Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah sah atau tidak solat dengan bersongkok yang sangat panjang sehingga mengganggu saf di hadapan?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ
Maksudnya: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.”
(Surah al-Baqarah: 238)
Merujuk kepada dalil di atas, al-Qurtubi mentafsirkan maksud perkataan “peliharalah” ialah merujuk kepada suruhan Allah SWT ke atas hambanya supaya memelihara serta menjaga solatnya dengan mengerjakan solat tersebut dalam waktunya dan memenuhi syarat-syaratnya. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 3/212)
Syarat-syarat sah solat memberi maksud sesuatu yang perlu ada sebelum solat dan berkekalan semasa dalam solat sehingga selesai solat. Itulah secara umum maksudnya.
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan terdapat lapan syarat sah solat:
- Bersih daripada kedua hadas.
- Bersih daripada najis pakaian, badan dan tempat solat.
- Menutup aurat.
- Menghadap kiblat.
- Masuk waktu solat.
- Mengetahui kefarduannya.
- Tidak menyakini yang fardhu di dalam kefardhuan solat adalah sunat.
- Menjauhi perkara yang membatalkan solat seperti berkata-kata dengan sengaja,terbuka aurat walaupun sedikit, makan dan minum, berhadas sebelum salam pertama dan sebagainya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 30)
Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan sah solat seseorang yang memakai songkok tinggi dengan syarat memenuhi rukun dan syarat sah solat. Namun, perkara yang perlu diambil cakna juga adalah keselesaan sesama jemaah. Maka, sebaiknya apabila seseorang itu berasa pakaiannya akan mengganggu jemaah yang lain, maka antara yang boleh anda lakukan adalah dengan menanggalkan terlebih dahulu songkok tersebut dan letak di saf anda atau anda solat di saf yang paling hadapan supaya tidak mengganggu jemaah. Perkara ini sebenarnya hanyalah budi bicara dan toleransi sesama jemaah dalam mengerjakan ibadat solat.
Semoga Allah membantu anda dalam lebih memahami syariat Allah SWT dan moga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
(Surah Ibrahim: 40)
Wallahua`lam.