Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang isteri dan ibu yang bekerja. Gaji suami saya lebih besar dari saya. Setiap bulan, suami saya hanya membayar kereta beliau, duit yuran sekolah anak dan bayar rumah sahaja. Tiada duit extra untuk saya sebagai nafkah isteri dan upah-upah selama ini saya menanggung tugas beliau sebagai ketua keluarga. Makan saya dan anak-anak adalah dari duit saya dan selalunya saya pula yang membelikan makanan untuk suami sebab saya tidak masak. Duit belanja anak ke sekolah, pembelian buku sekolah baju sekolah semua saya yang beli. Akan tetapi setiap bulan saya tahu dia memberikan duit kepada ibu beliau. Berdosakah saya kalau atas dasar amarah, saya mendoakan suami saya akan tergantung di akhirat kelak kerana saya rasa dia berhutang dengan saya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لِيُنفِقْ ذُو سَعَةٍۢ مِّن سَعَتِهِۦ ۖ وَمَن قُدِرَ عَلَيْهِ رِزْقُهُۥ فَلْيُنفِقْ مِمَّآ ءَاتَىٰهُ ٱللَّهُ ۚ لَا يُكَلِّفُ ٱللَّهُ نَفْسًا إِلَّا مَآ ءَاتَىٰهَا ۚ سَيَجْعَلُ ٱللَّهُ بَعْدَ عُسْرٍۢ يُسْرًۭا

Maksudnya: “Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya; dan sesiapa yang disempitkan rezekinya, maka hendaklah ia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang-orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan.”

(Surah al-Talaq: 7)

Imam al-Qurtubi menyebutkan, terdapat beberapa faedah yang diperoleh dari ayat ini, antaranya adalah; nafkah seorang suami kepada isteri serta anak-anaknya yang masih kecil adalah berdasarkan kemampuannya. Sekiranya dia seorang yang memang berkemampuan lebih, maka diberikan lebih. Dan sekiranya dia seorang yang fakir, maka diberikan kepada mereka mengikut kadar kemampuannya sahaja. Dan kadar nafkah ini ditentukan berdasarkan kepada keadaan orang yang memberikan nafkah itu dan hajat keperluan orang yang menerima nafkah itu, melalui ijtihad atas adat kebiasaan dalam kehidupan. (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 18/170)

Kewajiban nafkah ini juga thabit sebagaimana dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Juhaifah Wahb bin ‘Abdullah al-Siwa’i, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ لِرَبِّكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِنَفْسِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، وَلِأهْلِكَ عَلَيْكَ حَقًّا، فَأعْطِ كُلَّ ذِي حَقٍّ حَقَّهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Tuhanmu mempunyai hak ke atasmu, dan jiwamu mempunyai hak ke atasmu, dan isterimu mempunyai hak ke atasmu, maka berilah setiap hak kepada mereka yang berhak.

Riwayat al-Bukhari (2139)

Apakah nafkah ini? Nafkah menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah  wang atau makanan dan lain-lain yang diperlukan untuk hidup dan sara hidup dan juga perbelanjaan dan lain-lain yang wajib diberikan oleh suami kepada isterinya.

Syeikh Dr. Muhammad al-Zuhaili mengatakan, nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan, iaitu pembiayaan belanja seseorang terhadap ahli keluarganya. Manakala dari segi syara‘ ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya. Ia di namakan nafaqah kerana dikeluarkan atau digunakan untuk keperluan itu. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/274 )

Nafkah ini ada dua:

Nafkah Zahir: Iaitu apa sahaja nafkah yang boleh disediakan dalam bentuk material kepada anak dan isteri.

Nafkah Batin: Nafkah yang berkait rapat dengan emosi serta keperluan fitrah pasangan suami isteri.

Kesimpulan

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan nafkah yang wajib ke atas suami kepada isterinya yang mana telah dinyatakan dalam kitab fiqh al-Manhaji adalah seperti berikut:

  • Makan
  • Minum
  • Pakaian
  • Tempat Tinggal
  • Alat membersihkan diri
  • Pembantu rumah sekira sebelumnya dia memilki pembantu (Lihat Fiqh al-Manhaji,4/182-184)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, makanan, barang-barang dapur, pakaian, tempat tinggal, alat-alat untuk membersihkan diri, barangan rumah, pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Dalam isu anda, sekiranya suami telah menjalankan tanggungjawab memberi nafkah yang wajib kepada isteri maka tidak wajib lagi bagi suami memberikan duit bulanan kepada isteri. Sekiranya suami tetap memberikan duit tersebut secara bulanan itu dianggap sebagai ihsan suami kepada isteri. Namun, sekiranya si suami tidak memberi nafkah yang telah kami jelaskan di atas, maka dia dikira berdosa kerana tidak melaksanakan tanggungjawabnya. Begitu juga, nafkah anak-anak juga wajib untuk suami berikan kerana ia termasuk tanggungjawabnya sebagai ayah.

Berkenaan isu mendoakan keburukan kepada suami, kami nasihatkan agar tidak berbuat demikian. Sebaliknya, cuba bawa berbincang secara damai dan sopan untuk menyelesaikan isu ini dengan sebaiknya. Ini kerana jika perbincangan itu dilakukan dalam keadaan marah dan tinggi suara, perkara ini tidak akan selesai, malah mungkin mengeruhkan lagi keadaan. Justeru, kami syorkan untuk anda menasihatinya secara baik tentang tanggungjawab nafkah yang sewajarnya diberikan. Mudah-mudahan hatinya lembut dan menerima dengan baik teguran berkenaan.

Semoga Allah SWT memberikan kekuatan serta balasan yang melimpah ruah kepada si isteri atas kesabaran beliau. Dan kami berdoa agar Allah SWT membuka pintu hati si suami untuk bertaubat atas kesilapan yang dilakukannya, dan kemudian mengembalikan hak yang sepatutnya kepada si isteri. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Wallahu a‘lam

Leave a Reply