Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jika saya tidak menghalalkan hutang orang yang berhutang yang memang liat untuk membayar kembali?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum melambatkan atau menangguhkan pembayaran hutang bagi mereka yang berkemampuan adalah haram. Perkara ini adalah seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:

مَطْلُ الْغَنِيِّ ظُلْمٌ وَإِذَا أُتْبِعَ أَحَدُكُمْ عَلَى مَلِيءٍ فَلْيَتْبَعْ

Maksudnya: “Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman, jika salah seorang dari kamu memindahkan hutang itu pada orang yang kaya, maka terimalah ia (pemindahan hutang).

Riwayat al-Bukhari (2287) dan Muslim (1564)

Bagi mereka yang tidak mampu pula, adalah sebaiknya bagi pemiutang menangguhkan serta melambatkan proses melangsaikan hutang tersebut. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسْرَةٍ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيْسَرَةٍ ۚ وَأَن تَصَدَّقُوا خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

(Surah al-Baqarah: 280)

Imam al-Maraghi menjelaskan ayat ini: “Sekiranya penghutang sedang mengalami kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutang. Namun begitu, bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menanggung kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi pemiutang dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT daripada menunda masa pembayaran mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/649)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan seseorang yang berhutang, wajib untuknya bayar semula jumlah yang sudah dipinjam. Namun begitu, sekiranya penghutang tidak mampu untuk membayar hutang disebabkan menanggung kesulitan dan sebagainya, pemberi hutang disarankan untuk melambatkan tempoh untuk hutang tersebut dibayar ataupun lebih baik sekiranya dia menghalalkan sahaja hutang tersebut jika dia mampu dan tidak membebankannya. Akan tetapi, ia terpulang kepada anda sama ada untuk menghalalkan atau tidak, kerana ia hak anda sebagai pemberi hutang.

Terdapat juga beberapa hadith yang menunjukkan kurniaan Allah kepada golongan yang kaya, yang memberi hutang serta menangguhkan pembayaran kerana yang berhutang amat miskin dan memerlukannya. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا، أَوْ وَضَعَ لَهُ، أَظَلَّهُ اللهُ فِي ظِلِّ عَرْشِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Siapa yang menangguhkan orang yang susah untuk membayar hutang atau melepaskannya, maka Allah akan melindunginya di bawah lindungan Arasy-Nya pada hari Kiamat.”

Riwayat al-Tirmizi (1306) dan Ahmad (8711)

Al-Mubarakfuri berkata: Siapa yang menangguhkan dan memberi waktu kepada yang berhutang, yang fakir agar dapat dia bayar di kemudian hari, begitu juga melepasi hutangnya dengan menghadiahkan kepadanya atau mengurangkan sebahagian daripada hutang tersebut, maka Allah SWT akan melindunginya pada hari Kiamat di bawah lindungan Arasy. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/444)

Justeru, kami katakan, sifat ehsan ini sepatutnya wujud dalam jiwa kita.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada Engkau dari kedukaan dan kesedihan. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat lemah dan malas. Aku berlindung kepada Engkau dari sifat pengecut dan bakhil. Dan aku berlindung kepada Engkau dari bebanan hutang dan penindasan manusia.

Wallahu a’lam.

Leave a Reply