Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh berikan kepada kami tips kepada kami untuk mengelakkan daripada buang masa dan bercakap sia-sia?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 وَقُولُوا لِلنَّاسِ حُسْنًا

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada sesama manusia perkataan-perkataan yang baik.”

(Surah al-Baqarah: 83)

Al-Sa‘di ketika mengulas ayat ini menyebutkan, termasuk di dalam perkataan-perkataan yang baik itu adalah menyeru mereka kepada kebaikan dan mencegah mereka daripada kemungkaran, mengajarkan mereka ilmu pengetahuan, menyebarkan salam serta senyuman, dan lain-lain perkara yang termasuk dalam lingkungan kata-kata yang baik. Apabila tidak semua manusia mampu untuk membantu orang lain dengan hartanya, maka mereka diperintahkan untuk berbuat baik kepada setiap makhluk dengan perkara yang mereka mampu iaitu berbicara dengan kata-kata yang baik. Termasuklah di dalamnya, larangan daripada berbicara kepada sesama manusia dengan perkataan yang buruk sekalipun kepada orang kafir. (Lihat Tafsir al-Sa‘di, hlm. 57)

Imam al-Ghazali telah mengingatkan kita berkenaan dengan kerugian apabila kita bercakap dengan sia-sia, lagha dan tidak berfaedah, antaranya kata beliau:

Sedangkan ucapan yang diharuskan, paling tidak, ia boleh menimbulkan empat hal:

Pertama: Menyibukkan malaikat Kiraman Katibin dengan terpaksa harus mencatat ucapan seseorang yang tidak bermanfaat. Kerana itu, janganlah kita menyusahkan malaikat.

Allah SWT berfirman:

مَّا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ

Maksudnya: “Tiada suatu ucapan pun yang diucapkannya, melainkan ada di dekatnya Malaikat yang selalu mengawasi dan sentiasa hadir mencatat.

(Surah Qaf: 19)

Imam al-Qurtubi menyebutkan bahawa bagi lafaz “al-Raqib” terdapat tiga pandangan:

  1. Ia adalah orang yang mengawasi dan memerhatikan perkara-perkara.
  2. Ia adalah penjaga, menurut pendapat al-Suddi.
  • Ia adalah orang yang melihat/menyaksikan (ada di tempat kejadian), menurut pendapat al-Dhahhak.

Manakala bagi lafaz “‘atid” terdapat dua pandangan:

  1. Ia adalah orang yang hadir dan tidak akan hilang.
  2. Ia adalah penjaga yang sedia, sama ada untuk menjaga atau untuk menyaksikan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Qur’an, 11/17).

Kedua: Dengan demikian, bererti kita mengirimkan catatan amal kepada Allah dengan berisi  hal-hal yang tidak bermanfaat. Seharusnya kita takut untuk berbuat demikian.

Diceritakan bahawa seorang ulama’ mendatangi seseorang yang sedang berbicara yang tidak bermanfaat kemudian menjerkahnya, “Hoi! Kamu sedang menulis kitab amalan untuk dihantar kepada Tuhanmu, maka perhatikanlah betul-betul apa yang hendak ditulis!”

Ketiga: Catatan ucapannya itu, kelak akan dia baca kembali di akhirat nanti, di hadapan Allah, dan di depan para saksi di tengah-tengah penderitaan dan pergolakan Mahsyar kelak. Ketika itu, mereka telanjang, kehausan, kelaparan, dan terhalang dari syurga dan jauh dari segenap kenikmatan.

Keempat: Ucapan-ucapan sia-sia itu akan mengundang cerca dan ejekan semata. Ia hanya akan membungkam pembicaranya, serta akan mendapat malu di hadapan Rabb al-‘Alamin.

Ada yang mengatakan:

إِيَّاكَ وَالْفضُولَ فَإِنَّ حِسَابَهُ يَطُولُ

Maksudnya: “Hindarilah setiap perkara yang tidak diperlukan, kerana ia hanya akan menjadikan proses Hisab berjalan begitu panjang.”

Cukup kiranya, maklumat-maklumat asas ini dijadikan peringatan bagi sesiapa yang memerlukannya. Dan telah penyusun terangkan secara lebih terperinci di dalam buku Asrar Mu‘amalat al-Din. Dengan memerhatikan isinya, nescaya pembaca akan mendapati cara-cara untuk menghindarinya. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 208-209)

Cukuplah peringatan daripada Rasulullah SAW, daripada Mu’az bin Jabal R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ثَكِلَتْك أُمُّك وَهَلْ يَكُبُّ النَّاسَ عَلَى وُجُوهِهِمْ -أَوْ قَالَ عَلَى مَنَاخِرِهِمْ- إلَّا حَصَائِدُ أَلْسِنَتِهِمْ؟!”

Maksudnya: “Celakalah kamu! Tidak ada yang menghumbankan manusia ke dalam neraka di atas muka meraka dalam riwayat yang lain disebutkan di atas hidung mereka melainkan hasil tuaian ini adalah ada lidah mereka?”

Riwayat al-Tirmizi (2619) dalam bab Iman iaitu bab “Hadis-hadis yang menceritakan tentang kehormatan sembahyang”, Ibn Majah (3973) dan Ahmad (5/231)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Leave a Reply