Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jalan mana yang harus kita tempuh, apakah jalan rasa takut (khauf) atau “jalan harapan (raja’)”?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu beberapa nas khauf dan raja’:

Allah SWT berfirman:

يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا

Maksudnya: “Mereka sentiasa berdoa kepada Tuhan mereka dengan perasaan takut (akan kemurkaanNya) serta dengan perasaan ingin memperolehi lagi (keredaanNya).”

(Surah al-Sajdah: 16)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Mereka memanjatkan doa kepada Allah dengan doa yang tulus dan sungguh-sungguh dengan berlandaskan keyakinan akan diperkenankan, serta dengan penuh rasa takut kepada hukuman dan penuh pengharapan kepada rahmat dan pahala yang melimpah. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 11/216)

Allah SWT berfirman:

مَن كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لَآتٍ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang dijanjikan) Allah itu, pasti datang.”

(Surah al-Ankabut: 5)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Allah menjelaskan bahawa orang yang beriman kepada akhirat dan beramal untuk itu, dia akan menemui pahala amalnya. Allah berfirman, barangsiapa yang mengharapkan kebaikan, tamak dan mengangankan pahala Allah yang besar di negeri akhirat serta beramal soleh, maka Allah akan merealisasikan harapannya, memberikannya sebagai amal yang penuh tanpa dikurangi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/440)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Ghazali, katanya: Kami katakan kepada kamu: Jalan yang paling baik adalah dengan  menempuh keduanya. Hal ini kerana, ada orang mengatakan, “Barangsiapa terlalu besar pengharapannya (raja’) dikhuatiri dia menjadi golongan Murji’an (menganggap bahawa dosa tidak ada bahayanya), atau menjadi golongan harami (semua yang diharamkan boleh dilakukan) kerana dia beranggapan semua dosanya bakal diampuni. Dan barangsiapa dikuasai oleh rasa takut (khauf), tidak mempunyai harapan lagi, yang dia punya hanyalah rasa takut. Orang yang sebegitu dikhuatiri menjadi golongan harurian (anggapan bahwa dosa merupakan bahaya yang menjadikan kekal di dalam neraka).  Dengan kata lain, Tidaklah benar untuk hanya bersandar pada salah satu di antara rasa takut dan harapan itu. Maka, sesungguhnya pada hakikatnya, harapan yang hakiki itu tidak terlepas dari rasa takut yang hakiki. Sedangkan rasa takut yang hakiki tidak pula terlepas dari harapan yang hakiki. Oleh itu dikatakan, bahwa seluruh harapan hanya dimiliki oleh orang yang takut, bukan orang yang berasa aman. Dan semua rasa takut itu hanya dimiliki oleh orang yang memiliki harapan, bukan orang yang berputus-asa. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 43-44)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلْهِمْنَا رُشْدَنَا، وَأَعِذْنَا مِنْ شَرِّ أَنْفُسِنَا

Maksudnya: “Wahai Allah! Ilhamkanlah kepada kami kecerdasan dan petunjuk serta lindungilah kami daripada kejahatan nafsu kami.”

 

Leave a Reply