Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, apakah hukumnya seseorang itu menyimpan atau menggantung kalendar yang didalamnya ada terdapat gambar berhala yang disembah oleh orang-orang kafir?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Dalam menjawab soalan di atas, kami katakan bahawa hukum meletakkan sebarang lukisan dan ukiran makhluk bernyawa adalah haram dan berdosa, atas apa jua sekalipun. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ تَمَاثِيلُ أَوْ تَصَاوِيرُ
Maksudnya: “Malaikat tidak akan memasuki rumah yang ada patung dan gambar (lukisan/ukiran) makhluk bernyawa di dalamnya.”
Riwayat Muslim (2112)
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata selepas menukilkan hadith di atas: “Dosa besar yang ke-68: Membuat ukiran (sama ada patung mahupun gambar) makhluk yang bernyawa, apa jua bentuknya, sama ada ia diletakkan untuk tujuan dimuliakan atau dibuat main/direndahkan martabatnya, meskipun gambar-gambar benda yang tidak wujud seperti kuda bersayap (pegasus). Allah SWT juga ada berfirman berkenaan dosa ini dalam al-Quran menerusi firman-Nya:
إِنَّ الَّذِينَ يُؤْذُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ لَعَنَهُمُ اللَّهُ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ وَأَعَدَّ لَهُمْ عَذَابًا مُهِينًا
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya, mereka itulah yang bakal dilaknat oleh Allah di dunia dan di akhirat, dan akan disediakan azab yang menghinakan buat mereka.”
(Surah al-Ahzab: 57)
Salah seorang Imam dalam kalangan Salaf, ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas berkata menafsirkan ayat di atas: “Yang dimaksudkan dengan ayat ini dengan orang yang menyakiti Allah dan Rasul-Nya adalah orang-orang yang membuat patung-patung, lukisan makhluk hidup dan ukiran.”.” (Lihat al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir, 2/48)
Abu Talhah R.A juga meriwayatkan hal yang senada daripada Baginda, beliau meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
لَا تَدْخُلُ الْمَلَائِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلَا صُورَةُ تَمَاثِيلَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Malaikat tidak akan masuk suatu rumah yang di dalamnya mempunyai anjing dan gambar patung.”
Riwayat al-Bukhari (3225) dan Muslim (2016)
Perbuatan mengukir gambar dan meletakkan ukiran ini dikira sebagai mengakui amalan meniru ciptaan Allah SWT. Imam al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas berkata: “Ini disebabkan perbuatan meletakkan gambar itu merupakan maksiat yang tercela dan mempunyai unsur seolah-olah menyerupai ciptaan Allah SWT manakala sebahagian daripada gambar-gambar tersebut juga dijadikan sembahan selain Allah. Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumahnya, tidak melaksanakan solat dan doa di dalamnya, tidak meminta keampunan bagi penghuninya, tidak memohon keberkatan seterusnya tidak melindungi penghuni rumah tersebut daripada gangguan syaitan.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 14/84)
Gambar Berhala/Sembahan Kuffar
Kami tegaskan di sini bahawa, jika gambar makhluk bernyawa sahaja pun sudah dihukum haram di sisi Sunnah Rasulullah SAW dan para Sahabat; maka apatah lagi gambar sembahan dan berhala orang-orang kafir yang menjadi salah satu unsur hiasan dan dekorasi pada anggota badan, termasuklah dekorasi di rumah.
Perkara yang melibatkan sembahan orang kafir semisal ini lebih besar lagi pengharaman dan kemaksiatannya, bahkan boleh mengundang kekufuran dari sudut akidah sepertimana yang difatwakan oleh Imam Syarafuddin Ibn Abi ‘Asrun al-Tamimi al-Syafi‘i dalam kitab al-Intisar. Haram membiarkan gambar simbol sembahan agama kafir pada kalender di dalam rumah kita. Jika ada unsur mengagungkannya, maka perbuatan ini memudaratkan akidah pelakunya.
Imam Ibn Hajar al-Haitami berkata menukilkan fatwa Imam Ibn Abi ‘Asrun: Dalam kitab al-Intisardinyatakan: Sesiapa yang meniru gaya orang kafir seperti memakai pakaian mereka, mengikat tali pinggang agama mereka, atau menggantung salib di dadanya, maka itu haram tetapi dia tidak menjadi kafir. Namun, sebahagian ulama cenderung terus menghukumnya sebagai kufur. Manakala dalam al-Fusul pula dinyatakan: Jika ada saksi yang menyatakan bahawa seseorang itu mengangungkan salib, seperti menciumnya atau mendekatkan diri dengan melakukan ritual/ibadat orang kafir serta sering masuk ke dalam gereja mereka dan tempat ibadat mereka, kemungkinan besar ia dianggap sebagai murtad, dan ini adalah pendapat yang lebih kuat; kerana sesiapa yang mempermainkan kekufuran dia menjadi kafir, dan begitu juga disebabkan kemungkinan besar dia melakukannya kerana keyakinan. (Lihat al-I‘lam bi Qawati‘ al-Islam, hlm. 217)
Kita hanya dibolehkan untuk meletakkan gambar makhluk yang tidak bernyawa seperti pokok, matahari, bulan, bintang dan lain-lain benda yang tidak hidup (al-jamadat) sepertimana yang difatwakan oleh al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami. Jika gambar semisal ini wujud dalam kalender tersebut, maka dibolehkan dan diizinkan.
Imam Ibn Hajar mengatakan: “Dibolehkan untuk melukis dan menggambarkan sesuatu dalam keadaan kepalanya tidak sempurna, atau benda-benda yang tidak hidup, dan tiada roh/nyawa baginya seperti gambar pokok, matahari dan bulan kerana Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma mengizinkan pelukis untuk melukis benda-benda seperti itu.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/433)
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa saudara yang bertanya dikehendaki untuk memadam dan menconteng gambar/lukisan sembahan atau berhala orang-orang kafir dan musyrik tersebut supaya imejnya tidak kekal pada kalender dan tidak boleh dilihat lagi. Hal ini kerana, gambar tersebut menghimpunkan dua larangan; iaitu larangan menggantung gambar berbentuk lukisan dan ukiran, dan juga larangan menzahirkan apa sahaja simbol keagamaan agama-agama syirik dan kufur. Perbuatan tersebut berbahaya kepada akidah seseorang dan sewajarnya dihapuskan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إني أسألُكَ مُوجِباتِ رَحْمَتِكَ، وَعَزَائِمَ مَغْفِرَتِكَ وَالسَّلامَةَ مِنْ كُلِّ إثْمٍ، وَالفَوْزَ بالجَنَّةِ، وَالنَّجاةَ مِنَ النَّارِ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu segala asbab yang mewajibkan rahmat-Mu, dan segala sesuatu yang mendatangkan keampunan-Mu, keselamatan dari segala dosa, kejayaan dengan syurga dan berjaya selamat daripada api neraka.”
Wallahu a‘lam.