Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya pernah dengar disunatkan untuk menyembelih ikan besar. Benarkah dan bagaimanakah caranya? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t.
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan hadith daripada riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
أُحِلَّت لنا ميتتانِ ودمانِ الميتتانِ الحوتُ والجرادُ والدَّمانِ الكبدُ والطِّحالُ
Maksudnya: “Dihalalkan buat kita dua jenis bangkai dan dua jenis darah. Dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang, manakala dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.”
Riwayat Ahmad (5690) dan Ibn Majah (3314)
Ikan dan belalang tidak berhajat kepada sembelihan kerana bangkai kedua-duanya adalah suci lagi halal sebagaimana yang dinyatakan dalam hadith di atas. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 21/174)
Malah, al-Khatib al-Syirbini menukilkan, telah berlaku ijma’ dalam kalangan ulama mengenai halalnya bangkai ikan dan belalang. Selain itu juga, kerana pada adat kebiasaan kedua-dua haiwan itu tidak mungkin boleh disembelih, maka telah gugur kewajipan sembelihan tersebut. Oleh itu, sama ada kedua-duanya mati secara bersebab ataupun tidak, dan sama ada dijumpai mati dalam keadaan terapung di atas air ataupun tenggelam — ia adalah halal. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 6/98-99)
Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, al-Mawardi menyebutkan, ikan tidak wajib disembelih sekalipun ia boleh disembelih dan dapat hidup lama luar daripada air selepas ditangkap. Diharuskan untuk menunggunya sehingga mati dengan sendirinya dan tidak makruh berbuat demikian. Begitu juga, diharuskan untuk menyegerakan penyembelihannya — yakni mematikannya — dan juga tidak makruh berbuat demikian. Oleh itu, berkenaan hukum sunat ini terdapat dua pendapat:
- Membiarkannya mati dengan sendirinya adalah lebih baik kerana matinya itu adalah sembelihannya.
- Menyembelihnya adalah lebih baik kerana menyegerakannya untuk berehat — yakni mati — daripada lambat mati — yakni terseksa. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/63)
Seterusnya Imam al-Nawawi menyimpulkan dalam kitabnya dengan menyebutkan, ulama-ulama dalam mazhab Syafi‘i berpendapat makruh untuk menyembelih ikan melainkan ikan itu besar serta dapat hidup lama — di luar air. Dalam hal ini, terdapat dua pendapat. Pendapat yang paling sahih ialah disunatkan untuk menyembelih ikan itu bagi merehatkannya — mematikannya. Manakala pendapat yang kedua pula disunatkan untuk membiarkannya agar mati dengan sendirinya. Al-Khatib al-Syirbini menambah, makruh hukumnya menyembelih ikan kecil kerana ia adalah perbuatan yang sia-sia dan bersusah payah tanpa sebarang faedah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/72; Mughni al-Muhtaj, 6/99)
Manakala mengenai cara sembelihannya pula, Sulaiman al-Jamal menyebutkan dalam hasyiahnya bahawa disunatkan menyembelih ikan iaitu pada bahagian hujungnya (yakni ekornya) selagi mana ikan tersebut tidak menyerupai haiwan yang disembelih menurut kebiasaan, dan sekiranya tidak — yakni bentuknya seperti haiwan yang disembelih menurut kebiasaan — maka ia akan disembelih pada bahagian lehernya — dan bukan pada ekornya. Sembelihan yang dimaksudkan di sini ialah mematikannya — yakni membunuhnya. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/269-270)
Selain itu, beliau juga ada menyebutkan dalam kenyataannya yang lain, sesiapa yang ingin menyembelih ikan, adalah lebih baik penyembelihan itu dilakukan pada bahagian hujungnya — yakni ekornya. Ini bagi bentuk ikan sebagaimana yang telah diketahui umum. Adapun mana-mana ikan yang tidak menyerupai bentuk ikan sebagaimana yang diketahui umum seperti ikan yang menyerupai keldai atau manusia. Maka, hendaklah penyembelihan itu dilakukan pada lehernya atau bahagian lubbah (yakni sekitar pangkal leher) sebagaimana haiwan-haiwan darat yang lain. (Lihat Hasyiah al-Jamal, 5/239)
Sebahagian ulama ada menyebutkan asbab sembelihan ikan dilakukan pada bahagian hujungnya. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Bujairami bahawa disunatkan untuk menyembelih ikan iaitu pada bahagian hujungnya kerana ia adalah lebih bersih kerana lebih banyak darah — yang keluar darinya. (Lihat Hasyiah al-Bujairami, 4/326)
Justeru, sembelihan pada ikan besar adalah bermaksud mematikannya — yakni membunuhnya. Ia bertujuan untuk membersihkannya dengan cara mengalirkan darah keluar dari ikan besar tersebut bagi menyegerakan matinya. Justeru, disunatkan untuk menyembelih ikan besar pada bahagian hujungnya kerana pada bahagian tersebut lebih banyak darah yang keluar darinya menurut pemerhatian mereka.
Kesimpulannya
Berdasarkan kepada perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa disunatkan untuk menyembelih ikan besar yang lambat mati bagi menyegerakan matinya kerana ia lebih dekat dengan sifat ihsan yang ditekankan dalam agama. Hal ini adalah sebagaimana riwayat daripada Syaddad bin Aus bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّ اللَّهَ كَتَبَ الإحْسانَ على كُلِّ شيءٍ، فَإِذا قَتَلْتُمْ فأحْسِنُوا القِتْلَةَ، وإذا ذَبَحْتُمْ فأحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah telah mewajibkan berbuat baik kepada setiap sesuatu. Apabila kamu semua hendak mematikan (haiwan), matikanlah dengan cara yang terbaik. Apabila hendak menyembelih, sembelihlah dengan cara yang terbaik. Hendaklah kamu menajamkan pisau dan mengistirehatkan sembelihannya.”
Riwayat Muslim (1955)
Walau bagaimanapun, sebahagian ulama berpendapat makruh hukumnya menyembelih ikan yang kecil kerana perkara tersebut adalah sia-sia dan bersusah payah tanpa faedah. Selain itu, kami juga berpendapat bahawa cara sembelihannya tidak terhad hanya kepada bahagian hujungnya — yakni ekornya — sahaja. Hal ini kerana mana-mana bahagian yang dapat mengeluarkan darahnya dengan banyak dan menyegerakan matinya adalah lebih baik dan utama seperti bahagian hujungnya atau lain-lain bahagian.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 23 Mac 2022 bersamaan 20 Syaaban 1443H