Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, pengharaman arak diperintahkan berperingkat iaitu dilarang apabila mahu bersolat sahaja sebelum diharam secara muktamad. Bagaimana tentang perhambaan, dan apakah ayat-ayat larangan dan dalil-dalil berkaitan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Membebaskan hamba merupakan salah satu amal soleh yang besar ganjarannya di sisi Tuhan. Amalan ini sabit anjurannya di dalam al-Quran dan al-Sunnah nan suci. Allah SWT berfirman di dalam Muhkam al-Tanzil:

فَلَا ٱقۡتَحَمَ ٱلۡعَقَبَةَ ۝١١ وَمَاۤ أَدۡرَىٰكَ مَا ٱلۡعَقَبَةُ ۝١٢ فَكُّ رَقَبَةٍ ۝١٣

Maksudnya: “Adakah mereka tidak mahu mendapat kebaikan dan kejayaan dunia akhirat serta menyelamatkan daripada api neraka? Apakah caranya untuk mendapatkan demikian? Pertama, dengan membebaskan hamba.”

(Surah al-Balad: 13)

Membebaskan hamba merupakan amal soleh yang menjamin pembebasan daripada api neraka bagi pelakunya kelak pada hari Kiamat. Abu Hurairah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةً مُؤْمِنَةً أَعْتَقَ اللَّهُ بِكُلِّ إرْب مِنْهَا إِرْبًا مِنْهُ مِنَ النَّارِ، حَتَّى إِنَّهُ لَيُعْتِقُ بِالْيَدِ الْيَدَ، وَبِالرِّجْلِ الرِّجْلَ، وَبِالْفَرْجِ الْفَرْجَ

Maksudnya: “Sesiapa yang membebaskan hamba yang Mukmin, maka Allah akan membebaskan dengan berkat setiap pembebasan yang dilakukan itu, satu ikatan daripada api neraka. Tangannya dibebaskan, kerana membebaskan tangan hamba tersebut. Kakinya dibebaskan kerana membebaskan hamba tersebut. Maruahnya dibebaskan, kerana telah membebaskannya daripada hamba tersebut.”

Riwayat al-Bukhari di dalam al-Sahih (6715); Muslim di dalam al-Sahih (1509); al-Tirmizi di dalam al-Jami‘(1541); al-Nasa’i di dalam al-Sunan al-Kubra (4875)

Selain itu, ‘Amru bin ‘Abasah al-Sulami RA juga meriwayatkan bahawa baginda Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا مُسْلِمٍ أعتقَ رَجُلا مُسْلِمًا، فَإِنَّ اللَّهَ جاعلٌ وَفَاءَ كُلِّ عَظْمٍ مِنْ عِظَامِهِ عَظْمًا مِنْ عِظَامِ مُحَرِّرِهِ مِنَ النَّارِ، وَأَيُّمَا امْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ أَعْتَقَتِ امْرَأَةً مُسْلِمَةً، فَإِنَّ اللَّهَ جَاعِلٌ وَفَاءَ كُلِّ عَظْمٍ مِنْ عِظَامِهَا عَظْمًا مِنْ عِظَامِهَا مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Mana-mana lelaki Muslim yang membebaskan hamba lelaki Muslim yang lain, sesungguhnya Allah akan menjadikan setiap tulang hamba itu sebagai pembebasnya kelak daripada neraka pada hari Kiamat. Mana-mana perempuan Muslimah yang membebaskan hamba perempuan Muslimah yang lain, sesungguhnya Allah akan menjadikan setiap tulang hamba itu sebagai pembebasnya kelak daripada neraka pada hari Kiamat.”

Riwayat Abu Daud di dalam al-Sunan (3966); al-Nasa’i di dalam al-Sunan (3145); al-Tirmizi di dalam al-Jami‘(1638); al-Tabari di dalam al-Tafsir (24/422); dinilai sahih dan tinggi sanadnya menurut syarat al-Syaikhan (al-Bukhari dan Muslim) oleh Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayn (3/51)

Menegaskan perkara di atas, ‘Uqbah bin ‘Amir al-Juhani RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

مَنْ أَعْتَقَ رَقَبَةَ مُسْلِمَةٍ فَهُوَ فِدَاؤُهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Sesiapa yang membebaskan seorang hamba Muslim, maka amalan itu akan menjadi penebusnya kelak untuk mengelak daripada memasuki api neraka.”

Riwayat Ahmad di dalam al-Musnad (17357); Abu Daud al-Tayalisi di dalam al-Musnad (1009); Abu Ya‘la di dalam al-Musnad (1760); Ibn Qutlubugha di dalam Musnad ‘Uqbah (94); sanadnya terputus (munqati‘) antara Qatadah dengan Qays al-Juzami; namun dinilai sahih kerana ada sokongan jalur lain di sisi Imam al-Hakim di dalam al-Mustadrak (2/230)

Membebaskan hamba adalah amalan dan anjuran Sunnah, bahkan amalan para Salafussoleh dalam kalangan Sahabat Nabi RAnhum. Al-‘Allamah ‘Abd al-Hamid al-Syirwani di dalam Hasyiah beliau atas kitab Tuhfah menukilkan bahawa Imam al-Khatib al-Syirbini pernah berkata:

“[Faedah] Nabi SAW membebaskan sebanyak 63 orang hamba, dan baginda hidup selama 63 tahun. Baginda juga menyembelih pada Haji Terakhir sebanyak 63 haiwan korban. Manakala, Aisyah RAnha juga membebaskan 63 orang hamba dan hidup selama 63 tahun. Begitu juga, Abu Bakr yang membebaskan terlalu banyak hamba. al-  ‘Abbas membebaskan sebanyak 70 orang hamba. ‘Uthman bin ‘Affan membebaskan sebanyak 20 orang hamba ketika beliau dikepung, Hakim bin Hizam membebaskan sebanyak 100 orang hamba beserta setiap hamba diberi timbunan perak. ‘Abdullah bin ‘Umar RAnhuma membebaskan sebanyak 1,000 orang hamba, melaksanakan sebanyak 1,000 kali, melaksanakan Haji sebanyak 60 kali, mewakafkan 1,000 ekor kuda untuk fi sabilillah. Zu al-Kura‘ al-Himyari membebaskan sebanyak 8,000 orang hamba dalam masa satu hari sahaja, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf membebaskan sebanyak 30,000 orang hamba.” (Lihat Hasyiah al-Syirwani ‘ala alTuhfah, 10/352)

Oleh yang demikian, muktamad mazhab al-Syafi‘i menegaskan bahawa disunatkan untuk banyak membebaskan hamba; sepertimana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami bahawa:

وَهُوَ قُرْبَةٌ إجْمَاعًا وَلَمْ يَذْكُرْهُ اكْتِفَاءً بِمَا سَيَذْكُرُهُ فِي الْكِتَابَةِ بِالْأُولَى وَيُسَنُّ الِاسْتِكْثَارُ مِنْهُ كَمَا جَرَى عَلَيْهِ أَكَابِرُ الصَّحَابَةِ

“Membebaskan hamba adalah suatu ibadah untuk mendekatkan diri kepada Allah menurut ijma‘, Imam al-Nawawi tidak menyatakannya secara jelas di sini kerana beiau telah menegaskannya secara jelas dalam isu al-Kitabah sebelumnya; dan disunatkan untuk memperbanyakkan membebaskan hamba sepertimana amalan para Sahabat yang senior.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-MInhaj, 10/352)

Tuntasnya kami tegaskan di sini, sistem perhambaan tidak diharamkan secara total atau mutlak di dalam Islam. Ia merupakan norma masyarakat ketika itu. Namun, Syariat Islam hadir untuk membebaskan semua manusia tanpa mengira status sama ada merdeheka ataupun hamba daripada kepompong kehinaan. Allah SWT berfirman:

 وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلَا تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا ۖ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَىٰ وَالْيَتَامَىٰ وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنبِ وَابْنِ السَّبِيلِ وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ مَن كَانَ مُخْتَالًا فَخُورًا

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, dan kaum kerabat, dan anak-anak yatim, dan orang-orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri.”

(Surah al-Nisa’: 36)

Imam Abu al-‘Abbas al-Qurtubi ketika menafsirkan firman Allah SWT (وَمَا مَلَكَتْ أَيْمَانُكُمْ) berkata, Allah SWT memerintahkan untuk berlaku ihsan terhadap hamba sahaya yang dimiliki. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/189)

Hamba sahaya didefinisikan sebagai orang yang terpaksa bekerja untuk seseorang dengan tidak mendapat apa-apa bayaran. Mereka juga mempunyai keperluan asasi yang perlu dipenuhi bagi meneruskan kehidupan seharian. Bahkan Islam menuntut agar mereka yang memiliki hamba sahaya untuk menunaikan nafkah asasi seperti pakaian, tempat tinggal dan makan minum seharian.

Hal ini sebagaimana yang warid daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 لِلْمَمْلُوكِ طَعَامُهُ وَكِسْوَتُهُ وَلاَ يُكَلَّفُ مِنَ الْعَمَلِ إِلاَّ مَا يُطِيقُ

Maksudnya: “Seseorang yang dimiliki (hamba) berhak untuk mendapatkan makanannya dan juga pakaiannya dengan cara yang ma‘ruf (baik) dan janganlah dia dibebani dengan sesuatu pekerjaan melainkan dengan apa yang dia mampu.”

Riwayat Muslim di dalam al-Sahih (1662) dalam kitab Hukum Sumpah [الْأَيْمَانٍ] Bab: Kewajiban Tuan Memberi Makan dan Pakaian kepada Hambanya Sama Seperti Dirinya Sendiri, Haram Membebankannya [باب إطعام المملوك مما يأكل، وإلباسه مما يلبس، ولا يكلفه ما يغلبه ] juga al-Humaidi di dalam al-Musnad (1189).

Manakala menerusi hadith riwayat Abu Zar al-Ghifari RA, Rasulullah SAW bersabda kepadanya:

إِخْوَانُكُمْ خَوَلُكُمْ، جَعَلَهُمُ اللهُ تَحْتَ أَيْدِيكُمْ، فَمَنْ كَانَ أَخُوهُ تَحْتَ يَدِهِ فَـلْيُطْعِمْهُ مِمَّا يَأْكُلُ، وَلْيُلْبِسْهُ مِمَّا يَلْبَسُ، وَلاَ تُكَلِّفُوهُمْ مَا يَغْلِبُهُمْ، فَإِنْ كَلَّفْتُمُوهُمْ فَأَعِينُوهُمْ

Maksudnya: “Hamba-hamba kamu merupakan saudara-saudara kamu, dan Allah SWT telah meletakkan mereka di bawah tanggungan kamu. Maka barangsiapa yang mempunyai seorang hamba di bawah tanggungannya, hendaklah dia memberinya makan sama dengan apa yang dia makan, dan memberinya pakaian yang sama dengan pakaiannya. Jangan bebankan mereka dengan tugas yang tidak mampu mereka laksanakan, dan jika kamu bebankan juga hendaklah kamu menolong mereka.”

Riwayat al-Bukhari di dalam al-Sahih (31) dalam Kitab Iman, Bab: Maksiat adalah Amalan Jahiliah dan Dosa Tidak Mengkafirkan Pelakunya, melainkan Syirik [باب المعاصي من أمر الجاهلية ولا يكفر صاحبها بارتكابها إلابالشرك]

Imam al-Nawawi berkata ketika mensyarahkan kedua hadith di atas, perintah untuk memberi makan kepada para hamba dengan apa yang dimakan oleh tuannya dan memberi mereka pakaian yang sama dikenakannya difahami sebagai perintah yang sunat, dan tidak diwajibkan. Inilah yang telah disepakati oleh ulama’ Islam. Adapun tindakan Abu Zar R.A dengan memberikan hambanya pakaian yang sama dengan pakaiannya, ini adalah beramal dengan perintah sunat.

Meskipun begitu, tuan wajib memberi nafkah kepada hamba dan memberinya pakaian yang sesuai menurut ‘uruf negeri dan masyarakat setempat, sama ada dia dari jenis yang sama dengan nafkah dan pakaian tuannya, kurang darinya atau lebih darinya. Sekiranya tuan itu seorang yang tangkai jering terhadap dirinya sendiri, luar dari kebiasaan, sama ada kerana hendak menjadi zuhud atau memang kedekut, dia tidak boleh bersifat kedekut juga pada hambanya dan memaksanya untuk sama dengannya kecuali jika hamba tersebut redha.

Ulama’ juga bersepakat bahawa tidak boleh seorang tuan itu membebankan hambanya dengan suatu pekerjaan yang tidak mampu dilakukannya. Jika dia tetap membebankannya dengan pekerjaan tersebut, dia wajib bantu sendiri hambanya atau mengupah orang lain untuk membantu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 11/133)

Islam mewajibkan agar melayan hamba dengan baik dan adil, sekaligus perhambaan secara beransur-ansur dan sistematik tanpa menggugat norma sistem kemasyarakatan ketika itu.

Hakikatnya, Islam amat menganjurkan pembebasan hamba dan menuju ke arah Sifar Hamba. Oleh yang demikian, syariat Islam merintiskan pembebasan secara automatik bagi anak-anak umm al-walad iaitu pembebasan atas dasar al-istilad (الِاسْتِيلَادِ). Fuqaha’ al-Syafi‘iyyah turut menyatakan bahawa apabila seorang Muslim yang merdeka menyetubuhi hamba perempuannya, maka anak yang lahir daripada hubungan tersebut adalah berstatus Hurr Nasib (حُرٌّ نَسِيبٌ) iaitu bebas dan bermaruah seperti orang merdeka yang lain. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 10/401; 10/421)

Pada zaman kini, sistem perhambaan tidak lagi dilaksanakan oleh majoriti manusia, kebanyakkan mereka sudah begitu aktif dan gencar menekankan Hak Asasi Manusia yang sah dan bermaruah. Keadaan beginilah yang Syariat Islam tekankan dan anjurkan.

Kesimpulannya, Syariat Islam merupakan jaguh yang hakiki komited dan serius dalam memperjuangkan dan memartabatkan Hak Asasi Kemanusiaan, tidak seperti sebahagian pihak yang membenci Islam. Golongan ini melaungkannya dengan penuh lakonan dan hipokrit, hakikatnya hanya retorik semata dan sama sekali begitu kontradik apabila melibatkan realiti.

Kami juga ingin tegaskan di sini sebahagian ulama mutaakhkhirin seperti al-Allamah Ustaz Muhammad Rasyid Redha juga memperluaskan skop perhambaan kepada tawanan perang dan juga mereka yang dibelenggu dengan hutang sehingga seolah-olah mereka sebagai hamba. Sesungguhnya membantu mereka sudah tentu memberi kebaikan yang besar kepada pelakunya. Banyak nas Ilahi dan Nabawi menjelaskan kelebihan hal tersebut. Semoga Allah SWT memberikan kepada kita kebaikan dalam hidup serta dapat membantu sahabat-sahabat kita yang terbelenggu dengan sejuzuk daripada maksud perhambaan ini. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَاۤ ءَاتِنَا فِی ٱلدُّنۡیَا حَسَنَةࣰ وَفِی ٱلۡـَٔاخِرَةِ حَسَنَةࣰ وَقِنَا عَذَابَ ٱلنَّارِ

Maksudnya: ““Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply