Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh nyatakan kepada kami, bagaimana kita boleh mengubati penyakit ujub yang melanda kita mengikut Imam al-Ghazali?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Terlebih dahulu, kami nyatakan di sini bahayanya penyakit ujub.
Allah SWT berfirman:
فَلَا تُزَكُّوا أَنفُسَكُمْ ۖ هُوَ أَعْلَمُ بِمَنِ اتَّقَىٰ
Maksudnya: “Maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa.”
Surah al-Najm (32)
Ibn Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim (4/309) berkata: Yakni kamu memujinya, mensyukurinya dan bercita-cita dengan amalan kamu.
Daripada Abu Hurairah Rasulullah SAW pernah bersabda:
لاَ تُزَكُّوا أَنْفُسَكُمُ، اللَّهُ أَعْلَمُ بِأَهْلِ الْبِرِّ مِنْكُمْ.
Maksudnya: “Jangan kamu mensucikan diri kamu kerana Allah lebih mengetahui orang yang paling baik dalam kalangan kamu.”
Riwayat Muslim (5733)
Hadis ini sebagaimana riwayat Amru bin ‘Ata’ berkata: Aku menamakan nama anak perempuanku dengan Barrah (kebajikan atau kebaikan) lantas Zainab binti Salamah berkata kepadaku: Rasulullah SAW melarang nama ini, sedangkan kamu menamakannya dengan Barrah.
Imam al-Nawawi berkata, makna hadis ini: hendaklah menukar nama yang buruk atau yang makruh kepada nama yang baik. (Lihat Syarah Sahih Muslim, 14/120)
Ujub boleh membinasakan amalan yang kita lakukan. Daripada Anas bin Malik R.A, katanya, sabda Rasulullah SAW:
ثَلَاثٌ مُهْلِكَاتٌ: شُحٌّ مُطَاعٌ، وَهَوًى مُتَّبَعٌ، وَإِعْجَابُ الْمَرْءِ بِنَفْسِهِ.
Maksudnya: “Tiga perkara yang membinasakan: Orang yang kedekut ditaati, hawa nafsu yang diikuti dan seseorang itu merasa kagum pada dirinya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (731) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsat (5915)
Menjawab persoalan di atas, kami katakan Imam al-Ghazali menyebut: Adapun ‘ujub: Bagi mengubati penyakit ‘ujub ini, hendaklah engkau memerhatikan tiga prinsip penting.
Prinsip pertama: Amal perbuatan seorang hamba itu akan memiliki nilai hanya apabila diredhai dan diterima oleh Allah SWT. Jika tidak, maka engkau seperti melihat seorang buruh yang bekerja sepanjang hari dengan upah dua dirham sahaja, atau penjaga yang berjaga sepanjang malam dengan gaji yang sangat kecil. Namun, jika engkau mengkhususkan amal perbuatanmu hanya kepada Allah SWT, lalu engkau berpuasa kerana-Nya seharian, maka puasamu pada hari itu tidak terhingga nilainya, apabila Dia meredhai amalmu itu dan menerimanya.
Allah SWT berfirman:
إِنَّمَا يُوَفَّى الصَّابِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira’.”[1]
(Surah al-Zumar: 10)
Dan di dalam sebuah riwayat hadith qudsi disebutkan:
أَعْدَدْتُ لِعِبَادِي الصَّالِحِينَ مَا لاَ عَيْنَ رَأَتْ، وَلاَ أُذُنَ سَمِعَتْ، وَلاَ خَطَرَ عَلَى قَلْبِ بَشَرٍ
Maksudnya: “Aku menyiapkan untuk hamba-hamba-Ku yang soleh balasan yang tidak pernah dilihat oleh mata dan tidak pernah didengar oleh telinga, serta tidak pernah terlintas di hati manusia.”
Riwayat Bukhari (3244) dan Muslim (2824)
Maka, itulah upah bagi orang yang berpuasa satu hari. Hari kamu yang dahulu bernilai dua dirham sahaja, yang engkau lalui dengan susah payah, kini telah bernilai sebesar itu, hanya dengan menunda makan siang, hingga menjadi makan malam.
Jika engkau berdiri solat satu malam kerana Allah SWT, dan engkau ikhlaskan diri hanya untuk-Nya, maka berdirimu itu tidak terhingga nilainya dalam memperoleh kemuliaan di sisi- Nya. Sebagaimana Allah SWT berfirman:
فَلَا تَعْلَمُ نَفْسٌ مَّا أُخْفِيَ لَهُم مِّن قُرَّةِ أَعْيُنٍ جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ
Maksudnya: “Maka tidak ada seseorang pun yang mengetahui satu persatu persediaan yang telah dirahsiakan untuk mereka (dari segala jenis nikmat) yang amat indah dipandang dan mengembirakan, sebagai balasan bagi amal-amal soleh yang mereka telah kerjakan.”[2]
(Surah al-Sajadah: 17)
Beginilah yang terjadi dengan amal-amalmu yang sebelumnya, hanya dihargai beberapa dirham sahaja, kini telah berlipat kali ganda nilainya, hanya kerana engkau melakukannya, demi untuk mendapat keredhaan Allah SWT semata-mata.
Renungkanlah, betapa besar balasan yang dijanjikan oleh Allah SWT bagi mereka yang mengerjakan solat dua rakaat yang ringan, atau yang mengucapkan kalimat suci (لا إله إلا الله). Sebagaimana firman Allah SWT:
مَنْ عَمِلَ سَيِّئَةً فَلَا يُجْزَىٰ إِلَّا مِثْلَهَا ۖ وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ وَهُوَ مُؤْمِنٌ فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ يُرْزَقُونَ فِيهَا بِغَيْرِ حِسَابٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang mengerjakan sesuatu perbuatan jahat maka ia tidak dibalas melainkan dengan kejahatan yang sebanding dengannya; dan sesiapa yang mengerjakan amal soleh – dari lelaki atau perempuan – sedang ia beriman, maka mereka itu akan masuk Syurga; mereka beroleh rezeki di dalam Syurga itu dengan tidak dihitung.”[3]
(Surah al-Ghafir: 40)
Bagi penduduk dunia, pekerjaan yang dilakukan hanya dengan satu kali tarikan nafas tidak ada nilainya. Begitu juga bagi dirimu sendiri. Jika kita kaji, berapa banyak nafas yang engkau persiakan tanpa menghasilkan apa-apa? Berapa zaman telah berlalu begitu sahaja, tanpa boleh dipetik manfaatnya? Padahal apabila digunakan untuk mencari redha Allah, nilainya menjadi sangat besar. Allah SWT membesarkan nilainya dan menganugerahinya dengan kurniaan-Nya yang agung.
Maka seharusnya seorang yang berakal melihat, betapa rendah nilai perbuatannya selama ini, dan melihat bahawa kemudian amalnya menjadi mulia dan meningkat nilainya hanya dengan anugerah Allah SWT. Berwaspadalah dalam amal perbuatanmu, agar tidak jatuh kembali pada kehinaan, hingga tidak diredhai oleh-Nya kerana itu boleh melenyapkan nilai amal yang sudah diraih, dan amalmu kembali kepada keadaan semula yang memiliki nilai rendah, hanya beberapa dirham, bahkan lebih buruk dari itu.
Sebagai contoh, segugus anggur dan seikat daun kemangi (raihan) di pasar berharga satu sen. Jika seseorang menghadiahkannya kepada raja, sekalipun murah, namun raja menyukainya, maka si raja boleh jadi memberikan imbalan untuknya seribu dinar. Namun sebaliknya, apabila raja tidak menyukainya, dan mengembalikan pemberian itu kepadanya, maka harganya kembali pada yang awal, iaitu satu sen sahaja. Demikian pula keadaan amal kita, maka perhatikanlah dan lihatlah anugerah Allah SWT, serta lindungilah amalmu dari apa-apa yang memburukannya di sisi Allah SWT.
Prinsip yang kedua: Seorang raja di dunia apabila memberi gaji dan fasiliti yang cukup pada pelayannya, maka dia akan minta terus dilayani oleh si pelayan, baik di siang hari mahupun tengah malam. Demikian itu, sebenarnya dia terkandung kehinaan dan kerendahan. Dia akan berdiri di samping raja itu hingga kakinya lenguh, lalu berjalan di depannya apabila sang raja menaiki kenderaannya, dan mungkin dia harus berdiri di pintu biliknya sepanjang malam untuk berjaga-jaga. Apabila musuh datang, dia bersiap mengorbankan nyawa yang hanya satu-satunya itu, demi si raja. Dia sanggup menjalankan semua tugas pelayanan itu, dengan segala derita dan bahaya, demi memperolehi keuntungan dunia yang kering dan rendah itu.
Padahal, pada hakikatnya rezeki itu datang dari Allah SWT, dan raja itu hanyalah sebagai perantaranya. Allah SWT telah menciptakan kamu dari yang sebelumnya tidak ada, kemudian Dia memeliharamu dengan sikap yang baik. Dia memberimu nikmat jasmani dan rohani untuk agamamu, jiwamu dan duniamu, yang tidak dapat dijangkau oleh fikiran dan khayalanmu. Sebagaimana Allah SWT berfirman:
وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللَّهِ لَا تُحْصُوهَا
Maksudnya: “Dan jika kamu menghitung nikmat Allah (yang dilimpahkannya kepada kamu), tiadalah kamu akan dapat menghitungnya satu persatu.”[4]
(Surah al-Nahl: 18)
Kemudian, apabila engkau menunaikan solat dua rakaat dengan banyak kesalahan dan kekurangan, meskipun Allah SWT telah menjanjikan balasan pahala yang sangat besar bagimu di akhirat, dan engkau lalu merasa bangga dengan solat yang seperti itu. Catat baik-baik, tidaklah bijaksana untuk merasa bangga dengan keadaan solat yang seperti itu, yang sebenarnya tidak ada nilainya, tetapi kemudian menjadi bernilai hanya kerana rahmat-Nya sahaja.
Prinsip ketiga: Seorang raja dengan hak istimewa ini: seluruh menteri dan para pengawal istana berdiri di sampingnya untuk melayani seluruh keperluan raja; para jeneral dan gabenor yang siap melaksanakan perintahnya; orang-orang bijak dan cendekiawan yang melayaninya dengan pujian-pujian. Namun, raja kemudian mengizinkan seorang penjaga kedai atau petani miskin masuk ke istananya, dan berdiri sebaris dengan orang-orang besar itu, dan memberi kedudukan khusus di istana. Setelah diterima menjadi orang istana dengan cara yang tidak wajar, orang tersebut terus berasa bangga, lalu lebih mengutamakan kepentingan dirinya daripada raja, maka semua orang pasti akan menyangka bahwa orang itu sudah gila dan tidak berakal?!
Setelah melihat contoh di atas, sekarang engkau fikirkan bahawa raja itu adalah Allah SWT, Rabb yang kepada-Nya bertasbih langit dan bumi serta makhluk yang ada pada keduanya. Begitu juga, tidak ada suatu pun dari makhluk-Nya, melainkan pasti bertasbih memuji-Nya, dan Dia yang disembah oleh makhluk langit mahupun bumi, baik dengan sukarela ataupun terpaksa.
Dan di antara para pelayan yang ada di pintu-Nya adalah Jibril yang sangat dipercayai, Mikail, Israfil, Izrail serta, para pemikul ‘Arasy, Kurubiyyun, Ruhaniyyun dan semua malaikat yang tinggi kedudukannya, yang tidak dapat dihitung jumlahnya kecuali oleh Allah Rabb semesta alam, bersih diri mereka dan ibadat mereka yang mulia.
Kemudian mereka yang tergolong para pengabdi di hadapan pintu-Nya adalah Nabi Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Muhammad, sebagai sebaik-baik makhluk, kemudian menyusul para nabi rasul lainnya. Semoga selawat dan salam-Nya dilimpahkan kepada mereka semua, pada darjat mereka yang mulia, dan dengan perjalanan hidup mereka yang harum dan mulia. Kedudukan mereka ditinggikan, ibadah mereka diagungkan dan dinyatakan utama oleh-Nya.
Urutan berikutnya adalah para ulama yang merupakan pemimpin-pemimpin bijak dan baik, serta orang-orang zuhud. Derajat mereka agung dan menawan. Tubuh mereka bersih dan suci, sementara ibadah mereka sangat banyak dan ikhlas.
Sedangkan pelayan-pelayan paling hina di pintu-Nya adalah para hamba dunia dan para pembesar dunia. Mereka menundukkan wajah kepada-Nya (bersujud), merasa kerdil, mengotori wajah mereka dengan debu, tunduk serta mengajukan keperluan mereka kepada-Nya dengan menangis, sedih dan berasa tidak berdaya. Mereka juga mengakui bahwa hanya Allah SWT yang layak disembah, dan mengakui diri mereka salah. Mereka bersujud dan merasa kecil di hadapan-Nya. Sehingga bila mana Dia melihat mereka sekelip mata, akan memenuhi hajat mereka dengan anugerah-Nya atau mengampuni kesalahan mereka kerana sifatnya yang Maha Pemurah. Dan Dia yang Maha besar dan Maha Agung, walaupun begitu mengizinkan orang-orang hina, cacat dan kotor itu bertemu dengan-Nya. Padahal jika orang-orang itu meminta izin kepada datuk bandar atau bupati di dunia, maka kemungkinan besar tidak akan mengizinkan mereka bertemu. Dan jika berbicara dengan seorang ketua kampung, maka kemungkinan mereka tidak akan dipelawa. Jika mereka bersujud kepada pemimpin dan penguasa negeri di bumi ini, maka mungkin sahaja pemimpin itu tidak mempedulikan mereka. Sedangkan Allah Yang Maha Mulia dan Maha Agung telah mengizinkan mereka, sehingga mereka dapat menyembah serta memuji-Nya, berbicara dengan-Nya, bahkan mengajukan permintaan kepada-Nya, berterus-terang kepada-Nya, dan meminta dikabulkan hajat mereka, juga meminta dicukupkan keperluan mereka oleh-Nya. Kemudian Dia pun reda dengan dua rakaat solat dengan segala kekurangannya, bahkan menyiapkan bagi mereka itu pahala yang tidak terlintas oleh hati manusia. Namun mereka, boleh merasa sedemikian ta’jub dengan dua rakaat seperti itu, memandangnya sebagai amalan yang besar, dan tidak melihat kurniaan Allah terhadap diri mereka pada yang demikian itu. Maka, betapa mereka menjadi hamba yang paling jahat dan paling jahil! Dan hanya kepada Allah SWT yang diminta pertolongan, kepada-Nya kita mengadu dari nafsu yang bodoh ini, serta kepada- Nya pula kita bergantung. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 314-317)
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Nota Hujung:
[1] Maksudnya adalah, Allah akan memberikan balasan di akhirat kelak kepada orang-orang yang bersabar terhadap apa yang mereka hadapi di dunia, ‘بِغَيْرِ حِسَابٍ’, “pahala mereka tanpa batas.” (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/303)
[2] Maksud ayat ini adalah, maka seseorang yang memiliki jiwa tidak mengetahui apa yang disembunyikan Allah bagi orang-orang yang disebutkan sifatnya oleh Allah pada dua ayat tersebut, yang menyedapkan pandangan mata mereka di syurga-Nya pada Hari Kiamat. Firman-Nya, ‘جَزَاءً بِمَا كَانُوا يَعْمَلُونَ’ maksudnya adalah, sebagai pahala bagi mereka atas amalan-amalan yang mereka kerjakan di dunia. (Lihat Jami’ al-Bayan, 19/852)
[3] Iaitu barangsiapa melakukan perbuatan maksiat di kehidupan dunia ini, maka Allah akan membalas perbuatan buruk itu dengan balasan yang sama, Allah pasti menghukumnya. ‘وَمَنْ عَمِلَ صَالِحًا مِّن ذَكَرٍ أَوْ أُنثَىٰ’ (“Dan barangsiapa mengerjakan amal yang soleh sama ada lelaki mahu pun perempuan,”) beramal dengan ketaatan kepada Allah di dunia, melaksanakan perintah-Nya, dan menjauhi larangan-Nya ‘وَهُوَ مُؤْمِنٌ’ (“Sedang dia dalam keadaan beriman,”) kepada Allah, ‘فَأُولَٰئِكَ يَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ’ (“Maka mereka akan masuk surga.”) Maksudnya adalah, orang-orang yang melakukan semua itu adalah hamba-hamba Allah yang di akhirat kelak yang akan masuk syurga. (Lihat Jami’ al-Bayan, 21/564)
[4] Al-Tabari berkata: Maksudnya adalah, kamu semua tidak akan mampu mensyukurinya. (Lihat Jami’ al-Bayan, 15/50) Ibn Kathir berkata: Maksudnya, nikmat Allah tidak mungkin dapat dihitung dan tidak mungkin dapat ditentukan jumlah- nya. Jika manusia berusaha mengetahui jumlahnya, nescaya mereka tidak akan mampu melakukan itu. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/201)