Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami berkenaan maksud ayat 23 Surah al-Kahfi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT berfirman:

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَٰلِكَ غَدًا (23)

Maksudnya: “Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan): “Bahawa aku akan lakukan yang demikian itu, kemudian nanti”. Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata): “Insya Allah.”

(Surah al-Kahfi: 23)

Al-Syaukani berkata: Ketika orang-orang Yahudi bertanya kepada Rasulullah tentang kisah Ashabul Kahfi, Rasulullah menjawab: “Aku akan memberitahu kamu esok,” tanpa menyebut Insya Allah. Kemudian, wahyu tidak turun kepadanya sehingga menyebabkan baginda berasa susah hati. Maka Allah menurunkan ayat ini. Yakni, jika kamu berkata ‘aku akan melakukan perkara itu esok’, maka sertakanlah dengan perkataan InsyaAllah. (Lihat Fath al-Qadir, 4/271)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Jangan sekali-kali kamu mengatakan tentang sesuatu yang kamu sangka: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan ini esok pagi, kecuali dengan menyebut: “Insya Allah”. Ingatlah kepada Tuhanmu dengan tasbih, takbir dan istighfar jika kamu lupa dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kepada kebenaran daripada ini”. Ibnu Abbas berkata: Nabi pernah bersumpah, sehingga berlalu 40 malam. Maka turunlah ayat ini. (Lihat Tafsir al-Wajiz, hlm. 458)

Imam al-Ghazali berkata: Sifat yang berlawanan dengan Tul al-Amal adalah al-Niyyat al-Mahmudah iaitu niat yang terpuji. Mereka menyatakannya atas dasar memberikan contoh kelaziman umum semata. Hal ini kerana, seseorang yang mempunyai niat terpuji, maka lazimnya dia akan terhalang daripada angan-angan buruk. Itulah yang dimaksud dengan hukum Tul al-Amal dan al-Niyyat al-Mahmudah. Keduanya sangat perlu untuk diketahui, kerana kedua-duanya merupakan dasar yang paling asas. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 210)

 

Leave a Reply