Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami perbezaan antara kalimah  Isbiru (اصْبِرُوا) dan Sabiru (صَابِرُوا) dalam al-Quran?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟ وَرَابِطُوا۟ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu (lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).”

(Surah Ali ‘Imran: 200)

Imam Abu Ja‘far al-Tabari membawakan pelbagai takwilan ulama terhadap firman-Nya: (ٱصْبِرُوا۟ وَصَابِرُوا۟), lalu beliau menyatakan bahawa takwilan yang paling tepat adalah, perintah (ٱصْبِرُوا۟) itu agar orang-orang beriman bersabar di atas agama Islam dan mentaati Allah SWT. Kesabaran yang dimaksudkan ini pula bersifat umum, meliputi segala makna ketaatan dalam memenuhi perintah serat meninggalkan larangan-Nya, sama ada susah atau senang, berat atau ringan. Beliau menganggap takwilan ini lebih tepat; kerana yang diketahui dari kalam orang Arab pada wazan (المُفَاعَلَةُ) ini adalah interaksi yang berlaku antara dua pihak atau lebih.  Oleh yang demikian, orang-orang mukmin diperintahkan untuk bersabar dengan musuh-musuh mereka, sehingga Allah berikan kemenangan kepada mereka, meninggikan kalimah-Nya, dan menghinakan musuh-musuh mereka. Mereka tidak boleh membiarkan musuh mereka lebih sabar daripada mereka. (Lihat Jami‘ al-Bayan, 7/508)

Imam Fakhruddin al-Razi pula berkata, Surah Ali ‘Imran ini diakhiri dengan beberapa ayat yang mengandungi unsur-unsur adab, kerana keadaan manusia itu terbahagi kepada dua:

  • Keadaan yang mengaitkan seseorang itu dengan dirinya sendiri sahaja, maka dia amat memerlukan kepada Sabar (الصَّبْرُ).
  • Keadaan yang melibatkan seseorang itu dengan orang lain, maka dia amat memerlukan kepada Musabarah (المُصَابَرَةُ).

Adapun Sabr (الصَّبْرُ)  atau bersabar ini, terdapat empat situasi yang memerlukannya:

Pertama: Hendaklah bersabar dalam menghadapi kesukaran dalam mengkaji dan meneliti tentang pengetahuan tauhid, keadilan, kenabian, dan Hari Kebangkitan, serta dalam meneliti hujah-hujah bagi menjawab syubhah (keraguan) yang dikemukakan oleh pihak yang menentang.

Kedua: Hendaklah bersabar dalam menjalankan kewajipan dan amalan sunat.

Ketiga: Hendaklah bersabar dalam menjauhi perkara-perkara yang dilarang.

Keempat: Hendaklah bersabar dalam menghadapi kesusahan dunia dan musibah seperti penyakit, kemiskinan, kemarau, dan ketakutan.

Maka firman-Nya: “Bersabarlah,” merangkumi keempat-empat jenis kesabaran ini, dan di bawah setiap situasi ini terdapat banyak lagi bentuk situasi yang tiada berpenghujung.

Manakala Musabarah (المُصَابَرَةُ) pula, ia bermaksud bertahan menanggung kesulitan yang berlaku antara seseorang dengan pihak lain, termasuk bertahan dengan akhlak yang buruk dari ahli keluarga, jiran-jiran, dan saudara-mara. Termasuk juga di dalamnya, meninggalkan hasrat untuk membalas dendam terhadap sesiapa yang melakukan kezaliman terhadapnya, begitu juga memaafkan orang yang menzaliminya, termasuk juga amar makruf nahi munkar kerana pelaksanaannya mungkin akan mendatangkan kemudaratan kepada pelakunya.

Jihad turut termasuk dalam Musabarah, kerana ia melibatkan pendedahan diri kepada bahaya kematian, dan perlu juga Musabarah dengan orang-orang yang sesat, membongkar keraguan mereka, menjawab syubhat mereka, dan berusaha menghilangkan kebatilan dari hati mereka. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 9/473)

Melihat kepada tafsiran para mufassir ini, jelas membuktikan kekayaan kosa-kata bahasa Arab dalam menginterpretasikan suatu makna dengan istilah-istilah yang lebih khusus. Beginilah kaedah asas dalam memahami kalimah Arab, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Badruddin al-Zarkasyi: “Ketahuilah bahawa apabila sesuatu lafaz itu berada dalam satu bentuk (contoh: فَعَلَ), kemudian dipindahkan kepada bentuk lain yang lebih tinggi daripadanya (contoh: أَفْعَلَ), maka sudah tentu ia akan mengandungi lebih banyak makna daripada yang terkandung sebelumnya. Ini kerana lafaz-lafaz adalah petunjuk kepada makna, maka apabila ditambahkan dalam lafaz, mestilah ditambahkan juga dalam maknanya.” (Lihat al-Burhan fi ‘Ulum al-Quran, 3/34)

Kalimah Sabar (الصَّبْرُ) atau “bersabar” berasal dari kata dasar (صَبَرَ – يَصْبِرُ – صَبْرٌ), yang membawa erti sabar secara umum sahaja. Adapun kalimah Musabarah (المُصَابَرَةُ) atau “kuatkan kesabaran” ini, ia berasal dari kata dasar (صَابَرَ – يُصَابِرُ – مُصَابَرَةٌ) yang terbina di atas wazan (فَاعَلَ – يُفَاعِلُ – مُفَاعَلَةٌ). Ulama bahasa mengatakan, penggunaan wazan ini kebiasaannya membawa dua makna:

  • Penglibatan antara dua pihak atau lebih, apabila seseorang melakukan sesuatu kepada orang lain, dan orang tersebut membalas semula perbuatannya.
  • Berterusan melakukan suatu perbuatan. (Lihat Syaza al-‘Urf fi Fanni al-Sarf, hlm. 78-79)

Kesimpulan

Natijah dari perbahasan ringkas ini, jelas terdapat perbezaan di antara perintah Allah SWT terhadap orang mukmin, sebagaimana sabda-Nya: Isbiru (اصْبِرُوا) dan Sabiru (صَابِرُوا). Perintah  Isbiru (اصْبِرُوا) ini hanya melibatkan interaksi satu hala bagi seseorang dengan dirinya sahaja, manakala Sabiru (صَابِرُوا) pula melibatkan interaksi antara dua pihak yang berbeza atau lebih.

Kami katakan, keinginan untuk mengetahui rahsia di sebalik binaan kalimah suatu ayat al-Quran itu membuktikan kecenderungan saudara untuk mentadabbur serta memahami Kalamullah dengan lebih baik. Semoga ia menjadi suatu amal jariah bagi kita semua, seterusnya menjadi asbab beroleh kefahaman terhadap Islam dengan lebih mendalam. Kami akhiri dengan doa:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

Wallahu a‘lam

 

Leave a Reply