Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, suami saya sudah meninggal dunia dan dia ada tinggalkan wang kwsp tanpa nama pewaris. Duit tu diuruskan oleh amanah raya. Suami saya ada beritahu isteri keduanya bahawa wang KWSP itu dia nak wakafkan kepada masjid. Masalahnya adakah anak-anak yang dia tinggalkan seramai 10 orang lelaki dan 6 orang perempuan mempunyai hak ke atas harta itu? Kami duduk di rumah sewa dan isteri kedua cuma suri rumah. Harap dapat penjelasan daripada ustaz. Terima kasih

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Pertamanya, kami ucapkan takziah atas pemergian suami puan ke hadrat Ilahi. Semoga Allah SWT mengurniakan kesabaran dan keagungan ganjaran pahala di dunia dan di akhirat.

Seterusnya, berbalik kepada situasi dan soalan di atas, kami melihat ia berkait dengan wasiat orang yang sudah meninggal dunia. Ini kerana kami memahami kenyataan daripada si mati itu, bahawa dia ingin mewakafkan wang kwsp itu kepada masjid tetapi hal itu belum pun lagi terlaksana semasa hayatnya. Sebaliknya, ia hanya dapat dilaksanakan setelah kematiannya, maka ia menjadi wasiatnya yang ditinggalkan kepada ahli waris untuk dilaksanakan.

Wasiat menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud kehendak yang penghabisan yang disampaikan oleh orang yang hampir meninggal dunia (berkenaan harta benda dan lain-lain) atau juga didefinisikan sebagai pesanan terakhir.[1]

Menurut Sayyid Sabiq, wasiat didefinisikan sebagai hadiah daripada seseorang kepada orang lain sama ada secara ‘ain, hutang, atau manfaat supaya ia dimiliki oleh orang yang diwasiatkan sebagai hadiah selepas kematian pemberi wasiat. (Lihat al-Fiqh al-Sunnah, 3/583).

Firman Allah SWT:

مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ

Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”

 (Surah al-Nisa’: 11)

Melalui ayat ini, Allah SWT telah menjelaskan bahawa pembahagian harta hendaklah dilakukan setelah selesai urusan hutang si mati serta setelah dilaksanakan wasiat si mati. Antara pelunasan hutang dan juga pelaksanaan wasiat, pelunasan hutang mesti dahulukan ke atas wasiat. Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Ali RA, katanya:

 إِنَّكُمْ تَقْرَءُونَ هَذِهِ الآيَةَ: {مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ تُوصُونَ بِهَا أَوْ دَيْنٍ} «وَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَضَى بِالدَّيْنِ قَبْلَ الوَصِيَّةِ

Maksudnya: “Kamu membaca ayat ini (Surah al-Nisa’ ayat 12) dan Rasulullah SAW melunaskan hutang sebelum wasiat (dilaksanakan).

Riwayat al-Tirmizi (2094)

Namun begitu, Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa antara sebab Allah SWT mendahulukan penyebutan wasiat ke atas hutang adalah kerana ia sebagai dorongan dan perintah untuk memperhatikan dan memenuhi wasiat yang ada serta larangan mengingkarinya. (Lihat Tafsir al-Munir, 4/276).

Selain itu, terdapat juga riwayat daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

 مَا حَقُّ امْرِئٍ مُسْلِمٍ لَهُ شَىْءٌ، يُوصِي فِيهِ يَبِيتُ لَيْلَتَيْنِ، إِلاَّ وَوَصِيَّتُهُ مَكْتُوبَةٌ عِنْدَهُ ‏

Maksudnya: “Tidak ada hak bagi seorang muslim yang akan berwasiat dengan sesuatu untuk tidur dua malam, kecuali wasiat tersebut sudah dituliskannya di sisinya.”

Riwayat al-Bukhari (2438) dan Muslim (1627)

Dalam Syarh Riyadh al-Salihin oleh Ibn Uthaimin (3/460) menyatakan bahawa: Tidak sepatutnya seseorang itu membiarkan dua malam berlalu melainkan dia telah menulis wasiat yang ingin dia sampaikan. Sejak Ibn Umar R.A mendengar kata-kata ini daripada Rasulullah, dia tidak pernah melalui satu malam pun melainkan dia telah menulis wasiatnya.

Hukum wasiat

Pada permulaan Islam, wasiat kepada ahli waris adalah satu kewajipan terhadap ahli keluarga. Firman Allah SWT:

كُتِبَ عَلَيْكُمْ إِذَا حَضَرَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ إِنْ تَرَكَ خَيْرًا الْوَصِيَّةُ لِلْوَالِدَيْنِ وَالْأَقْرَبِينَ بِالْمَعْرُوفِ ۖ حَقًّا عَلَى الْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Kamu diwajibkan, apabila seseorang dari kamu hampir mati, jika ia ada meninggalkan harta, (hendaklah ia) membuat wasiat untuk ibu bapa dan kaum kerabat dengan cara yang baik (menurut peraturan agama), sebagai suatu kewajipan atas orang-orang yang bertaqwa.

(Surah al-Baqarah: 180)

Walau bagaimanapun, kewajipan ini telah dimansuhkan dengan Surah al-Nisa’ ayat 11, 12 dan 176 dan hadith-hadith yang berkaitan dengan harta pusaka. Namun, amalan berwasiat masih digalakkan dengan had maksima satu pertiga dan ditujukan kepada selain waris.

Ia sebagaimana hadith daripada Abu Umamah al-Bahili R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ اللهَ قد أعطَى كلَّ ذي حقِّ حقَّهُ فلا وصيَّةَ لوارثٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah menentukan setiap yang mempunyai hak (ahli waris) akan mendapat hak mereka. Maka, tidak ada wasiat kepada ahli waris.

Riwayat Abu Daud (2870), Ibn Majah (2210), dan Ahmad (286)

Kadar Wasiat

Pewasiat digalakkan mewasiatkan harta tidak melebihi satu pertiga. Ia berdasarkan hadith daripada Sa‘ad bin Abu Waqqas R.A ketika Rasulullah SAW menziarahi beliau yang sedang sakit:

يا رَسولَ اللَّهِ، أُوصِي بمالِي كُلِّهِ؟ قالَ: لا، قُلتُ: فالشَّطْرُ، قالَ: لا، قُلتُ: الثُّلُثُ، قالَ: فالثُّلُثُ، والثُّلُثُ كَثِيرٌ، إنَّكَ أنْ تَدَعَ ورَثَتَكَ أغْنِياءَ خَيْرٌ مِن أنْ تَدَعَهُمْ عالَةً يَتَكَفَّفُونَ النَّاسَ في أيْدِيهِمْ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah, (bolehkah) aku mewasiatkan hartaku kesemuanya? Baginda menjawab: ‘Tidak boleh.’ Aku bertanya lagi: ‘Separuh?’ Baginda menjawab: ‘Tidak boleh.’ Aku bertanya lagi: ‘Sepertiga?’ Baginda bersabda: ‘Ya, sepertiga dan sepertiga itu sudah banyak. Sesungguhnya jika engkau meninggalkan waris (ahli keluarga) engkau dalam keadaan kaya itu adalah lebih baik daripada engkau tinggalkan mereka dalam keadaan meminta-minta kepada manusia dengan tangan-tangan mereka.’

Riwayat al-Bukhari (2742)

Satu pertiga dikira daripada harta bersih setelah dijelaskan kos urusan pengebumian dan hutang pewasiat. Sekiranya pewasiat menanggung hutang yang banyak hingga kehabisan segala hartanya, maka wasiatnya tidak perlu dilaksanakan.[2]

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan kepada penjelasan di atas, jelaslah bahawa wasiat si mati untuk mewakafkan sebahagian hartanya kepada masjid (yakni wang KWSP itu) hanya boleh dilaksanakan tidak melebihi satu pertiga daripada jumlah harta bersih setelah dijelaskan kos urusan pengebumian dan hutang pewasiat. Ini kerana semua harta si mati yang ditinggalkan termasuklah wang kwsp itu merupakan hak waris yang mesti dibahagikan secara faraid. Justeru, berbalik kepada soalan yang diajukan, semua anak-anak si mati yang ditinggalkan seramai 10 orang lelaki dan 6 orang perempuan mempunyai hak ke atas harta tersebut kerana mereka termasuk dalam kalangan ahli waris.

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ، وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

Maksudnya: “Ya Allah, satukanlah hati-hati kami, perbaikilah hubungan antara kami, tunjukilah kami jalan-jalan keselamatan, selamatkanlah kami daripada kegelapan, menuju ke arah cahaya kebenaran.”

Wallahu a’lam.

 

nota hujung:

[1] Lihat https://prpm.dbp.gov.my/cari1?keyword=wasiat. Diakses pada 24 Oktober 2024.

[2] Lihat https://efaraid.mais.gov.my/wasiat/. Diakses pada 24 Oktober 2024.

Leave a Reply