Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah imam membahagikan ayat al-Quran yang panjang seperti ayat hutang iaitu ayat 282 daripada surah al-Baqarah kepada beberapa bahagian untuk dibaca dalam rakaat solat? Jika perkara itu dibolehkan, adakah dia mendapat pahala sunat sekalipun tidak membaca ayat tersebut secara lengkap? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Membaca al-Quran termasuk dalam ibadah. Pada setiap ayat dan kalimatnya ada pahala dan ganjaran buat sesiapa yang membacanya. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Abdullah bin Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
منْ قرأَ حرفًا من كتابِ اللهِ فله به حسنةٌ، والحسنةُ بعشرِ أمثالِها لا أقولُ: آلم حرفٌ، ولكنْ ألِفٌ حرفٌ وميمٌ حرفٌ
Maksudnya: “Sesiapa yang membaca satu huruf daripada kitab Allah (al-Quran), maka baginya satu kebaikan (pahala). Dan satu kebaikan itu dilipat gandakan menjadi sepuluh kebaikan semisalnya. Tidaklah aku mengatakan: Alif, lam, mim itu satu huruf, akan tetapi alif itu satu huruf, lam itu satu huruf dan mim itu satu huruf.”
Riwayat al-Tirmizi (2910)
Begitu juga, membaca surah dan ayat-ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah dalam solat termasuk dalam perkara sunat, bahkan menyempurnakan lagi pahala solat. Hal ini adalah berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Qatadah bahawa:
كانَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ يَقْرَأُ في الرَّكْعَتَيْنِ مِنَ الظُّهْرِ والعَصْرِ بفاتِحَةِ الكِتابِ، وسُورَةٍ سُورَةٍ، ويُسْمِعُنا الآيَةَ أحْيانًا.
Maksudnya: “Nabi SAW membaca di dalam dua rakaat (yang pertama) solat Zohor dan Asar surah al-Fatihah dan surah surah (iaitu di rakaat pertama dan kedua), serta Baginda kadang-kadang memperdengarkan kami ayat — yang dibacanya.”
Riwayat al-Bukhari (762) dan Muslim (451)
Berbalik kepada soalan yang diajukan, secara umumnya tiada larangan bagi seseorang itu untuk membahagi-bahagikan satu surah, mahupun satu ayat kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solatnya selagi mana maknanya masih lagi sempurna. Lebih-lebih lagi, sekiranya ayat tersebut sangat panjang seperti ayat hutang yang terdapat dalam surah al-Baqarah, yang memenuhi sehingga satu muka surat penuh. Mengenai hal ini, Ahmad al-Nafrawi al-Maliki menyebutkan, selepas membaca surah al-Fatihah, bacalah selepasnya sesuatu daripada ayat-ayat al-Quran sekalipun ayat yang pendek seperti “ذَوَاتَا أَفْنَانٍ” atau “مُدْهَامَّتَانِ” atau sebahagian ayat yang panjang seperti ayat hutang — iaitu ayat 282 daripada surah al-Baqarah. Namun, afdhalnya adalah membaca surah secara sempurna — yakni lengkap.
Selain itu, Sulaiman al-Bujairami jelas menyatakan bahawa asal pahala sunat — yakni selepas bacaan al-Fatihah — diperoleh dengan membaca sesuatu daripada ayat-ayat al-Quran dan secara zahirnya sekalipun membaca satu kalimah, tetapi padanya terdapat pertikaian. Namun, disyaratkan ia mestilah bermanfaat — yakni memberi makna. Jika seseorang itu membaca sebahagian ayat turut memperoleh asal sunnah — yakni pahala sunat — dan perkara itu barangkali jika ia memberi makna sepertimana ayat-ayat pendek yang memberi makna. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/68)
Begitu juga Ibn Hajar al-Haitami turut menyebutkan, asal pahala sunat membaca ayat-ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah dapat diperolehi hanya dengan membaca satu ayat. Bukan itu sahaja, bahkan membaca sebahagiannya — yakni daripada ayat tersebut — juga memperoleh pahala sunat itu jika bermanfaat — yakni memberi makna. Walau bagaimanapun adalah lebih baik untuk membaca tiga ayat, dan membaca satu surah secara sempurna adalah lebih baik berbanding membaca sebahagian ayat surah yang panjang. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 2/51-52)
Justeru, jelaslah bahawa tidak mengapa membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solat dan dia tetap mendapat pahala sunat sekalipun hanya membaca sebahagian daripadanya. Akan tetapi dengan syarat, ia mestilah memberi makna yang dapat difahami. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut adalah bertentangan dengan perkara yang lebih utama daripadanya iaitu menyempurnakan bacaan ayat tersebut di dalam satu rakaat tanpa memotongnya. Hal ini kerana setiap ayat itu maknanya saling berkait antara satu sama lain. Dengan memotong atau membahagikannya kepada beberapa bahagian, kebiasaannya akan menyebabkan maknanya tidak lagi tepat dan menyeluruh sebagaimana yang dikehendaki pada asalnya. Oleh sebab itu, para ulama terdahulu berpendapat bahawa membaca satu surah secara sempurna (lengkap) adalah lebih baik berbanding membaca sebahagiannya sahaja di dalam rakaat solat kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga perkaitan dan topik yang dibawakan di dalam ayat-ayat al-Quran sebagaimana yang difahami menerusi kata-kata Imam al-Nawawi. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/174)
Dahulu terdapat seorang lelaki Ansar telah dipanah ketika sedang menunaikan solat dan sahabatnya dalam kalangan lelaki Muhajirin pula ketika itu sedang tidur. Apabila lelaki Muhajirin itu bangun dan melihat tubuh sahabatnya — yakni lelaki Ansar tadi — berlumuran darah, beliau berkata: “Subhanallah, mengapa engkau tidak membangunkanku saat dia mula-mula memanahmu?” Lelaki Ansar itu menjawab:
كُنْتُ في سورةٍ أقرَؤُها، فلم أحِبَّ أنْ أقطَعَها
Maksudnya: “Ketika itu, aku sedang membaca satu surah dan aku tidak suka memotong bacaan tersebut — yakni menghentikannya.”
Riwayat Abu Dawud (198)
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa membahagikan satu ayat yang panjang kepada beberapa bahagian untuk dibaca di dalam rakaat solat dengan syarat ia memberi makna yang difahami. Malah perkara itu sudah memadainya untuk memperoleh pahala sunat — yakni bacaan ayat al-Quran selepas surah al-Fatihah. Walau bagaimanapun, perbuatan tersebut bertentangan dengan perkara yang lebih utama dan afdhal daripadanya, iaitu menyempurnakan bacaan ayat yang panjang itu di dalam satu rakaat tanpa memotongnya kerana ia lebih selamat dan berhati-hati dalam menjaga maknanya yang saling berkait antara satu sama lain.
Pada kesempatan ini, kami ingin menasihatkan kepada para imam agar melihat dan mengambil kira juga faktor makmum yang pelbagai latar belakang. Ada dalam kalangan mereka yang masih lemah atau tidak kuat pegangan agama, lalu berkemungkinan bacaan ayat-ayat al-Quran yang terlalu panjang dalam rakaat solat akan menyebabkan timbul perasaan kurang senang dalam kalangan mereka, menyebabkan tidak mahu lagi datang ke masjid atau sebagainya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H