Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.Boleh terangkan fungsi wang dan sejarah wang digunakan pada zaman nabi?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Al-Quran ada menerangkan peranan wang sebagaimana ayat di dalam surah al-Maidah, Allah SWT berfirman:

وَلَا تُؤْتُوا السُّفَهَاءَ أَمْوَالَكُمُ الَّتِي جَعَلَ اللَّـهُ لَكُمْ قِيَامًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu berikan (serahkan) kepada orang-orang yang belum sempurna akalnya akan harta (mereka yang ada dalam jagaan) kamu, (harta) yang Allah telah menjadikannya untuk kamu semua sebagai asas pembangunan kehidupan kamu…”

(Surah al-Nisaa’: 5)

Menurut al-Raghib al-Asfahani, perkataan al-qiyam dan al-qiwam bermaksud tiang dan sandaran kerana hal ini dijadikan sebagai tiang penumpang dan sandaran barang yang bersandar kepadanya. (Lihat al-Mufradat fi Gharib al-Quran, hlm. 322) Ini menggambarkan ciri utama wang di mana ia merupakan satu alat yang sangat berkesan yang dijadikan oleh Allah untuk mengelola dan memelihara keseluruhan sistem dunia. Matlamat akhir wang adalah untuk menjaga dan menampung urusan dunia seseorang untuk keuntungannya di akhirat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan daripada Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi yang menyebut: Manusia pada zaman dahulu tidak mengetahui tentang penggunaan wang. Untuk mendapatkan barang yang diperlukan, mereka melakukan aktiviti menukar barang dengan kaedah “tukar ganti” iaitu muqayadhah atau sistem barter. “Tukar Ganti” (muqayadhah) bermaksud memberikan sesuatu barang yang diperlukan oleh orang lain dengan maksud untuk mendapatkan barang gantian yang diperlukan oleh diri.

Cara ini (muqayadah) tidak lagi boleh dilaksanakan sekarang melainkan dalam kalangan manusia purba sahaja. Hal ini demikian kerana cara ini sangat melambatkan proses yang menyebabkan pembaziran waktu dan tenaga yang berlebihan disebabkan oleh adanya pelbagai syarat serta urusan yang rumit sehingga selesainya pertukaran barang. Selain daripada itu wujud ketidak tentuan nilai barangan akibat daripada ketiadaan standard ukuran nilai yang diketahui.

Situasi ini berterusan sehingga Allah SWT memberi petunjuk kepada manusia untuk menggunakan wang sebagai ganti kepada barang dan sebagai alat untuk jual beli yang mempunyai ukuran yang definitif yang digunakan oleh manusia untuk menilai sesuatu barang, manfaat dan usaha selain memudahkan urusan jual beli sesama manusia. (Lihat al-Iqtisad al-Siyasi, hlm. 140; al-Nuzum al-Naqdiyyah wa al-Masrafiyyah, hlm. 11)

Sejak wang digunakan oleh manusia, ia telah berkembang daripada beberapa jenis sehingga sampai ke logam yang berharga, khususnya emas dan perak yang merupakan dua jenis logam yang dikurniakan keistimewaan dan ciri-ciri yang tiada pada galian selain daripada kedua-duanya.

Ketika Nabi Muhammad SAW diutuskan, masyarakat Arab melakukan kegiatan pertukaran dengan emas dalam bentuk dinar dan perak dalam bentuk dirham. Kedua-dua mata wang ini diperolehi daripada kerajaan-kerajaan besar yang hampir dengan mereka. Mata wang dinar diperolehi daripada kerajaan Byzantine manakala mata wang dirham diperolehi daripada kerajaan Parsi. Mata wang dirham mempunyai pelbagai bentuk timbangan iaitu besar dan kecil serta ringan dan berat. Oleh itu, penduduk Mekah pada zaman jahiliah tidak menggunakan wang (emas dan perak) berdasarkan nilai bernombor, sebaliknya menggunakannya berdasarkan timbangan seumpama potongan atau ketulan logam yang belum ditempa. Mereka mempunyai nama timbangan yang berbeza-beza antaranya ritl(12 uqiyah) yang bersamaan 40 dirham, nasy (1/2 uqiyah) yang bernilai 20 dirham dan nawat yang bersamaan 5 dirham. (Lihat al-Nuqud al-‘Arabiyyah, hlm. 25)

Nabi Muhammad SAW menetapkan kepada penduduk Mekah untuk menggunakan ukuran tersebut dengan bersabda:

المِيزَانُ مِيْزَانُ أَهْلِ مَكَّةَ

Maksudnya: “Timbangan (yang perlu diikut) adalah timbangan penduduk Mekah.”

Riwayat Abu Dawud (3340), al-Nasa’ie (2520) dan al-Baihaqi (7966)

Baginda juga telah mewajibkan zakat harta pada dirham dan dinar seperti yang akan dijelaskan kemudian. Hal ini demikian kerana setiap daripada emas dan perak itu dikira sebagai wang secara syarak, oleh sebab itu terdapat banyak hukum-hukumnya yang banyak yang perlu dititik beratkan. Sebahagian daripada hukum ini berkaitan dengan undang- undang perniagaan sivil sepertimana hukum-hakam riba dan pertukaran mata wang, manakala sebahagiannya berkaitan dengan perkahwinan seperti mahar, sebahagian yang lain pula berkaitan dengan undang-undang hukuman seperti pada nisab memotong tangan pencuri dan diyat manakala sebahagian yang lain termasuk dalam undang-undang harta seperti zakat. (Lihat Fiqh al-Zakah, terj, hlm. 218-219)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Leave a Reply