nabi SAW bersama bapa saudaranya Abu Thalib pergi ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Nabi SAW juga pernah membantu isterinya yang tercinta Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan dan banyak lagi peristiwa-peristiwa yang lain.
Tambahan pula, terdapat ramai daripada kalangan sahabat yang menceburkan diri mereka di dalam pelbagai jenis perniagaan. Antaranya Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa’ad bin Abi Waqqas, al-Barra’ bin Azib dan ramai lagi daripada kalangan sahabat. Di samping itu juga, Imam Abu Hanifah iaitu pengasas mazhab Hanafi juga merupakan seorang peniaga. Ini kerana, bapanya juga merupakan seorang peniaga yang berjaya. Terdapat banyak lagi kisah-kisah yang membuktikan bahawa perniagaan merupakan di antara sumber utama rezeki seseorang itu.
Perniagaan sememangnya menjadi salah satu daripada sumber rezeki yang terbesar. Islam amat menggalakkan umatnya mencari kesenangan hidup dan perniagaan merupakan salah satu daripada caranya. Akan tetapi, Islam meletakkan beberapa garis panduan agar setiap perkara yang dilakukan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah SWT. Hal ini bertepatan dengan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abu Sa’id RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
أنا التَّاجِرُ الصَّدُوقُ الأَمِينُ مَعَ النَّبِيِّينَ، وَالصِّدِّيقِينَ، وَالشُّهَدَاءِ
Maksudnya: “Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid.”
Riwayat al-Tirmizi (1209). Hadith ini adalah hasan menurut Imam al-Tirmizi.
Selain itu, terdapat sebuah lagi hadith yang penting untuk dijadikan renungan bagi setiap yang ingin berniaga, bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
إِنَّ التُّجَّارَ يُبْعَثُونَ يَوْمَ القِيَامَةِ فُجَّارًا، إِلَّا مَنْ اتَّقَى اللَّهَ، وَبَرَّ، وَصَدَقَ
Maksudnya: “Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertaqwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur.”
Riwayat al-Tirmizi (1210). Hadith ini adalah hasan sahih menurut Imam al-Tirmizi dan hadith ini disahihkan oleh Imam Ibn Hibban di dalam sahihnya.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اكْفِنَا بِحَلَالِكَ عَنْ حَرَامِكَ، وَأَغْنِنَا بِفَضْلِكَ عَمَّنْ سِوَاكَ
Maksudnya: “Ya Allah, cukupkanlah kami dengan yang halal, tanpa perlu kepada yang haram. Kayakanlah kami dengan kurniaan-Mu, tanpa kami mengharapkan kepada selain-Mu.”