Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, saya nak tanya , bolehkah saya letak nama anak Abdul Maleeq Jibril? Sebab ada orang kata tidak elok letak dua nama malaikat untuk anak , jadi saya nak pastikan kerana kalau tidak boleh saya hendak pergi tukar nama anak. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t,
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:
Kami mulakan dengan menukilkan firman Allah SWT di dalam al-Zikr:
فَلَمَّا وَضَعَتۡهَا قَالَتۡ رَبِّ إِنِّی وَضَعۡتُهَاۤ أُنثَىٰ وَٱللَّهُ أَعۡلَمُ بِمَا وَضَعَتۡ وَلَیۡسَ ٱلذَّكَرُ كَٱلۡأُنثَىٰۖ وَإِنِّی سَمَّیۡتُهَا مَرۡیَمَ وَإِنِّیۤ أُعِیذُهَا بِكَ وَذُرِّیَّتَهَا مِنَ ٱلشَّیۡطَـٰنِ ٱلرَّجِیمِ
Maksudnya: “Maka apabila dia melahirkannya, berkatalah dia: ‘Wahai Tuhanku! Sesungguhnya aku telah melahirkan seorang anak perempuan (sedang yang aku harap-harapkan ialah anak lelaki), — dan Allah memang mengetahui akan apa yang dilahirkannya itu — dan memanglah tidak sama anak lelaki dengan anak perempuan; dan bahawasanya aku telah menamakannya Maryam, dan aku melindungi dia dengan peliharaan-Mu, demikian juga zuriat keturunannya, dari godaan syaitan yang kena rejam (yang dikutuk dan disingkirkan).’”
(Surah Ali ‘Imran: 36)
Ayat ini merupakan arahan menamakan bayi selepas bayi tersebut dilahirkan. Imam Ibn Juzai al-Kalbi berkata ketika menafsirkan ayat di atas: “Dia berkata kepada Tuhannya yang dia namakannya sebagai Maryam, kerana perkataan Maryam di sisi bahasa mereka bermaksud hamba perempuan yang beribadah (‘abidah). Dia hendak mendekatkan diri kepada Allah SWT dengan nama tersebut. Selain itu, dapat diambil juga daripada ayat ini bahawa penamaan bayi pada hari kelahirannya.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/150).
Berdasarkan pedoman Sunnah, dianjurkan bagi si bapa untuk menamakan bayi pada hari ketujuh selepas kelahiran sebelum menyembelih haiwan untuk dijamu sebagai akikah. Imam Sa‘id bin Muhammad Ba ‘Isyn berkata: “Pada hari ketujuh kelahiran juga; disunatkan untuk memberi nama kepada bayi, sekalipun ia gugur dan dalam keadaan sudah ditiupkan roh (selepas 4 bulan); hendaklah dilaksanakan aqiqah buatnya dan diberi nama sebagai langkah berjaga-jaga (ihtiyat). Penamaan dilakukan oleh mereka yang mempunyai kuasa (hak penjagaan) walaupun tidak wajib menanggung nafkah, seperti bapa atau datuk. Penamaan oleh selain mereka tidak diambil kira. Sewajarnya penamaan dilakukan sebelum penyembelihan (aqiqah).” (Lihat Busyra al-Karim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 706)
Perkara ini berdalilkan hadith Samurah bin Jundab R.A yang meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:
كُلُّ غُلَامٍ رَهِينٌ بِعَقِيقَةٍ تُذْبَحُ عَنْهُ يَوْمَ سَابِعِهِ وَيُحْلَقُ وَيُسَمَّى
Maksudnya: “Setiap anak itu terikat dengan aqiqahnya, mestilah ibu bapanya melaksanakan aqiqah buat dirinya pada hari ketujuh selepas kelahirannya, dicukur rambutnya dan diberi nama (pada hari itu).”
Riwayat al-Tirmizi (1522); dinilai hasan sahih oleh Imam al-Tirmizi sendiri dalam al-Jami‘ (3/181), dan Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9/503) cenderung mensahihkannya kerana menerima periwayatan al-Hasan daripada Samurah bin Jundab sebagai mausul.
Berhubung soalan di atas, memberi nama dengan nama para Malaikat adalah harus dan tidak makruh. Nama Malaikat adalah nama yang baik dan indah, dibolehkan untuk mengambil nama tersebut sebagai nama anak.
Abu al-Darda’ RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَآءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَائِكُمْ
Maksudnya: “Sesungguhnya kalian kelak di hari kiamat akan dipanggil dengan nama-nama kalian dan berbinkan bapa kalian; maka berilah nama yang baik dan elok kepada anak kalian.”
Riwayat Abu Daud dalam al-Sunan (4948); dinilai mursal oleh Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (9/515) kerana kewujudan perawi Ibn Abi Zakariyya yang tidak mendengar hadith daripada Abu al-Darda’.
Imam al-‘Allamah Sa‘id ba ‘Isyn berkata lagi: “Disunatkan memberi nama yang indah (kepada bayi); nama yang paling afdhal adalah Abdullah, kemudian Abd al-Rahman. Nama yang paling jujur ertinya adalah Harith dan Hammam, dan nama yang paling buruk adalah Harb dan Murrah. Begitu juga tidak dimakruhkan untuk memberi nama dengan nama Nabi dan nama Malaikat. Bahkan telah diriwayatkan hadith-hadith dan athar berkenaan keutamaan memberi nama anak dengan nama Muhammad. Disebutkan di dalam kitab Tuhfah: Muhammad adalah nama yang paling afdhal selepas nama Abdullah dan Abd al-Rahman, jangan terpedaya dengan orang yang mendakwa nama Muhammad lebih afdal berbanding kedua-duanya.” (Lihat Busyra al-Karim Syarh Masa’il al-Ta‘lim, hlm. 708)
Memakruhkan penamaan anak dengan nama Malaikat adalah pendapat salah seorang ulama Salaf bernama Imam al-Hur bin Miskin, murid kepada Imam Sa‘id bin Jubair, Ibrahim al-Nakha‘i dan lain-lain ulama salaf; bahkan Imam Malik bin Anas turut diriwayatkan memakruhkan penamaan bayi dengan nama Jibril.
Imam Muhyiddin al-Nawawi menukilkannya dalam kitab Majmu‘: “Mazhab kami (al-Syafi‘i) dan mazhab jumhur (majoriti) menegaskan bahawa dibenarkan memberi nama kepada anak dengan nama-nama para Nabi dan para Malaikat, dan tiada khilaf yang dinukilkan daripada para ulama Salaf terdahulu berkaitan keharusan perbuatan ini kecuali daripada Umar bin al-Khattab yang melarang menamakan anak dengan nama para Nabi, dan daripada al-Hurr bin Miskin yang memakruhkan penamaan dengan nama Malaikat, dan daripada Imam Malik yang memakruhkan penamaan Jibril dan Yasin.” (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/436)
Kesimpulannya
Tuntasnya, berdasarkan kepada penjelasan di atas, kami berpendapat bahawa dibenarkan untuk menamakan anak dengan nama-nama yang baik termasuklah nama-nama Malaikat. Bahkan hal ini juga ada selari dengan pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i. Nama “Jibril” bermaksud “hamba Allah” yang sama erti dengan nama “Abdullah” di dalam Bahasa Arab seperti mana yang dinyatakan oleh Ibn ‘Abbas R.Anhuma. ‘Ikrimah meriwayatkan bahawa Ibn ‘Abbas berkata:
جِبْرِيلُ: عَبْدُ اللهِ. وَمِيكَائِيلُ: عُبَيْدِ اللهِ. وَكُلُّ اسْمٍ فِيهِ إِيلُ فَهُوَ مُعَبَّدٌ لِلَّهِ
Maksudnya: “Jibril bermaksud Abdullah (hamba Allah), Mikail bermaksud ‘Ubaidullah (hamba Allah). Setiap nama yang berakhir dengan kalimat “إِيلُ” (-il) adalah bermaksud hamba milik Allah.”
Riwayat Ibn Jarir al-Tabari dalam al-Tafsir (2/296); dengan sanad yang maqbul di sisi beliau, semua perawinya adalah thiqat.
Manakala nama “‘Abd al-Malik” adalah berasal daripada kalimat Arab: “عَبْدُ الْمَلِكِ” atau “عَبْدُ الْمَلِيكِ” yang bermaksud: hamba kepada Allah yang Maha Menguasai. Nama ini nama yang baik dan menepati sunnah Nabi SAW.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita kefaqihan dalam beragama, kekuatan untuk melaksanakan amal soleh, serta kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Sesungguhnya Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu. Dialah jua yang menjaga dan memelihara orang-orang yang soleh.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ بِعِلْمِكَ الْغَيْبَ، وَقُدْرَتِكَ عَلَى الْخَلْقِ، أَحْيِنِي مَا عَلِمْتَ الْحَيَاةَ خَيْرًا لِي، وَتَوَفَّنِي إِذَا عَلِمْتَ الْوَفَاةَ خَيْرًا لِي، وَأَسْأَلُكَ خَشْيَتَكَ فِي الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ، وَكَلِمَةَ الْإِخْلَاصِ فِي الرِّضَا وَالْغَضَبِ، وَأَسْأَلُكَ نَعِيمًا لَا يَنْفَدُ، وَقُرَّةَ عَيْنٍ لَا تَنْقَطِعُ، وَأَسْأَلُكَ الرِّضَاءَ بِالْقَضَاءِ، وَبَرْدَ الْعَيْشِ بَعْدَ الْمَوْتِ، وَلَذَّةَ النَّظَرِ إِلَى وَجْهِكَ، وَالشَّوْقَ إِلَى لِقَائِكَ، وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ ضَرَّاءَ مُضِرَّةٍ، وَفِتْنَةٍ مُضِلَّةٍ، اللَّهُمَّ زَيِّنَّا بِزِينَةِ الْإِيمَانِ، وَاجْعَلْنَا هُدَاةً مُهْتَدِينَ
Maksudnya: “Ya Allah! Dengan ilmu-Mu terhadap perkara ghaib, kekuasaan-Mu atas sekalian makhluk, hidupkanlah aku apabila kehidupan itu baik buatku. Dan matikanlah aku apabila kematian itu baik buat diriku. Aku memohon sifat takutkan-Mu ketika tidak dilihat dan ketika dilihat orang ramai, dan kalimat keikhlasan ketika redha dan marah. Aku memohon kenikmatan yang tidak terhapus, penyejuk mata yang tidak terputus. Aku mohon kepada-Mu sifat redha dengan ketentuan, ketenangan hidup selepas mati, kelazatan memandang Wajah-Mu, kerinduan untuk bertemu dengan-Mu. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada segenap bahaya yang memudharatkan, jua fitnah yang menyesatkan. Ya Allah, hiasilah kami dengan perhiasan keimanan, dan jadikanlah kami mendapat petunjuk dan diberi petunjuk sentiasa.”
Wallahu a‘lam.