Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan apakah perbezaan antara Tipu Daya Wanita dan Tipu Daya Syaitan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa Al-Kayd (الكيْد): berasal daripada kata “al-makīdah” (المكيدة), dan kata kerjanya ialah “kada yakidu kaidan” (كاد يكيد كيداً) yang bermaksud tipu daya atau memperdayakan dengan helah. (Lihat al-Ibanah fi al-Lughah al- ‘Arabiah, 4/97, Mu’jam al-Lughah al- ‘Arabiah al-Mu‘asarah, 3/1976)

Allah SWT berfirman:

 إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا ‎

Maksudnya: “kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah. ”

(Surah al-Nisa’:90)

Begitu juga al-Kaid dinyatakan dalam Firman-Nya:

إِنَّ كَيْدَكُنَّ عَظِيمٌ ‎

Maksudnya: “Sesungguhnya tipu daya kamu (perempuan) amatlah besar pengaruhnya.”

(Surah al-Yusuf’:28)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas, apa yang dimaksudkan di dalam al-Quran  bahawa tipu daya syaitan adalah lemah jika ia dibandingkan dengan pertolongan Allah dan penjagaan-Nya terhadap hamba-hamba-Nya yang ikhlas. Manakala, tipu daya wanita pula amatlah besar  jika diqiyaskan dengan tipu daya lelaki. Kenyataan tersebut adalah dari kenyataan pembesar Mesir bukan daripada Allah SWT. Maka ayat tersebut tidak ada percanggahan atau pertentangan. (Lihat al-Mausu’ah Quraniyyah Khasais al-Suwar, 2/189)

Yang demikian juga sebagaimana yang disebutkan oleh Dr Fadhil Soleh al-Samarrai di mana beliau ditanya adakah ini bukanlah suatu ketetapan daripada Allah ‘Azza wa Jalla bahawa tipu daya wanita adalah besar? Beliau menjawab tidak, sebaliknya ini adalah kata-kata yang menceritakan tentang pandangan lelaki tersebut yang mungkin tidak tepat. Adapun mengenai tipu daya syaitan, Allah Ta‘ala yang berfirman:

إِنَّ كَيْدَ الشَّيْطَانِ كَانَ ضَعِيفًا ‎

Maksudnya: “kerana sesungguhnya tipu daya Syaitan itu adalah lemah. ”

(Surah al-Nisa’:90)

Oleh itu, tipu daya syaitan adalah lemah dibandingkan dengan kekuasaan Allah, dan tipu daya syaitan dapat dihilangkan dengan memohon perlindungan kepada-Nya. Manakala kenyataan ini hanyalah cerita mengenai sesuatu kaum.[1]

Menurut Syeikh al-’Adawi pula beliau menyatakan: sesungguhnya tipu daya wanita lebih besar daripada tipu daya syaitan! Dan walaupun ini kadang-kadang benar, ia tidak bersifat mutlak. Maka tidak semestinya bahawa tipu daya wanita sentiasa lebih kuat daripada tipu daya syaitan pada setiap masa. Bahkan, tipu daya wanita adalah disebabkan oleh tipu daya syaitan. Secara keseluruhannya, tipu daya syaitan terhadap orang beriman adalah lemah.

Tipu daya wanita tidaklah menyeluruh. Tipu daya dan perancangan mereka dalam peperangan, perdagangan, dan perindustrian tidak mempunyai kesan yang besar. Apa yang dimaksudkan ialah tipu daya mereka adalah yang berkaitan dengan menggoda lelaki. Namun begitu, tipu daya wanita dalam menggoda lelaki hanyalah ilham daripada syaitan. (Lihat Silsilah al-Tafsir, 14/5)

Muhammad al-Amin al-Harari dalam Tafsir Hadaiq al-Ruh wa al-Raihan fi Rawabi ‘Ulum al-Quran (13/382) menyatakan: Allah menyifatkan yang demikian di dalam al-Quran kerana tipu daya wanita lebih kuat disebabkan mereka adalah perangkap syaitan. Maka, tipu daya mereka disertai dengan tipu daya syaitan, menjadikannya dua tipu daya, berbeza dengan tipu daya syaitan sahaja yang merupakan satu tipu daya.

Sebagai kesimpulannya, perlu diberi perhatian bahawa apa yang disifatkan dengan  tipu daya syaitan yang digambarkan sebagai lemah dalam al-Quran adalah ketetapan daripada Allah SWT, manakala tipu daya wanita sebagai tipu daya yang besar merupakan kenyataan  daripada pembesar mesir pada ketika itu. Tipu daya wanita dianggap lebih kuat kerana ia sering digabungkan dengan tipu daya syaitan, menjadikannya dua bentuk tipu daya yang saling berkaitan. Berbeza dengan tipu daya syaitan sahaja, yang dianggap satu bentuk tipu daya. Oleh yang demikian, tipu daya wanita dipandang lebih besar dalam konteks ini kerana ia diperkukuhkan oleh pengaruh syaitan bahkan mereka merupakan alat syaitan yang paling berkesan dalam menyesatkan manusia daripada ketaatan kepada Allah SWT. Justeru, sebahagian ulama menyatakan:  “Aku lebih takut kepada wanita daripada syaitan.”

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman dalam memahami agama ini dan melindungi kita daripada godaan dan gangguan dari syaitan dan keturunannya. Amin. Kami akhiri dengan doa:

نَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّاتِ مِنْ شَرِّ مَا خَلَقَ

Maksudnya: “Kami berlindung dengan kalimah Allah yang sempurna daripada segala keburukan yang Dia ciptakan.”

Wallahua’lam

 

Nota Hujung:

[1] Lihat https://tadars.com/tdbr/eloquence/5333 Diakses pada 21 Oktober 2024

1 thoughts on “#7274: Perbezaan Antara Tipu Daya Wanita (Kaid al-Nisa’) dan Tipu Daya Syaitan (Kaid al-Syaitan)

Leave a Reply