Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya nak bertanya? Apa hukum membaca tahlil untuk orang yang masih hidup.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Kami mulakan jawaban bagi kemusykilan di atas ini dengan merujuk kepada pedoman Ilahi menerusi firman-Nya di dalam al-Quran al-Karim:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Maksudnya: “Dan tidaklah seseorang insan itu beroleh melainkan apa yang dia sendiri usahakan (berupa amalan sama ada baik atau buruk).”

(Surah al-Najm: 39)

Ayat di atas ini menjadi dalil tunjang bagi menegaskan kebertanggungjawaban seseorang insan terhadap amalan baiknya diri sendiri. Sebahagian ulama menegaskan bahawa seseorang tidak beroleh ganjaran melainkan dengan amal kebaikan yang diusahakan oleh dirinya sendiri, bukan orang lain.

Imam Ibn Juzai al-Kalbi menafsirkan ayat di atas ini seraya berkata: “[Dan tidaklah seorang insan itu beroleh ganjaran melainkan dengan apa yang dia usahakan] kalimat al-sa‘yu [السَّعْيُ] di sini bermaksud amalan. Zahir ayat ini menyatakan bahawa seseorang itu tidak mendapat manfaat daripada amalan orang lain. Dan pendapat yang sahih menurutku (Ibn Juzai al-Maliki) bahawa ayat ini adalah ayat muhkamat, kerana ia berstatus khabar. Khabar tidak boleh dimansuhkan.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/320)

Berhubung soalan yang diajukan kepada kami di atas, iaitu berkenaan  menyedekahkan atau menghadiahkan pahala zikir dan bacaan al-Quran kepada orang yang masih hidup; kami bawakan perbezaan pendapat dalam kalangan ulama empat mazhab yang muktabar untuk melihat perspektif setiap satu mazhab tersebut. Perinciannya adalah seperti berikut:

Mazhab Hanafi

Muktamad mazhab Hanafi menyatakan bahawa pahala bacaan al-Quran dan zikir akan sampai kepada orang yang masih hidup dan telah meninggal dunia.

Imam Alauddin al-Kasani al-Hanafi memfatwakan: “Sesiapa yang berpuasa, atau bersedekah, atau bersolat; kemudian dia menyedekahkan pahala tersebut kepada orang lain sama ada hidup atau sudah meninggal dunia, maka amalan ini dibolehkan dan pahala yang dikirimkan tersebut sampai kepada mereka menurut Ahli al-Sunnah wa al-Jama‘ah.” (Lihat Bada’i‘ al-Sana’i‘, 2/212)

Mazhab Maliki

Muktamad mazhab al-Malikiyyah adalah: hanya pahala ibadah yang boleh diwakilkan sahaja (seperti doa dan sedekah) yang akan sampai kepada seseorang Muslim sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Adapun ibadah yang tidak boleh diwakilkan seperti solat dan puasa, maka tidak dibolehkan. Adapun bacaan al-Quran, sebahagian ulama Maliki membolehkannya, sebahagian lagi memakruhkannya.

Imam al-Dardir al-Maliki memfatwakan: “[Dan] diutamakan [amalan sunat itu dilakukan oleh walinya] atau kerabatnya sebagai contoh, iaitu wali kepada si mati [bagi pihak dirinya] iaitu si mati, begitu juga dengan orang yang masih hidup [pada selainnya] iaitu pada selain ibadah Haji [seperti sedekah dan doa] serta sembelihan korban dan pembebasan hamba, kerana ia menerima perwakilan, dan kenyataan bahawa pahala tersebut sampai kepada si mati, tiada sebarang khilaf berkenaannya. Yang dimaksudkan dengan selainnya adalah yang tidak dikhususkan, iaitu setiap amalan yang menerima perwakilan (al-niyabah) seperti yang telah dinyatakan, bukan seperti ibadah solat, puasa. Dan dimakruhkan untuk mewakilkan dirinya bagi melaksanakan Haji. Adapun menghadiahkan pahala bacaan al-Quran; sebahagian ulama membolehkan, sebahagian lagi memakruhkannya.” (Lihat al-Syarh al-Kabir ‘ala Mukhtasar Khalil, 2/10)

Mazhab al-Syafi‘i

Muktamad mazhab al-Syafi‘iyyah dalam kalangan mutaqaddimin adalah hanya pahala ibadah yang boleh diwakilkan sahaja (seperti doa dan sedekah) yang akan sampai kepada seseorang Muslim sama ada yang masih hidup atau yang telah meninggal dunia. Adapun ibadah yang tidak boleh diwakilkan seperti solat dan puasa, maka tidak dibolehkan. Pendapat ini agak mirip dengan muktamad al-Malikiyyah.

Dibolehkan untuk membaca al-Quran, kemudian beroleh pahala. Selepas itu, pahala tersebut didoakan agar dihantar kepada orang lain. Bentuk perbuatan ini difatwakan boleh oleh sebahagian ashab al-Syafi‘iyyah.

Imam al-Mawardi memfatwakan: “Adapun berpuasa untuk orang yang masih hidup, maka tidak dibolehkan menurut ijma‘ sama ada apabila disuruh atau tidak disuruh, sama ada bagi orang yang berkemampuan atau orang yang tidak berkemampuan; berdasarkan zahir firman Allah ta‘ala (yang bermaksud): “Dan tidaklah seorang insan itu beroleh kecuali apa yang dia usahakan sahaja.” [al-Najm: 39] Hal ini juga kerana setiap ibadat yang memerlukan perlakuan anggota semata adalah tidak sah untuk diwakilkan perlaksanaannya oleh orang lain, seperti solat, berbeza dengan Haji; kerana Haji itu rukun-rukunnya turut mempunyai kaitan dengan harta, maka ia tidak memerlukan anggota semata. Maka ia boleh diwakilkan oleh orang lain, sama seperti zakat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 15/313)

Setiap amalan yang diberi kepada orang hidup adalah tidak sampai, melainkan apa yang dikhususkan oleh syarak seperti sedekah, Haji dan puasa. Ini difatwakan oleh Sultan al-‘Ulama al- ‘Izz bin ‘Abd al-Salam menerusi fatwa beliau seperti berikut:

“Dan sesiapa yang melakukan ketaatan kepada Allah SWT, kemudian menghadiahkan pahalanya kepada orang yang hidup atau yang telah meninggal dunia, maka pahala tersebut tidak sampai, kerana manusia tidak akan mendapat ganjaran melainkan apa yang dia usahakan sahaja. Jika seseorang melakukan ibadah kemudian meniatkan pahalanya supaya disampaikan kepada orang mati misalnya, maka tidak sampai hajatnya itu; kecuali amalan yang diberi pengecualian oleh syarak seperti sedekah, Haji dan puasa.” (Lihat al-Ghayah fi Ikhtisar al-Nihayah, 1/91)

Ada pendapat dalam kalangan ashab yang mengatakan bacaan al-Quran dan zikir adalah ibadat anggota, maka ia hanya boleh dilakukan oleh orang itu sendiri, tidak boleh diwakilkan oleh orang lain. Dari sudut ini, bersedekah/menghadiahkan pahala amalan bacaan Quran dan zikir adalah tidak sampai. Adapun jika seseorang membaca al-Quran, kemudian dia mendapat pahala. Kemudian dia berdoa dengan niat supaya Allah menjadikan pahala tersebut dihantar kepada orang lain, maka ini dibolehkan dan pahala tersebut sampai. Ini merupakan ikhtiyar Imam al-Hannati, Imam al-Syalusi dalam kalangan al-Syafi‘iyyah. Imam al-Isnawi menukilkan fatwa Imam al-Hannati yang menukilkan fatwa gurunya, Imam ‘Abd al-Karim al-Syalusi al-Syafi‘i, menerusi nas beliau:

“Sesungguhnya seorang pembaca al-Quran apabila meniatkan bacaannya untuk disedekahkan kepada si mati, maka pahala tersebut tidak akan sampai; kerana bacaan itu adalah perbuatan dan usaha dirinya sendiri. Bacaan al-Quran adalah ibadah badan maka tidak boleh melakukannya bagi pihak orang lain. Namun, sekiranya dia membaca al-Quran kemudian dia mendoakan agar Allah menjadikan pahala hasil bacaan tersebut untuk si mati, maka pahala tersebut akan sampai, kerana dia menjadikan pahala yang telah diperoleh kepada orang lain. Hal ini kerana si mati boleh mendapat manfaat daripada doa orang lain.” (Lihat al-Muhimmat fi Syarh al-Raudhah wa al-Rafi‘i, 6/145)

Manakala, fuqaha’ muta’akhkhirin mazhab al-Syafi‘iyyah di Mesir dan di Yaman cenderung menyatakan bahawa hadiah atau sedekah pahala bacaan al-Quran dan zikir tetap sampai kepada orang lain; terutamanya yang sudah meninggal dunia, serta zahirnya menyetujui pendapat mazhab Hanafi dan mazhab Hanbali, demikian merupakan pilihan sebahagian ashab seperti yang dinyatakan oleh al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami. (Lihat al-Fatawa al-Fiqhiyyah al-Kubra, 2/26-27)

Mazhab Hanbali

Muktamad mazhab Hanbali menyatakan bahawa pahala bacaan al-Quran dan zikir akan sampai kepada orang yang masih hidup dan telah meninggal dunia.

Imam al-Ruhaibani al-Hanbali berfatwa: “[Dan setiap amalan yang dilaksanakan oleh seorang Muslim dan dilaksanakan] oleh seorang Muslim [dengan meniatkan, tidak semestinya perlu dilafazkan, pahalanya (keseluruhan) atau sebahagian pahalanya untuk orang Muslim yang lain sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia: amalan ini adalah dibolehkan, dan ia bermanfaat buat orang yang diniatkan tersebut kerana pahala tersebut sampai, meskipun kepada Rasulullah SAW] demikian yang dinyatakan oleh Imam Majduddin Ibn Taymiyyah [berupa] penjelasan kepada setiap amalan [ibadat sunat dan ibadat wajib yang boleh menerima perwakilan seperti Haji] atau puasa yang dinazarkan oleh si mati [atau tidak] iaitu tidak menerima perwakilan [seperti solat, doa, istighfar, sedekah] dan membebaskan hamba [begitu juga sembelihan korban, membayar hutang, puasa] yang tidak dinazarkan [begitu juga bacaan al-Quran dan lain-lain].” (Lihat Matalib Uli al-Nuha, 1/936)

Kesimpulan

Tuntasnya, kami simpulkan menurut majoriti fuqaha’ bahawa dibolehkan untuk menyedekahkan bacaan al-Quran atau zikir sama ada tahlil, tasbih, tahmid dan apa jua kepada orang yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Untuk sedekah pahala zikir atau bacaan al-Quran kepada orang yang masih hidup, meskipun pahalanya sampai, seeloknya amalannya tidak dilazimi, kerana seseorang itu bertanggungjawab dengan pahala kebajikan dirinya sendiri. Kami menyetujui perspektif mazhab Maliki dalam sudut ini kerana ia lebih memupuk kebertanggungjawaban terhadap amalan masing-masing.

Adapun firman Allah SWT yang dijadikan sebagai hujah sebahagian ulama yang mengatakan bahawa pahala tidak sampai, iaitu firman-Nya:

وَأَنْ لَيْسَ لِلإِنْسَانِ إِلا مَا سَعَى

Maksudnya: “Dan tidaklah seseorang insan itu beroleh melainkan apa yang dia usahakan (berupa amalan sama ada baik atau buruk).”

(Surah al-Najm: 39)

Hujah dibalas oleh Imam al-Bujairimi al-Syafi‘i dalam Hasyiah beliau atas kitab Mughni al-Muhtaj oleh al-Khatib al-Syirbini, al-Bujairimi menegaskan bahawa konsep ayat tersebut adalah syariat umat sebelum kita (شَرْعُ مَنْ قَبْلَنَا) dan ia tidak terpakai pada syariat kita. Beliau berkata:

“Adapun firman Allah (yang bermaksud): “Dan tidaklah seseorang insan itu beroleh melainkan apa yang dia usahakan” [al-Najm: 39] Ayat ini termasuk dalam kategori perkara umum yang telah dikhususkan dengan ijma‘ dan lain-lain perkara. Dan dikatakan juga ayat ini telah dimansuhkan. Dan hujahan yang paling utama adalah dikatakan bahawa: ini merupakan syariat Nabi Ibrahim AS dan Nabi Musa AS, berdasarkan firman-Nya sebelum itu (yang bermaksud): “Tidakkah mereka diberitahu tentang isi kandungan Suhuf Musa? Dan Suhuf Ibrahim yang memenuhi janjinya.” [al-Najm: 36-37] Dan syariat umat sebelum kita adalah bukan syariat kita.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib, 2/302)

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”

Wallahu a‘lam.

 

 

#7171: So

Leave a Reply