Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Saya dikira musafir jika saya dari perak dan pulang ke terengganu 3 hari dan ke Kelantan 3 hari dan Jumlah tempoh tersebut 6 hari. Bolehkah saya solat jamak dalam tempoh 6 hari?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Solat jamak dan qasar adalah merupakan rukhsah yang diberikan oleh Allah SWT. Ia merupakan kemudahan yang dianugerahkan kepada umat Islam agar mereka boleh menunaikan ibadat solat di mana sahaja mereka berada. Perkara ini dinyatakan oleh Allah SWT di dalam firmannya:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat).”

(Surah al-Nisa’:101)

Imam al-Nawawi berkata: “Ayat ini mengaitkan hukum qasar dengan al-dorb `ala al-ardh (permusafiran). Justeru, jika seseorang ialah penduduk suatu kota maka dia boleh qasar apabila dia berpisah daripada bangunan yang dinisbah kepada kota tersebut.” (Lihat al-Majmu` Syarh al-Muhazzab, 4/346)

Syarat Jamak

Antara syarat-syarat tersebut:

  • Mestilah berada dalam keadaan bermusafir, iaitu perjalanan ke destinasi yang sekurang-kurangnya dua marhalah, iaitu sekitar 81 km. Kadar 2 marhalah ini yang ditetapkan berdasarkan taqribi (lebih kurang/anggaran) bukan tahdidi (tepat).
  • Perjalanan musafir tersebut telah melepasi sempadan mukim seperti kawasan kampung, taman perumahan atau daerah mengikut uruf setempat.
  • Dia tidak mengikuti imam yang menunaikan solat sempurna empat rakaat jika dia ingin mengqasarkan solat.
  • Dia tidak berniat menetap selama empat hari atau lebih di tempat yang dituju, selain hari mula dia sampai dan hari dia akan keluar dari destinasi. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/186)

Syarat Qasar

Terdapat tujuh syarat bagi melaksanakan qasar:

  • Hendaklah permusafiran seseorang itu jaraknya dua marhalah.
  • Hendaklah musafir itu dengan tujuan yang baik.
  • Hendaklah seseorang itu mempunyai ilmu tentang bolehnya diqasarkan solat.
  • Mestilah berniat qasar ketika takbiratul ihram.
  • Hendaklah solat yang diqasarkan itu merupakan solat ruba’iyyah (empat rakaat seperti zuhur, asar dan isyak)
  • Berterusannya permusafiran sehingga selesai solat.
  • Hendaklah dia tidak menjadi makmum kepada orang yang solat penuh pada sebahagian dari solatnya. (Lihat Safinah al-Naja, hlm 48)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dibolehkan untuk anda melakukan jamak qasar. Ini kerana meskipun anda menetap di sana selama 6 hari, ia tidak kira hari pergi dan hari balik. Maka, anda tidak melebihi 4 hari menepati syarat-syarat jamak qasar. Sesungguhnya, qasar itu adalah anugerah daripada Tuhan walaupun kita sudah berada dalam kemudahan. Hal ini berdasarkan hadith daripada Saidina Umar bin al-Khattab R.A, di mana diriwayatkan daripada Ya’la bin Umayyah, katanya: Aku bertanya kepada Umar bin al-Khattab tentang firman Allah SWT:

فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَن يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا

Maksudnya: “Maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir.”

Surah al-Nisa’ (10)

(Kataku kepada Umar): “Sedangkan (sekarang ini) keadaan manusia sudah aman?” Maka Umar menjawab: Aku juga pernah berasa ajaib seperti mana yang engkau rasa, lalu aku bertanya kepada Rasulullah SAW, baginda pun menjawab:

صَدَقَةٌ تَصَدَّقَ اللهُ بِهَا عَلَيْكُمْ، فَاقْبَلُوا صَدَقَتَهُ

Maksudnya: “(Ia adalah) sedekah yang Allah berikan kepada kamu semua, maka terimalah sedekah dari-Nya.”

Riwayat Muslim (686), Abu Daud (1199), al-Tirmizi (3034), al-Nasa’i (1433), Ibn Majah (1065) dan Ahmad (174).

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

Leave a Reply