Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah perbezaan antara dua kalimah ini: al-Walidaini dengan al-Abawain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dari sudut bahasa kalimah “والد” merupakan isim fa‘il bagi kalimah “وَلَدَ”. Kalimah “الوالدين” membawa maksud: ibu dan bapa sebagaimana yang dinyatakan dalam Mu’jam al-Lughah al-’Arabiyah al-Mu’asarah (3/439).

Allah SWT berfirman:

 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’:23)

Begitu juga kalimah “الأبوين”  menurut  Mu’jam al-Wasit (1/4) merujuk kepada ibu dan bapa sebagaimana firman Allah SWT:

 وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ

Maksudnya: “mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya”

(Surah al-Nisa’:11)

Dikatakan juga ia merujuk kepada bapa dan datuk, atau bapa dan  bapa saudara (sebelah bapa)

Dalam menjawab bagi persoalan di atas umumnya kalimah “الوالدين” dan “الأبوين” merujuk kepada makna yang sama iaitu ibu dan bapa. Namun terdapat sedikit perbezaan menurut sebahagian ulama dari segi penggunaan kalimah tersebut dalam al-Quran.

Menurut Dr. Fadhil Soleh al-Samarra’i bahawa beliau beliau berkata: Allah SWT tidak menggunakan istilah berbuat baik, berbakti, dan berdoa dalam keseluruhan al-Quran kecuali untuk ‘الوالدين’, bukan untuk ‘الأبوين’. Contohnya firman Allah:

 وَقَضَىٰ رَبُّكَ أَلَّا تَعْبُدُوا إِلَّا إِيَّاهُ وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

Maksudnya: “Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepadaNya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa.”

(Surah al-Isra’:23)

Begitu juga firman Allah SWT:

 رَّبِّ اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ

Maksudnya: “”Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku”

(Surah Nuh: 28)

Istilah berbuat baik dan berbakti dikhususkan untuk ‘الوالدين’ dan tidak untuk ‘الأبوين’.[1] Yang demikian juga sebagaimana yang di dinyatakan dalam  Lamasat Bayaniah fi Nusus Min al-Tanzil, (hlm. 1017)

Selain itu, Wahid Abdullah Abd Majid menyatakan dalam penulisannya:  Apabila kita melihat lafaz (الوالدين), ketahuilah bahawa ayat itu merujuk kepada ibu dan bapa dengan kecenderungan ke arah ibu, kerana perkataan tersebut berasal daripada ‘kelahiran’, yang merupakan sifat wanita dan bukan lelaki. Allah SWT berfirman:

  وَوَصَّيْنَا الْإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ أَنِ اشْكُرْ لِي وَلِوَالِدَيْكَ إِلَيَّ الْمَصِيرُ

Maksudnya: “Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan).”

(Surah Luqman:14)

Penyebutan (الوالدين) di sini adalah dalam konteks meletakkan kedudukan ibu di hadapan bapa dalam hal wasiat untuk berbuat baik, menghormati, dan bersyukur. Yang demikian kerana, ibu adalah tempat berbakti dan dimuliakan, simbol pengorbanan dan keikhlasan, kesucian dan kemurnian. Ibu adalah asal yang memuliakan anak, dan orang yang paling berhak dalam bersuhbah. Selepas itu, bapa mengikuti dalam hak tersebut

Manakala apabila lafaz (الأبوين) disebut, ketahuilah bahawa ia merujuk kepada bapa dan ibu dengan kecenderungan ke arah bapa, kerana perkataan tersebut berasal daripada ‘kebapaan’, yang merupakan sifat bapa dan bukan ibu.[2]

Hak bapa didahulukan berbanding ibu dalam ayat-ayat yang berkaitan pewarisan, tanggungjawab, dan beban berat yang perlu ditanggung. Oleh itu, lafaz (الأبوين) digunakan kerana ia lebih sesuai bagi lelaki. Ini kerana lelaki bertanggungjawab memberi nafkah, maka harta warisan yang diperolehinya digunakan, manakala harta warisan ibu disimpan Allah SWT berfirman:

وَلِأَبَوَيْهِ لِكُلِّ وَاحِدٍ مِّنْهُمَا السُّدُسُ مِمَّا تَرَكَ إِن كَانَ لَهُ وَلَدٌ ۚ فَإِن لَّمْ يَكُن لَّهُ وَلَدٌ وَوَرِثَهُ أَبَوَاهُ فَلِأُمِّهِ الثُّلُثُ ۚ فَإِن كَانَ لَهُ إِخْوَةٌ فَلِأُمِّهِ السُّدُسُ

Maksudnya: “Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak. Tetapi jika si mati tidak mempunyai anak, sedang yang mewarisinya hanyalah kedua ibu bapanya, maka bahagian ibunya ialah satu pertiga. Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam.”

(Surah al-Nisa’:11)

Sebagai contoh, apabila hanya ibu bapa yang mewarisi, ibu diberi satu pertiga, manakala bapa mengambil selebihnya melalui pengiraan ‘asabah, di mana bapa mendapat dua kali ganda daripada apa yang diperuntukkan kepada ibu, iaitu dua pertiga. Oleh itu, hak bapa di sini lebih tinggi berbanding ibu.

Kesimpulannya, meskipun istilah “الوالد” dan “الأبوين” merujuk kepada ibu dan bapa, penggunaannya dalam al-Quran mempunyai perbezaan yang halus. Istilah “الوالدين” lebih menekankan kepada hubungan dengan ibu, khususnya dalam konteks berbuat baik, berbakti, dan berdoa, kerana ibu melambangkan pengorbanan dan kelahiran. Manakala “الأبوين” lebih menonjolkan peranan bapa dalam aspek pewarisan dan tanggungjawab nafkah. Ini menunjukkan bahawa al-Quran memberikan keseimbangan antara kedudukan ibu dan bapa, namun dalam konteks yang berbeza berdasarkan hak dan tanggungjawab masing-masing.

Setiap ayat al-Quran mengandungi petunjuk yang mendalam untuk kehidupan kita, dan bertadabbur mengenainya akan membawa kita lebih dekat kepada kebenaran dan keredhaan Allah.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.”

Wallahua’lam.

Nota hujung:

[1] Lihat https://albayanalqurany.com/clause/%D8%A7% Diakses pada 23 Oktober 2024

[2] Lihat https://ar.islamway.net/article/90529/-1-%D8%B0%D9%83%D8%B1-%D8%A7%D9%84%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%AF%D9%8A%D9%86-%D9%88%D8%A7%D9%84%D8%A3%D8%A8%D9%88%D9%8A%D9%86  Diakses pada 22 Oktober 2024

Leave a Reply