Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika menantu (perempuan) kalau sudah bercerai apa hukum bekas menantu dengan ayah mertua? Adakah boleh untuknya bersalaman?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Mahram dari sudut istilah para fuqaha’ bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 114)

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah SWT :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

( Surah Al-Nisa’: 23)

Pengharaman berkahwin dengan wanita tertentu terbahagi kepada dua. Yang pertama ialah Muabbad iaitu haram untuk bernikah selama-lamanya. Yang kedua ialah tahrim muaqqat iaitu haram berkahwin buat sementara waktu disebabkan ada faktor-faktor yang menghalang. Jika ia tetap dilakukan maka ia tergolong di dalam akad yang batil dan tidak sah pernikahan tersebut.

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan apabila seorang lelaki bercerai daripada isterinya, hubungan mahram dengan ibu/bapa  mertuanya tidak hilang dan terus menjadi mahram secara mu’abbad. Ini berdalikan kenyataan dalam Surah al-Nisa’ ayat ke-23 bahawa wanita yang diharamkan berkahwin dengannya termasuklah:

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu isteri kamu..”

Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan: Dan pengharaman ini kekal sekalipun selepas kematian atau cerai, semata-mata dengan akad, walaupun jika tidak pernah berlaku persetubuhan antara suami dan isteri, kerana ayat itu menyatakan semata-mata ibu kepada isteri tanpa mensyaratkan persetubuhan. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 4/31-32)

Justeru, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan batasan aurat antara seorang lelaki/perempuan dengan bekas mertuanya ialah sama seperti hukum mahram yakni antara pusat dan lutut jika aman daripada fitnah. Begitu juga, boleh untuknya bersalaman dengan bekas bapa/ibu mertuanya kerana masih diambil hukum mahram meskipun selepas bercerai.

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.

 

Leave a Reply