Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hakikat pujian dan syukur itu? Apa pula makna serta hukum keduanya mengikut pandangan Imam al-Ghazali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَئِن شَكَرْتُمْ لَأَزِيدَنَّكُمْ

Maksudnya:Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambahkan nikmat-Ku kepada kamu.

(Surah Ibrahim: 7)

Ibn Kathir menyebut bahawa ayat di atas bermaksud sekiranya seseorang itu bersyukur kepada Allah atas segala nikmat yang diberikan kepadanya, maka Allah SWT akan menambahkan lagi nikmat tersebut ke atas dirinya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/479)

Al-Qurtubi berkata: Ayat ini menjelaskan bahawa bersyukur (atas nikmat) adalah sebab bertambahnya nikmat tersebut. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 9/343)

Dikatakan juga bahawa “لَأَزِيدَنَّكُمْ” di sini bermaksud Allah SWT akan tambahkan lagi kepada mereka ketaatan kepada-Nya. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 330)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan pandangan Imam al-Ghazali dalam Minhaj al-’Abidin menyatakan: Ketahuilah, bahawa para ulama telah membezakan antara pujian dan syukur itu dari segi pelaksanaannya, iaitu, pujian itu termasuk dalam bentuk tasbih (penyucian) dan tahlil, maka ia diklasifikasikan sebagai usaha-usaha yang zahir. Sedangkan syukur adalah termasuk bentuk kesabaran dan penyerahan diri (tafwidh), maka ia tergolong usaha-usaha batin.

Syukur itu lawan daripada kufur, sedangkan pujian adalah lawan daripada celaan. Hal ini kerana pujian itu lebih umum dan lebih banyak, sedangkan syukur itu lebih sedikit dan lebih khusus terjadinya, maka Allah SWT berfirman:

وَقَلِيْلٌ مِّنْ عِبَادِيَ الشَّكُورُ

Maksudnya: “Dan sedikit sahaja dari hamba-hamba-Ku yang berterima kasih (bersyukur).”[1]

(Surah Saba’: 13)

Maka jelaslah, bahwa pujian dan syukur itu mempunyai dua makna yang berbeza.

Pujian dilakukan terhadap seseorang yang berbuat baik. Ini sesuai dengan pendapat syeikh kami, semoga Allah SWT memberinya rahmat.

Adapun mengenai syukur, banyak penjelasan berkenaan maknanya. Misalnya, dari Abdullah bin Abbas R.A yang berkata, “Syukur adalah ketaatan dengan semua anggota tubuh kepada Tuhan segala makhluk, baik ketika bersendirian mahupun bersama-sama.”

Dan sebagian syeikh kami berpendapat, “Syukur adalah melaksanakan ketaatan, baik secara zahir mahupun batin.”

Pendapat yang lain menyatakan, bahawa syukur itu adalah menjauhi pelbagai bentuk kemaksiatan secara zahir mahupun batin. Ada juga yang berkata, “Syukur adalah menjaga diri dari memilih berbuat kemaksiatan terhadap Allah SWT,” yakni, engkau menjaga hati dan lisanmu, juga anggota-anggota tubuhmu, sehingga engkau tidak menderhakai Allah ‘Azza wa Jalla dengan anggota-anggota tubuhmu itu.

Perbezaan di antara beberapa pendapat di atas dengan pendapat syeikh yang pertama: Sesungguhnya ihtiras itu bermaksud ia menjadikan penjagaan diri sebagai tujuan utama, melebihi dari menjauhi tindakan maksiatnya. Adapun menjauhi kemaksiatan itu adalah, engkau tidak ada niat untuk melakukan perbuatan maksiat ketika terjadi dorongan ke atasnya, dan jiwamu tidak tergoda oleh bisikan yang boleh membuatmu tergoda melakukan maksiat (lebih menyibukkan diri untuk beribadat), apalagi daripada berbuat kekufuran.

Dan syeikh kami berkata, “Syukur itu adalah mengagungkan Allah SWT yang Maha Pemberi nikmat atas nikmat-nikmat yang engkau perolehi, yang membuat engkau tercegah daripada menjauhi Allah SWT yang Maha Pemberi nikmat itu dan daripada mengingkari-Nya.”

Jika engkau mengatakan: Jika engkau mengagungkan kebaikan-Nya padamu, maka tentulah benar bahawa syukur itu berasal dari Allah SWT kepada hamba-Nya, sehingga hamba itu menjadi baik. (Lihat Minhaj al-’Abidin, hlm. 338-340)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

[1] Maksudnya adalah, sedikit sahaja di antara hamba-hamba-Ku yang memurnikan tauhid kepada-Ku, mengikhlaskan ketaatan kepada-Ku, dan bersyukur terhadap nikmat-Ku kepada mereka. (Lihat Jami’ al-Bayan, 20/320)

Leave a Reply