Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, adakah harus niat korban sebelum hari sembelihan?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Ibadah Korban merupakan ibadat yang agung di sisi Allah SWT dan merupakan tuntutan dan galakan-Nya di dalam al-Quran al-Karim. Allah SWT berfirman:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ

Maksudnya: “Maka solatlah engkau dan sembelihlah korban.”

(Surah al-Kauthar: 2)

Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi al-Syafi‘i berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Para Mufassir Salaf semisal ‘Ikrimah maula Ibn ‘Abbas, ‘Ata’ bin Abi Rabah dan Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi menafsirkan ayat ini dengan: Tunaikan Solat Sunat Hari Raya pada pagi 10 Zulhijjah (Hari Raya Aidiladha) dan kemudian sembelihlah haiwan korbanmu.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/559)

Rasulullah SAW juga begitu menganjurkan amalan Korban dan menyatakannya sebagai amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT sepanjang Zulhijjah. Ummul Mukminin Aisyah R.Anha  meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا وَإِنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الْأَرْضِ فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada suatu pun amalan anak Adam pada hari al-Nahr (10 Zulhijjah) yang lebih dicintai oleh Allah melainkan ibadat menumpahkan darah haiwan ternakan (korban). Semuanya akan datang pada hari kiamat dengan tanduknya, bulu-bulunya, kuku-kukunya. Darah sembelihan korban itu akan sampai ke  hadrat Allah dahulu sebelum darah tersebut tumpah ke bumi. Bersenang-lenanglah kalian dengan ibadat ini.”

Riwayat al-Tirmizi (1493)

Imam Jalaluddin al-Suyuti mensyarahkan hadith di atas menyatakan: “Imam Ibn al-‘Arabi al-Maliki mengatakan: Ia merupakan amalan paling afdal pada hari Aidiladha kerana hari tersebut memang dikhususkan untuk melaksanakan korban. Apabila sesuatu amalan itu dikhususkan pada hari tertentu, maka ia merupakan amalan yang paling afdal untuk dilaksanakan pada hari tersebut, selepas ibadat-ibadat fardhu seperti solat lima waktu.” (Lihat Qut al-Mutaghazzi ‘ala Jami‘ al-Tirmizi, 1/390)

Berhubung dengan soalan yang saudara ajukan di atas, kami nyatakan bahawa niat adalah suatu tekad di hati untuk melakukan sesuatu ketika hendak melaksanakannya. Imam al-Suyuti merintiskan waktu melakukan niat bagi sesebuah ibadat seraya berkata:

الْأَصْلُ أَنَّ وَقْتَهَا أَوَّلُ الْعِبَادَاتِ وَنَحْوِهَا

Maksudnya: “Hukum asalnya, waktu bagi niat adalah waktu pertama sekali hendak melaksanakan ibadat tersebut dan yang sama erti dengannya.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/24)

Imam al-Nawawi mengatakan bahawa, menurut pendapat al-asah (الْأَصًحُّ) di dalam mazhab al-Syafi‘i, dibolehkan untuk awalkan atau mendahulukan niat korban sebelum hari menyembelih korban. Beliau berkata di dalam Syarah al-Muhazzab:

قَالَ أَصْحَابُنَا وَالنِّيَّةُ شَرْطٌ لِصِحَّةِ التَّضْحِيَةِ وَهَلْ يَجُوزُ تَقْدِيمُهَا عَلَى حَالَةِ الذَّبْحِ أَمْ يُشْتَرَطُ قَرْنُهَا بِهِ فِيهِ وَجْهَانِ (أَصَحُّهُمَا) جَوَازُ التَّقْدِيمِ كَمَا فِي الصَّوْمِ وَالزَّكَاةِ

“Para ashab kita (al-Syafi‘iyyah) berkata: Niat itu adalah syarat sah bagi ibadah korban. Adakah dibolehkan untuk mendahulukan niat sebelum menyembelih? Atau wajib menyertakan niat ketika menyembelih? Pada persoalan ini terdapat dua wajah (pendapat) dalam mazhab. Pendapat yang paling sahih adalah dibenarkan sepertimana isu puasa dan solat.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/405)

Imam al-Nawawi juga turut berkata sedemikian di dalam kitab Minhaj:

الثَّانِيَةُ: النِّيَّةُ شَرْطٌ فِي التَّضْحِيَةِ. وَهَلْ يَجُوزُ تَقْدِيمُهَا عَلَى الذَّبْحِ، أَمْ يَجِبُ أَنْ تَكُونَ مَقْرُونَةٌ بِهِ؟ وَجْهَانِ: أَصَحُّهُمَا: الْجَوَازُ

“Kedua: Niat adalah syarat bagi ibadah korban. Adakah boleh untuk mendahulukan niat sebelum menyembelih atau wajib niat ketika hendak menyembelih? Dua pendapat, pendapat yang paling sahih antara keduanya: Boleh.” (Lihat Minhaj al-Talibin, 3/200)

Imam al-Suyuti juga senada dalam hal ini, setelah menerangkan takrifan niat dan waktu untuk berniat ketika melaksanakan ibadat, beliau memfatwakan:

ﻭَﻣِﻨْﻬَﺎ: ﻧِﻴَّﺔ اﻷُْﺿْﺤِﻴَّﺔ، ﻳَﺠُﻮﺯ ﺗَﻘْﺪِﻳﻤﻬَﺎ ﻋَﻠَﻰ اﻟﺬَّﺑْﺢ ﻭَﻻَ ﻳَﺠِﺐ اﻗْﺘِﺮَاﻧﻬَﺎ ﻓِﻲ اﻷَْﺻَﺢّ، ﻭَﻳَﺠُﻮﺯ ﻋِﻨْﺪ اﻟﺪَّﻓْﻊ ﺇﻟَﻰ اﻟْﻮَﻛِﻴﻞ ﻓِﻲ اﻷَْﺻَﺢّ.

“Antara isu yang menjadi contoh perbahasan ini adalah: Niat korban, dibolehkan untuk mengawalkannya sebelum menyembelih dan tidak wajib untuk menyekalikan niat ketika menyembelih menurut pendapat al-asah dan dibolehkan niat ketika menyerahkan haiwan korban kepada wakil menurut pendapat al-asah juga.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir, 1/24)

Namun, jika haiwan korban belum ditentukan atau dispesifikkan (belum di-ta ‘yin), maka niat korban wajib diulang sebelum menyembelih pada hari sembelihan tersebut. Imam al-Nawawi berkata:

ﻭﺗﺸﺘﺮﻁ اﻟﻨﻴﺔ ﻋﻨﺪ اﻟﺬﺑﺢ ﺇﻥ ﻟﻢ ﻳﺴﺒﻖ ﺗﻌﻴﻴﻦ.

“Dan disyaratkan niat ketika menyembelih sekiranya orang yang hendak berkorban belum menentukan secara spesifik manakah haiwan korban yang hendak disembelih itu sebelumnya (tidak melakukan ta‘yin).” (Lihat Minhaj al-Talibin, 1/321)

Tuntasnya, seseorang yang berazam hendak menyembelih Korban hendaklah berniat ketika sebelum menyembelih haiwan korban tersebut pada hari-hari sembelihan iaitu Hari Nahar dan sepanjang hari-hari Tasyriq. Dibolehkan berniat dan tekad sebelum daripada hari tersebut namun dikehendaki untuk memperbaharui azam dan niat semula sebelum menyembelih. Hal ini kerana, takrifan Niat di sisi mazhab al-Syafi‘i adalah tekad di hati untuk melaksanakan sesuatu yang disertakan ketika hendak memulakan perbuatan tersebut.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا تَقَبَّلۡ مِنَّاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلسَّمِیعُ ٱلۡعَلِیمُ وَتُبۡ عَلَیۡنَاۤۖ إِنَّكَ أَنتَ ٱلتَّوَّابُ ٱلرَّحِیمُ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau Maha Mendenagr lagi Maha Mengetahui. Dan ampunkanlah kami, sesungguhnya Engkau Maha Penerima Taubat dan Maha Pengasih.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply