Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya ada soalankenapa bayi lelaki diazankan, dan kenapa bayi perempuan diiqamahkan? Dan; kenapa azan di sebelah kanan, dan kenapa iqamah di sebelah kiri? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Dalam menjawab soalan di atas, diriwayatkan oleh Abu Rafi‘ R.A yang menceritakan bahawa:
رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ ﷺ أَذَّنَ فِي أُذُنِ الْحَسَنِ بْنِ عَلِيًّ حِينَ وَلَدَتْهُ فَاطِمَةُ بِالصَّلَاةِ
Maksudnya: “Aku melihat bahawa Rasulullah SAW mengumandangkan azan seperti masuk waktu solat di telinga al-Hasan bin ‘Ali R.Anhuma ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah R.Anha.”
Riwayat al-Tirmizi (1594) dan Abu Daud (5105)
Imam Muhyiddin al-Nawawi mensyarahkan hadith di atas di dalam Syarah al-Muhazzab: “Hadith Abu Rafi‘ RA ini menjadi dalil pensyariatan bagi sesiapa yang dikurniakan cahaya mata untuk mengumandangkan azan di telinga bayi yang baru sahaja dilahirkan tersebut. Hukumnya adalah sunat yang dianjurkan (mustahab).” (Lihat Majmu‘ Syarah al-Muhazzab, 8/434)
Hukum Azan di Telinga Bayi
Berkenaan azan di telinga bayi, para ulama mazhab empat yang muktabar telah berselisih pandangan dan berbeza pendapat tentang amalan ini. Perbezaan tersebut kami bentangkan buat saudara pembaca dan kami huraikan seperti berikut:
Mazhab Hanafi: Sunat
Disunatkan untuk mengumandangkan azan di telinga bayi di sisi muktamad mazhab Hanafi berdasarkan hadith di atas.
Imam Ibn ‘Abidin alpHanafi berkata: (Imam al-Haskafi berkata: Dan tidak disunatkan azan untuk selainnya) iaitu: selain waktu solat, namun azan juga disunatkan untuk dikumandangkan pada telinga bayi yang baru lahir termaktub di dalam kitab Hasyiah al-Bahr al-Ra’iq yang ditulis oleh Imam Khairuddin al-Ramli: “Mazhab al-Syafi‘iyyah menganjurkan azan pada beberapa tempat, antaranya adalah azan pada telinga bayi baru lahir. Aku (Khairuddin al-Ramli) katakan: Pendapat ini tidak menyimpang daripada pendapat mazhab kita (Hanafi).” (Lihat Radd al-Muhtar ‘ala Durr al-Mukhtar, 1/385)
Mazhab Maliki: Makruh
Imam Malik menghukumkan sebagai makruh amalan azan kepada bayi yang baru lahir. Hal ini kerana, Imam Malik tidak berpegang dengan hadith Abu Rafi‘ di atas. Ada sebahagian dalam kalangan ulama nuqqad al-Hadith yang mendha‘ifkan hadith Abu Rafi‘ di atas ini seperti Imam Yahya bin Ma‘in, Imam Ibn Hibban dan Imam al-Juzjani. (Lihat al-Tahqiq fi Masa’il al-Rijal, 2/281).
Namun ada sebahagian ulama terkemudian (muta’akhkhirin) mazhab Maliki pula membenarkannya, seperti Imam ‘Abd al-Rahman bin ‘Affan al-Jazuli dan Imam Abu ‘Abdillah al-Hattab, penulis syarah ke atas kitab Mukhtasar Khalil.
Imam al-Hattab menyatakan, Syeikh Abu Muhammad ibn Abu Zaid dalam kitab al-Jami‘ min Mukhtasar al-Mudawwanah menyebutkan, Imam Malik memakruhkan amalan azan di telinga bayi yang baru lahir. (Ibn Abi Zaid) juga berkata dalam kitab al-Nawadir selepas perbahasan akikah, pada permulaan bab khatan dan al-khifadh bahawa Imam Malik mengingkari amalan mengumandangkan azan di telinga bayi selepas dilahirkan. Manakala Imam ‘Abd al-Rahman al-Jazuli berkata: Namun, sebahagian ahli ilmu menghukum mustahab (dianjurkan) bagi amalan mengumandangkan azan dan iqamah di telinga bayi. Aku (al-Hattab) berkata: Masyarakat kita telah terbiasa mengamalkannya, aku tidak memandang amalan ini sebagai suatu masalah. (Lihat Mawahib al-Jalil fi Syarh Mukhtasar Khalil, 1/434)
- Mazhab al-Syafi‘i: Sunat
Disunatkan untuk mengumandangkan azan kepada telinga bayi yang baru lahir di sisi mazhab al-Syafi‘i berdalilkan hadith di atas.
Imam Ibn Qasim al-Ghazzi menyebutkan, disunatkan untuk mengumandangkan azan di telinga kanan bayi sejurus selepas dilahirkan, dan melafazkan iqamah di telinga kirinya. (Lihat Fath al-Qarib al-Mujib fi Syarh Alfaz al-Taqrib, hal. 316)
Imam Zainuddin al-Malibari pula mengatakan: “Disunatkan untuk mengumandangkan azan di beberapa tempat selain ketika masuk waktu solat, iaitu ketika:
- Di telinga orang yang kemurungan
- Di telinga orang yang dirasuk dan mengamuk
- Di telinga orang yang terlalu marah
- Di telinga orang atau haiwan yang buruk atau kasar perangainya
- Ketika berlakunya api marak dan kebakaran
- Ketika hantu atau syaitan menjelma di hadapan
- Di belakang rombongan musafir ketika hendak pergi
- Di telinga kanan bayi, dan iqamah di telinga kiri bayi.”
(Lihat Fath al-Mu‘in bi Syarh Qurrah al-‘Ain, hal. 150)
- Mazhab Hanbali: Sunat
Disunatkan untuk melaungkan azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kirinya, di sisi mazhab Hanbali berdalilkan hadith di atas.
Imam Mansur al-Buhuti berkata: “(Imam al-Hajjawi menyebutkan) disunatkan untuk melafazkan azan di telinga kanan bayi sama ada bayi lelaki mahupun bayi perempuan (selepas dilahirkan dan) hendaklah (melafazkan iqamah di telinga kirinya).” (Lihat Kasysyaf al-Qina‘ ‘an Matn al-Iqna‘, 3/28).
Azan dan Iqamah Untuk Bayi Lelaki dan Perempuan
Haruslah kita sedari bersama suatu perkara menerusi nas Imam Taqiyyuddin al-Hisni berikut, Imam al-Hisni berkata: “Dianjurkan untuk azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kiri bayi; amalan ini diriwayatkan daripada para sahabat R.Anhum. Rasulullah SAW juga pernah azan di telinga al-Husain ketika beliau dilahirkan oleh Fatimah R.Anha, barangkali juga al-Hasan. Umar bin ‘Abd al-‘Aziz juga pernah azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri sekalian anak-anaknya; sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn al-Munzir, dinukilkan juga di dalam kitab al-Bahr dan kitab al-Ibanah. Dianjurkan untuk membaca ayat ini di telinga bayi iaitu: [وَإِنِّي أُعِيذُهَا بِكَ وذريتها من الشَّيْطَان الرَّجِيم], wallahu a‘lam.” (Lihat Kifayah al-Akhyar, hlm. 535)
Zahir daripada nas Imam al-Hisni di atas adalah disunatkan untuk azan di telinga kanan dan iqamah di telinga kiri; bagi kedua-dua jantina iaitu bayi lelaki dan bayi perempuan bersama. Bukan seperti yang disangka sebahagian orang, hanya perlu iqamah sahaja pada bayi perempuan. Zahir nas para ashab menyelisihi perkara tersebut.
Hikmah Azan dan Iqamah di Telinga Bayi
Hikmah amalan ini adalah supaya azan dan iqamah menjadi perkataan awal yang didengari oleh bayi sekaligus menjadi doa pendinding bagi bayi tersebut menghalangnya daripada gangguan syaitan.
Kalimat-kalimat azan berisi akidah Islam yang sejati dan luhur. Kalimatnya padat dengan Tauhid dan pengagungan terhadap Allah SWT. Imam Ibn al-Mulaqqin menukilkan daripada al-Qadhi ‘Iyadh bahawa beliau (al-Qadhi) berkata:
اعْلَمْ أَنَّ الْأَذَانَ كَلَامٌ جَامِعٌ لِعَقِيدَةِ الْإِيمَانِ مُشْتَمِلٌ علي نوعه من التعليقات وَالسَّمْعِيَّاتِ
Maksudnya: “Ketahuilah bahawa azan adalah himpunan perkataan yang menghimpun seluruh intipati akidah keimanan yang merangkumi semua jenisnya berupa kebergantungan kepada Allah dan sam‘iyat.” (Lihat al-I‘lam bi Fawaid ‘Umdah al-Ahkam, 2/419)
Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari berkata: “Disunatkan azan di telinga bayi supaya kalimat pertama yang bayi itu dengari ketika lahir ke dunia adalah kalimat tauhid sepertimana dia bakal diingatkan tentang tauhid kelak ketika ditalqinkan semasa pengebumian jenazahnya kelak.” (Lihat Fath al-Wahhab bi Syarh Minhaj al-Tullab, 2/234)
Imam Sulaiman al-Jamal berkata: “Sunat azan di telinga kanan bayi dan iqamah di telinga kiri bayi, walaupun dilakukan oleh wanita. Hal ini kerana, ini bukanlah azan untuk menandakan masuk waktu solat yang merupakan tugas lelaki, sebaliknya azan ini adalah semata-mata zikir dan mengambil berkatnya. Imam al-Syabramalisi menyatakan, disunatkan azan sekalipun bayi itu lahir dalam keluarga kafir. Tujuannya adalah supaya kalimat zikir kepada Allah menjadi kalimat yang pertama dia dengar dan mengelakkan dirinya daripada gangguan syaitan, dan supaya bayi daripada keluarga kafir tersebut akan kembali ingat fitrah tauhid tersebut suatu hari nanti lantas menjadi asbab dirinya masuk Islam kelak. (Lihat Futuhat al-Wahhab bi Taudhih Syarh Minhaj al-Tullab, 5/267).
Mengapa Azan di Telinga Kanan, Iqamah di Telinga Kiri?
Azan dilakukan di telinga sebelah kanan, kerana kanan lebih afdhal dan lebih utama berbanding kiri. Maka seharusnya sebelah kanan didahulukan. Begitu juga, azan itu datang lebih terdahulu berbanding iqamah. Maka, azan dilakukan pada telinga kanan yang lebih afdhal mendahului telinga kiri. Mendahulukan kanan adalah amalan sunnah Nabi SAW. Aisyah R.Anha meriwayatkan bahawa:
أنَّهُ كَانَ يُعْجِبُهُ التَّيَمُّنُ مَا اسْتَطَاعَ، فِي تَرَجُّلِهِ وَوُضُوئِهِ
Maksudnya: “Baginda Rasulullah SAW amat suka untuk memulakan apa-apa sahaja perbuatannya dengan bahagian kanan sedaya upaya Baginda; seperti dalam menyisir rambut dan membasuh anggota badan.”
Riwayat al-Bukhari (5926)
Kesimpulan
Tuntasnya, kami tegaskan bahawa kedua-dua bayi lelaki dan perempuan disunatkan untuk diazankan di telinga kanan, dan diiqamahkan di telinga kiri mereka. Tanpa sebarang perbezaan antara keduanya. Hikmah perbuatan ini adalah supaya perkataan Allah dan kalimat Tauhid menjadi perkataan pertama yang mereka dengar sejurus sahaja dilahirkan dan keluar ke dunia ini. Disunatkan azan di telinga kanan kerana memulakan segala amalan baik dengan bahagian kanan adalah dituntut, dan azan juga datang dahulu sebelum iqamah. Ia turut menjadi zikir pendinding buat mereka untuk menghindarkan diri mereka daripada gangguan syaitan ketika baru dilahirkan.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”
Wallahu a‘lam.