Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, bolehkah minta terangkan detail hukum wanita memakai kain satin?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Menutup aurat dalam berpakaian merupakan kewajiban yang mesti dilaksanakan oleh Muslimin dan Muslimat sebagai tanda kepatuhan terhadap hukum Ilahi. Allah SWT berfirman:

یَـٰبَنِیۤ ءَادَمَ قَدۡ أَنزَلۡنَا عَلَیۡكُمۡ لِبَاسࣰا یُوَ ٰ⁠رِی سَوۡءَ ٰ⁠ تِكُمۡ وَرِیشࣰاۖ وَلِبَاسُ ٱلتَّقۡوَىٰ ذَ ٰ⁠لِكَ خَیۡرࣱۚ ذَ ٰ⁠لِكَ مِنۡ ءَایَـٰتِ ٱللَّهِ لَعَلَّهُمۡ یَذَّكَّرُونَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Kami telah menurunkan pakaian buat kalian untuk menutup aurat kalian dan untuk perhiasan dan kecantikan buat kalian. Dan pakaian taqwa itulah yang terbaik. Demikian itu merupakan salah satu tanda keagungan Allah supaya kalian mengambil peringatan.”

(Surah al-A‘raf: 26)

Syarat terpenting bagi pemakaian seorang Muslim dan Muslimah adalah menutup aurat. Apabila syarat ini terpenuhi, maka kita bebas memakai apa sahaja untuk berhias namun bersama kesopanan, kesederhanaan dan kesesuaian setempat.

Imam Juzai al-Kalbi berkata menafsirkan ayat Suci di atas seraya menyebutkan, perkataan “لِبَاسࣰا” (pakaian) adalah merujuk kepada  pakaian untuk menutup (aurat kalian); dan makna “menurunkan” adalah “menciptakan.” Dikatakan juga: Maksud yang dikehendaki daripadanya adalah sesuatu yang menumbuhkan setiap bahan yang digunakan untuk membuatkan pakaian, iaitu hujan. Sebahagian fuqaha’ menjadikan ayat ini sebagai dalil wajib menutup aurat. Manakala perkataan “رِيشاً” pula merujuk kepada pakaian yang menjadi perhiasan, ia diambil sempena bulu burung (yang cantik).” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/286)

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa antara syarat sebuah pakaian itu dikira menutup aurat bagi wanita dan lelaki adalah menutup warna kulit badan sekali gus yang lebih baik dan turut dituntut adalah: tidak menunjukkan bentuk serta lekuk tubuh badan dengan begitu jelas ketara.

Syaikh al-Islam Zakaria al-Ansari memfatwakan sedemikian menerusi nas beliau di dalam kitab al-Asna, kata beliau: “Tidak memadai bagi menutup aurat pakaian yang menampakkan warna kulit iaitu orang yang dapat melihat warna disebalik pakaian tersebut seperti pakaian koyak yang tidak menghalang daripada dilihat warna kulit kerana tujuan sebenar menutup aurat tidak akan berlaku tanpa menutup perkara tersebut. Tidak memudaratkan (tidak mengapa) setelah pakaian tersebut menutup warna kulit jika menampakkan bentuk badan sekalipun tetapi makruh hukumnya bagi wanita dan khilaf al-Aula bagi lelaki. Perkara ini disebut oleh Imam al-Mawardi dan selainnya.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Memakai pakaian yang menampakkan lekuk dan bentuk tubuh sekalipun menutup anggota aurat adalah berselisihan dengan tujuan menutup aurat. Kita diarahkan untuk menutup aurat dengan sempurna, bukan sekadar membalutnya dalam keadaan meninggalkan kesan bentuknya terdedah. Itu sama sahaja seperti kita turut mahu mendedahkannya, namun hanya sahaja ia dialas dengan kain. Yang demikian itu bertentangan dengan falsafah menutup aurat.

Imam Syamsuddin al-Ramli juga menegaskan sedemikian bahkan dengan lebih jelas di dalam kitab Nihayah apabila beliau berkata: “[Dan syarat menutup aurat] iaitu: baju yang menutup itu [adalah segala sesuatu yang] iaitu berupa jirim [menghalang warna kulit badan daripada dilihat] iaitu seperti pakaian yang mengikut bentuk/lekuk tubuh seperti seluar yang ketat. Akan tetapi hukumnya adalah makruh bagi wanita (untuk memakainya) dan begitu juga khunsa berdasarkan pendapat yang zahir (dalam mazhab). Manakala hukumnya bagi lelaki pula adalah khilaf al-aula.” (Lihat Nihayah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 2/8).

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa wanita dibenarkan memakai apa sahaja jenis kain asalkan ia menutup seluruh anggota auratnya, serta tidak menampakkan bentuk tubuhnya yang ketara. Tekstur kain jenis satin pula cenderung bersifat licin, berkilat dan ringan sehingga menampakkan sedikit bentuk dan lekuk tubuh. Jika ia menampakkan bentuk dan lekuk tubuh atau mana-mana anggota badan yang aurat secara terlalu ketara, maka sebaiknya ia dielakkan daripada dipakai oleh wanita Muslimah tanpa menafikan sebahagian pendapat yang menghukumnya sebagai makruh bagi wanita.

Apatah lagi, tidak dapat dinafikan bahawa pemakaian Muslimah yang longgar dan tidak ketat adalah lebih baik dan jauh daripada fitnah. Inilah yang sebaik-baiknya. Apatah lagi memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat secara tidak langsung mencerminkan akhlak dan peribadi seorang wanita Muslimah itu sendiri, di samping menjauhkan dirinya daripada sebarang pandangan yang tidak baik mahupun tohmahan. Kaedah ada menyebutkan:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kamu dengan ruang-ruang tohmahan.”

Begitu juga Umar R.A pernah berkata:

مَنْ سَلَكَ مَسَالِكَ التُّهَمِ اتُّهِمَ

Maksudnya: “Sesiapa yang menempuhi laluan-laluan tohmahan, dia akan ditohmah.” (Mulla Ali al-Qari menyebutkan, ia diriwayatkan oleh al-Khara’iti dalam Makarim al-Akhlaq daripada Umar secara mauquf dengan lafaz).[1]

Hal ini kerana sebagai seorang Muslim dan Muslimah, kita turut diperintahkan untuk menjauhi segala perkara yang boleh mendatangkan tohmahan, persepsi negatif dan fitnah, sama ada kepada diri kita sendiri sebagai seorang individu Muslim dan Muslimah atau kepada agama Islam yang kita anuti sehingga memberi persepsi buruk dan menjatuhkan atau merendahkan martabatnya. Maka, sebelum melakukan sesuatu atau apa-apa perkara fikirkan terlebih dahulu kesannya buat diri, keluarga dan agama.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نَفْسِي تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلَاهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berilah sifat takwa di dalam jiwaku. Sucikanlah jiwaku, Engkaulah yang paling terbaik untuk menyucikannya. Engkau jualah pelindung dan pemiliknya.”

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat al-Asrar al-Marfu‘ah fi al-Akhbar al-Maudhu‘ah oleh Mulla Ali al-Qari, hlm. 80.

Leave a Reply