Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Bolehkah saya tahu jika al-Quran ada membicarakan apa-apa perkara berkaitan orang dewasa yang tidak berkahwin? Saya belum berkahwin lagi, oleh kerana itu saya belum mempunyai anak kandung saya sendiri. Saya kerap terfikir tentang perkara ini sejak kebelakangan ini.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Berkahwin merupakan naluri fitrah manusia untuk melakukan proses berkembang baik dan mengekalkan kemandirian kelompoknya. Perkahwinan juga merupakan sebuah anjuran dan galakan daripada Allah dan Rasul-Nya. Allah SWT berfirman:
وَأَنكِحُوا۟ ٱلۡأَیَـٰمَىٰ مِنكُمۡ وَٱلصَّـٰلِحِینَ مِنۡ عِبَادِكُمۡ وَإِمَاۤىِٕكُمۡۚ إِن یَكُونُوا۟ فُقَرَاۤءَ یُغۡنِهِمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ وَٱللَّهُ وَ ٰسِعٌ عَلِیمࣱ
Maksudnya: “Dan kahwinkanlah orang-orang yang bujang dalam kalangan kalian, dan orang-orang yang baik dalam kalangan hamba kalian baik lelaki mahupun perempuan. Sekiranya mereka dalam keadaan fakir miskin, nescaya Allah akan mencukupkan rezeki buat mereka dengan limpah kurnia-Nya. Dan Allah Maha Luas (kurniaan-Nya) lagi Maha Mengetahui.”
(Surah al-Nur: 32)
Imam al-Qadhi Abu Muhammad al-Baghawi menafsirkan ayat di atas: “Ayat ini menyatakan bahawa hukum asal bernikah adalah sunat dan dianjurkan. Sesiapa yang berkemampuan zahir dan batin untuk berkahwin, maka hendaklah dia meneruskan tekad perkahwinan tersebut. Sesiapa yang boleh mampu, maka hendaklah dia menahan diri dan memelihara kehormatan.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 6/38)
Hukum asal berkahwin adalah sunat menurut persepakatan keempat-empat mazhab. Dari sudut perspektif pandangan mazhab al-Syafi‘i, hukum berkahwin secara umum adalah sunat bagi yang berkehendak ke arahnya dan berkemampuan. Al-‘Allamah Ibn Hajar al-Haitami berkata: “[Ia] iaitu pernikahan dengan makna berkahwin itu [hukumnya adalah mustahab, dianjurkan bagi orang yang memerlukannya] iaitu berkemampuan dengan kekuatan dirinya untuk melaksanakan persetubuhan sekalipun lemah dalam bersetubuh [mempunyai kemampuan menafkahi] berupa mahar mas kahwin, pakaian pada musim-musim yang dialami, nafkah harian, (wajib diberi) meskipun dirinya sibuk dengan ibadah.” (Lihat Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7/183)
Hal ini kerana, hukum yang lebih terperinci bagi pernikahan dari sudut kelayakan individu adalah berbeza-beza dan boleh menerima kelima-lima hukum taklifi.
Al-Imam Abdullah bin Muhammad Ba Saudan al-Syafi‘i menerangkan bahawa hukum perkahwinan dan pernikahan itu adalah berdasarkan kepada keadaan seseorang dan menurut kesesuaian kondisinya. Hukum-hakamnya adalah seperti berikut:
Hukum | Keadaan Individu |
Wajib Berkahwin | Yang sudah berkemampuan zahir dan batin; serta yakin akan terjebak dalam maksiat jika tidak berkahwin. |
Sunat Berkahwin | Berkemampuan zahir dan batin, berkehendak tinggi untuk berkahwin dan masih mampu mengawal dirinya daripada melakukan maksiat. |
Harus Berkahwin | Berkemampuan zahir dan batin. |
Makruh Berkahwin | Berkemampuan namun tidak berkeinginan untuk berkahwin kerana hendak beribadah, fokus pekerjaan, tiada minat dan sebagainya. |
Haram Berkahwin | Yang dilihat yakin dan pasti akan memudaratkan pasangannya. |
(Lihat Zaitunah al-Ilqah Syarh Dhau’i al-Misbah, hlm. 87-88)
Berhubung soalan di atas, Nabi SAW mencela orang yang sengaja berbujang dan membenci pernikahan. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
شِرَاركُمْ عُزَّابُكُمْ وَأَرَاذِلُ مَوْتَاكُمْ عُزَّابُكُمْ
Maksudnya: “Orang yang paling buruk dalam kalangan kalian adalah orang yang suka membujang. Dan orang yang paling teruk yang mati dalam kalangan kalian adalah orang yang suka membujang dalam kalangan kalian juga.”
Riwayat Abu Ya‘la dalam al-Musnad (2042); dinilai dha‘if oleh Imam al-Sakhawi dalam al-Maqasid al-Hasanah (299), namun dinilai jayyid dan thiqah para perawinya oleh Imam al-Suyuti dalam al-Nukat (145), Imam al-Saffarini dalam Kasyf al-Litham (5/248)
Turut diriwayatkan juga bahawa Rasulullah SAW pernah berkata kepada Abu Hurairah R.A:
يَا أَبَا هُرَيْرَةَ تَزَوَّجْ وَلَا تَمُتْ وَأَنْتَ عَزَبٌ أَلَا وَكُلَّ عَزَبٍ فِي النَّارِ
Maksudnya: “Wahai Abu Hurairah, berkahwinlah. Janganlah mati dalam keadaan membujang. Sesungguhnya ahli neraka itu kelak membujang.”
Riwayat al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus (8388); dinilai dha‘if oleh Imam al-Sakhawi dalam al-Ajwibah al-Mardhiyyah (1/70)
Para ulama Salafussoleh dalam kalangan Sahabat Rasulullah dan para Tabi‘in turut memandang orang yang enggan berkahwin dengan pandangan dan persepsi yang buruk. Seseorang yang dilihat sudah berkemampuan namun masih enggan berkahwin dan selesa dengan keadaan bujang tersebut tanpa berusaha mencari jodoh yang baik pasti akan terkena persepsi yang negatif dalam kalangan masyarakat terutamanya di zaman para Salaf.
Salah seorang ulama Salaf di Yaman bernama Imam Tawus bin Kaisan telah berkata kepada muridnya, Ibrahim bin Maisarah:
لَتَنْكِحَنَّ أَوْ لَأَقُولَنَّ مَا قَالَ عُمَرُ بْنُ الْخَطَّابِ لِأَبِي الزَّوَائِدِ: «مَا يَمْنَعُكَ مِنَ النِّكَاحِ إِلَّا عَجْزٌ أَوْ فُجُورٌ
Maksudnya: “Engkau hendaklah berkahwin, atau aku akan katakan kepada engkau sepertimana yang Umar bin al-Khattab R.A katakan kepada Abu al-Zawa’id: ‘Tidak ada yang menghalang engkau dari berkahwin kecuali sama ada engkau ini lemah (batin) atau penjahat (kerap berzina).’”
Riwayat Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (16656); ‘Abd al-Razzaq dalam al-Musannaf (10384); Abu Nu‘aim al-Isfahani dalam Hilyah al-Auliya’ (4/6); al-Fakihi dalam Akhbar Makkah (674)
Sekalipun kecaman para Salaf ini agak keras, namun ia hanya bertujuan menitikberatkan anjuran perkahwinan semata, bukanlah bertujuan untuk mewajibkannya dan mengharamkan perbuatan menunda perkahwinan secara mutlak. Imam Abu al-Hasan al-Mawardi al-Syafi‘i berkata mengulas kalam Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab R.A di atas ini:
فَهُوَ عَلَى طَرِيقِ التَّرْغِيبِ دُونَ الوُجُوبِ، وَلَوْ كَانَ وَاجِبًا لَزِمَهُ
Maksudnya: “(Kenyataan Umar bin al-Khattab ini) adalah berbentuk galakan/anjuran agar berkahwin sahaja, bukan mewajibkan. Jika ia (kahwin) itu wajib, beliau pasti akan memaksa (semua orang).” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 9/31).
Kesimpulannya
Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami katakan bahawa orang yang tidak berkahwin akan dipandang sebagai kurang sempurna dan belum lengkap kehidupannya di sisi para Salafussoleh. Sengaja menundakan perkahwinan mendedahkan diri kita kepada pelbagai tohmahan dan keburukan. Ini tidak menafikan sebahagian individu yang memang memfokuskan diri kepada kerjaya dan lain-lain perkara serta belum memikirkan soal perkahwinan. Tidaklah haram untuk berbuat demikian, namun ia berisiko tinggi mencalarkan maruah seorang Muslim sekiranya dilakukan dengan sengaja.
Manakala, bagi orang yang mahu berkahwin namun dirinya belum berkemampuan untuk bernikah, wajiblah dia memelihara dirinya daripada sebarang perbuatan dosa dan maksiat terutamanya perbuatan dosa zina. Dalam masa yang sama, hendaklah dia sentiasa berusaha melengkapkan diri dengan kemampuan sehingga Allah mengurniakan rezeki-Nya kepadanya. Allah SWT berfirman:
وَلۡیَسۡتَعۡفِفِ ٱلَّذِینَ لَا یَجِدُونَ نِكَاحًا حَتَّىٰ یُغۡنِیَهُمُ ٱللَّهُ مِن فَضۡلِهِۦۗ
Maksudnya: “Dan orang yang belum berkemampuan untuk bernikah hendaklah memelihara dirinya daripada perbuatan maksiat sehingga Allah merezekikan kemampuan kepada mereka dengan limpah kurnia-Nya.”
(Surah al-Nur: 33)
Imam Ibn Jarir al-Tabari menafsirkan ayat di atas seraya berkata, mereka yang tidak mempunyai kemampuan untuk berkahwin hendaklah menahan diri daripada melakukan perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah kepada mereka berupa keburukan zina, sehinggalah Allah memberikan kekayaan kepada mereka daripada limpahan kurniaan-Nya dan melapangkan rezeki-Nya buat mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 19/166)
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، وَأَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَكَلِمَةَ الْإِخْلَاصِ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمًا لَا يَنْفَدُ، وَقُرَّةَ عَيْنٍ لَا تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَاءَ بِالْقَضَاءِ، وَبَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَلَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَفِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الْإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Ya Allah! Dengan ilmu-Mu terhadap perkara ghaib, kekuasaan-Mu atas sekalian makhluk, hidupkanlah aku apabila kehidupan itu baik buatku. Dan matikanlah aku apabila kematian itu baik buat diriku. Aku memohon sifat takutkan-Mu ketika tidak dilihat dan ketika dilihat orang ramai, dan kalimat keikhlasan ketika redha dan marah. Aku memohon kenikmatan yang tidak terhapus, penyejuk mata yang tidak terputus. Aku mohon kepada-Mu sifat redha dengan ketentuan, ketenangan hidup selepas mati, kelazatan memandang Wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada segenap bahaya yang memudharatkan, jua fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami mendapat petunjuk dan diberi petunjuk sentiasa.”
Wallahu a‘lam.