Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan maksud hadis, ‘Tidak dikumpulkan antara yang terpisah dan tidak dipisah antara yang terkumpul’?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menukilkan terlebih dahulu hadis yang dimaksudkan, iaitu: Daripada Anas R.A, bahawa Abu Bakar R.A mengirim surat kepadanya tentang perkara yang diwajibkan oleh Rasulullah SAW:

وَلاَ يُجْمَعُ بَيْنَ مُتَفَرِّقٍ، وَلاَ يُفَرَّقُ بَيْنَ مُجْتَمِعٍ خَشْيَةَ الصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Tidak digabungkan harta yang terpisah, dan tidak boleh dipisahkan harta yang digabungkan kerana takut zakat.”

Riwayat al-Bukhari (1450)

Imam Malik mengatakan bahawa pengertian sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak dipisahkan antara yang terkumpul” adalah mengenai dua orang yang mencampurkan ternakan, yang masing-masing memiliki 201 ekor kambing, maka zakat untuk keduanya adalah 3 ekor kambing. Apabila keduanya terpisah, maka zakatnya setiap orang seekor kambing. Sabda Nabi yang bermaksud: “Tidak dikumpulkan antara yang terpisah” ialah 3 orang yang masing-masing memiliki 40 ekor, bila dicampurkan, maka zakat bagi mereka seekor kambing. Maka menurut mazhabnya, larangan itu ditujukan kepada para pengumpul ternakan yang masing-masing ada nisabnya. (Lihat Bulzat al-Salik, 1/210-212)

Al-Syafie pula berpandangan: “Maksud sabda Nabi SAW: “tidak pula dipisahkan antara yang terkumpul” ialah 2 orang penternak yang setiap seorang daripada mereka mempunyai 40 ekor kambing, sekiranya dipisahkan maka tidak diwajibkan zakat ke atas mereka. Hal ini demikian kerana nisab ternakan yang bercampur adalah nisab seorang pemilik dari segi hukumnya.”

Orang yang menyokong percampuran ternakan pula berbeza pendapat dalam jenis percampuran yang memberi kesan kepada zakat.

Al-Syafie berpendapat bahawa antara syarat percampuran ternakan adalah dengan mencampurkan ternakan kedua-dua pemilik yang mana ternakannya keluar meragut bersama-sama, diperah susu bersama-sama, dilepaskan juga bersama-sama, diberi minum bersama-sama, ternakan-ternakan jantannya bercampuran dan tidak ada perbezaan secara keseluruhan antara percampuran dan perkongsian. Dalam hal sebegini, setiap seorang daripada mereka tidak dianggap memiliki nisab masing-masing (nisabnya berasingan) seperti yang telah diterangkan.

Menurut Malik, dua orang yang mencampurkan ternakan ialah 2 orang yang berkongsi dalam memberi makan dan minum serta ternakannya tidur di tempat yang sama selain dijaga bersama-sama serta ternakan jantannya bercampur. Ulama mazhan Hanafi yang lain berbeza pendapat dalam hal penjagaan beberapa jenis binatang ternakan atau keseluruhannya. Sebab perbezaan pendapat ini ialah perkongsian itu atas nama percampuran. Oleh hal yang demikian, sebahagian mereka tidak melihat percampuran ini memberi kesan dalam kewajipan zakat dan ini merupakan Mazhab Abi Muhammad ibn Hazm al-Andalusi. (Lihat Bidayah al-Mujtahid, hlm. 254-257)

Ibn Hazm telah menyalahkan mazhab yang berpandangan bahawa percampuran ternakan menjadi penghalang hukum zakat dalam kitabnya al-Muhalla. (Lihat al-Muhalla, 6/51) Hal ini demikian kerana pendapat ini bertentangan dengan nas-nas yang mengecualikan zakat kepada kekayaan yang tidak mencapai nisab dan telah mengehadkan kadar wajib zakat bagi bilangan-bilangan tertentu. Pandangan yang menyatakan bahawa percampuran ternakan memberi kesan kepada zakat telah menafikan nas-nas ini dan turut menafikan tanggungjawab individu terhadap dirinya dan hartanya. Beliau berkata bahawa Allah SWT berfirman:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا ۚ وَلَا تَزِرُ وَازِرَةٌ وِزْرَ أُخْرَىٰ

Maksudnya:  Dan setiap perbuatan dosa seseorang, dirinya sendirilah yang menanggung dosanya. Dan seseorang tidak memikul beban dosa orang lain.

(Surah al-An’am: 164)

Sesiapa yang berpendapat bahawa percampuran ternakan menidakkan zakat, maka ia menjadikan Zaid (pemilik pertama) sebagai pekerja dibawah ‘Amr (pemilik kedua), lantas menjadikan hukum harta salah seorang daripada keduanya dalam harta orang lain. Ini tidak benar dan bertentangan dengan al-Quran dan sunnah. (Lihat al-Muhalla, 6/55)

Mazhab Syafie merupakan mazhab yang paling luas dalam memberikan pendapat berkaitan kesan percampuran dalam hukum zakat yang tidak hanya memfokuskan percampuran ternakan sahaja tetapi juga menceritakan berkenaan percampuran harta lain seperti hasil tanaman, buah-buahan, dirham dan dinar. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/172)

Pandangan ini boleh dijadikan asas dalam interaksi syarikat saham bersama dan seumpamanya dalam menetapkan hukum zakat entiti perseorangan sekiranya diperlukan oleh pentadbiran zakat kerana ia memudahkan prosedur, mempercepat pengurusan dan mengurangkan tenaga berserta kos. (Lihat Fiqh al-Zakah, terj, hlm. 195-197)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply