Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanyakan soalan, jika si ayah meninggal, adakah perlu anak-anak melakukan pembahagian faraid ke atas harta si bapa, sedangkan  emak mereka masih tinggal di rumah tersebut? Mohon penjelasan Dato’. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Hukum pusaka ini telah disyariatkan dalam Islam dan telah dinaskan oleh al-Quran, al-Sunnah serta ijma’ ulama’. Orang-orang yang mengingkari pensyariatan hukum pusaka adalah kafir dan keluar daripada Islam. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

لِّلرِّجَالِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ وَلِلنِّسَاءِ نَصِيبٌ مِّمَّا تَرَكَ الْوَالِدَانِ وَالْأَقْرَبُونَ مِمَّا قَلَّ مِنْهُ أَوْ كَثُرَ ۚ نَصِيبًا مَّفْرُوضًا

Maksudnya: “Orang-orang lelaki ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, dan orang-orang perempuan pula ada bahagian pusaka dari peninggalan ibu bapa dan kerabat, sama ada sedikit atau banyak dari harta yang ditinggalkan itu iaitu bahagian yang telah diwajibkan (dan ditentukan oleh Allah).”

(Surah al-Nisa’: 7)

Para ulama ketika menerangkan sebab penurunan ayat ini menyatakan bahawa ketika zaman sebelum datangnya Islam (zaman jahiliyyah), wanita dan kanak-kanak tidak berhak mendapat sedikit pun daripada harta pusaka yang ditinggalkan ahli keluarga mereka. Ini adalah kerana pada ketika itu, hanya lelaki yang boleh mempertahankan kabilah dan keluarga sahaja mewarisi harta pusaka. Hal ini dapat dilihat dalam satu kisah yang direkodkan bahawa ada seorang lelaki dari kaum Ansar meninggal dunia sebelum diturunkan ayat ini, dalam masa yang sama dia meninggalkan empat orang anak perempuan. Namun, kesemua harta yang ditinggalkan diambil oleh sepupunya. Oleh  kerana itu, Allah SWT menurunkan ayat ini yang menyatakan bahawa wanita juga berhak mendapat sebahagian daripada harta pusaka dan sekali gus memuliakan wanita. (Lihat Tafsir Muqatil Bin Sulaiman, 127/5; Tafsir al-Tabari, 597/7; Tafsir al-Maturidi, 28/3; al-Mufassal fi Tarikh al-Arab Qabla al-Islam, 237/10)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami tegaskan bahawa apabila berlaku kematian dan si mati meninggalkan harta, adalah menjadi kewajipan para waris untuk membahagikan harta peninggalan tersebut mengikut kadar yang telah ditetapkan oleh syarak. Ini termasuklah harta tidak boleh alih seperti rumah yang  sedang didiami oleh ibu si mati. Walaupun ibu masih mendiami rumah tersebut, ia tidak menghalang proses pembahagian faraid daripada dilaksanakan. Harta peninggalan si mati, termasuk rumah tersebut, tetap tertakluk kepada pembahagian faraid.

Hal ini sebagaimana yang telah dinyatakan dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِىَ فَهْوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: “Serahkanlah harta-harta pusaka kepada pemiliknya. Sekiranya ada baki, serahkanlah kepada kaum keluarga lelaki yang terdekat.”

Riwayat al-Bukhari (6351)

Hadith ini merupakan hadith yang lengkap merangkumi  semua hukum-hukum waris, dan Allah SWT telah menjelaskannya secara terperinci dan jelas dengan membagikannya kepada yang berhak. Selain itu Allah memerintahkan agar harta pusaka disalurkan kepada waris-warisnya. Mereka yang didahulukan adalah orang-orang yang memiliki hubungan darah, dan baki selepas pembahagian diberikan kepada waris lelaki, iaitu waris dari furu’ (anak, cucu lelaki dan ke bawah), usul (bapa, datuk dan ke atas), cabang-cabang keturunan lelaki dari usul, dan golongan di bawah wilayahnya iaitu hamba. (Lihat Taudih al-Ahkam Min Bulugh al-Maram, 5/153)

Di dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji, antara lain menyebutkan: “Pelaksanaan hukum pusaka adalah wajib. Sistem pusaka adalah suatu sistem yang sah berdasarkan kepada nas-nas al-Quran, al-Sunnah dan ijma’ ulama’. Ia sama seperti hukum berkenaan sembahyang, zakat, muamalat dan hudud. Ia wajib dilaksana dan diamalkan. Tidak harus diubah atau diabaikan sekalipun ia telah lama disyariatkan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/284-286)

Namun, pembahagian harta tersebut hendaklah dilakukan setelah menyelesaikan semua urusan si mati, termasuk kos pengurusan jenazah, pembayaran hutang, dan pelaksanaan wasiat yang telah ditinggalkan, jika ada, sesuai dengan ketetapan syarak. Setelah semua ini dilangsaikan, barulah boleh dibahagikan hafrta tersebut mengikut hukum faraid kepada waris yang berhak.

Imam al-Nawawi menyatakan : Pengurusan harta peninggalan si mati dimulakan dengan membiayai kelengkapan dan pengurusan jenazahnya, kemudian diselesaikan hutang-hutangnya kemudian dipenuhi wasiatnya (hanya satu pertiga daripadanya) kemudian baharulah diberikan baki harta tersebut secara faraid kepada waris-waris yang berhak”. (Lihat Minhaj al-Talibin, 180)

Justeru, adalah penting untuk diperhatikan bahawa meskipun ibu mempunyai hak untuk mendiami rumah tersebut, ia tidak menafikan hak waris lain terhadap bahagian mereka dalam harta tersebut. Oleh itu, penyelesaian boleh dicapai melalui beberapa cara, seperti membenarkan ibu terus tinggal di rumah tersebut dengan persetujuan waris lain, atau membahagikan nilai rumah mengikut faraid tanpa mengusir ibu dari rumah yang menjadi tempat tinggalnya. Ini perlu dilakukan dengan cara yang adil dan menjaga kebajikan semua pihak, selaras dengan prinsip-prinsip syarak.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Wallahu‘Alam

Leave a Reply