Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan makna hadis qudsi yang menyebut: al-Kibriya’ rida’i dengan maksud kebesaran atau keangkuhan itu adalah selendangku. Apa maksud sebenarnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan menyebut firman Allah SWT yang diriwayatkan di dalam hadith Qudsi:
الْكِبْرِيَاءُ رِدَائِي وَالْعَظَمَةُ إِزَارِي مَنْ نَازَعَنِي وَاحِدًا مِنْهُمَا أَلْقَيْتُهُ فِي جَهَنَّمَ
Maksudnya: “Kebesaran itu selendang-Ku, dan keagungan adalah kain pakaian-Ku. Sesiapa yang berani mengambil salah satu daripada keduanya, nescaya Aku akan masukkannya ke dalam neraka Jahannam.”
Riwayat Abu Daud di dalam al-Sunan (4090), Ibn Majah di dalam al-Sunan (4174), Ahmad ibn Hanbal dalam al-Musnad (2/248) menerusi hadith Abu Hurairah RA.
Al-Mubarakfuri berkata: Maksud hadis ini ialah bahawa keagungan dan kekuasaan Allah Yang Maha Tinggi menyebabkan tiada seorang pun yang dapat melihat-Nya. Namun, rahmat-Nya kepada orang beriman menyebabkan Dia memperlihatkan wajah-Nya kepada mereka sebagai penyempurna nikmat. Apabila halangan itu dihilangkan, Dia melakukan sesuatu yang berlawanan dengan kebesaran-Nya, seolah-olah Dia telah mengangkat tabir yang menghalang mereka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 7/197)
Al-Munawi berkata: Yakni, sifat-sifat ini adalah khusus bagi-Ku dan tidak layak bagi sesiapa pun selain-Ku. Maka, sesiapa yang mencabar sifat-sifat ini, dia mencabar salah satu daripada sifat-sifat-Ku. Jika al-Kibr (kebesaran/keangkuhan) terhadap hamba-hamba-Nya hanya layak bagi-Nya, maka sesiapa yang bersikap dengan sikap kebesaran dan keangkuhan terhadap hamba-hamba-Nya telah melakukan kesalahan besar. Ini disebut oleh Al-Ghazali.
Kata al-Kalabazi: “Selendang adalah lambang keindahan, manakala sarung adalah lambang keagungan, perlindungan, dan hijab. Seolah-olah Allah SWT berfirman, ‘ِAl-Kibriya’ (Kebesaran) hanya layak bagi-Ku kerana selain daripada-Ku, sifat-sifat huduth (baharu) adalah wajib baginya dan tanda kelemahan jelas padanya. Kain pakaian (izar) adalah lambang ketidakmampuan untuk memahami dan meliputi-Nya dengan ilmu dan bagaimana sifat-sifat-Nya. Seolah-olah Allah SWT berfirman, ‘Aku telah menutupi (menghijab) makhluk-Ku daripada memahami zat diri-Ku dan bagaimana sifat-sifat-Ku dengan keagungan dan kebesaran.’” (Lihat Faidh al-Qadir, 4/484)
Imam al-Ghazali menyebut: Maksudnya, kebesaran dan keagungan merupakan sifat tertentu yang hanya Allah berhak memilikinya. Tidak layak bagi sesiapa pun untuk memilikinya selain Dia. Diibaratkan selendang dan kain yang khusus dimiliki seseorang, tentu tidak boleh dipakai secara sama dengan orang lain.
Kata beliau lagi: Selain itu, sifat takabbur mendatangkan kutukan, baik celaan dari Allah mahupun sesama insan. Maka, setiap orang yang berakal tidak akan membiarkan sifat itu ada pada dirinya, melainkan akan berusaha untuk membuang dan menjauhinya dengan bersungguh-sungguh dan segera memohon perlindungan Allah dari sifat itu. Sesungguhnya Allah Maha Pelindung dan Maha Pemurah. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 222)
Marilah sama-sama kita menghindari sifat sombong, angkuh dan takabbur yang menjadi pakaian syaitan, sebaliknya menjadi hamba Allah yang tawadhu’, yang sentiasa menghambakan diri kepada-Nya. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ وَالأَدْوَاءِ
Maksudnya: “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”