Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin mendapatkan penjelasaan mengenai Fasdu. Mengikut amalan perubatan saya rasa ini adalah sangat bahaya kerana kehilangan banyak darah. Adakah ia merupakan perubatan islam atau terpesong?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Pengenalan tentang Fasdu (الفَصْدُ)

Pertama sekali, kami datangkan terlebih dahulu maksud Fasdu (الفَصْدُ). Menurut bahasa ia bermaksud memotong pembuluh darah. (Lihat Lisan al-Arab, 3/336)

Menurut istilah pula seperti yang disebutkan di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah(32/146), Fasdu merupakan perbuatan melukakan pembuluh darah untuk mengekstrak darah yang membahayakan tubuh.

Dari sudut klinikal, rawatan ini lebih mirip kepada venepuncture atau flebotomi. Berdasarkan penerangan oleh Institut Kanser Negara Amerika Syarikat, ia merupakan suatu prosedur di mana jarum digunakan untuk mengambil darah daripada vena, kebiasaannya untuk ujian makmal. Venipuncture juga boleh dilakukan untuk membuang sel darah merah berlebihan daripada darah, atau bagi merawat masalah darah tertentu. Ia juga dipanggil pengambilan darah dan flebotomi.[1]

Antara komponen darah yang dikeluarkan adalah:

  • Sel darah merah (eritrosit)
  • Sel darah putih (leukosit)
  • Plasma darah
  • Platlet darah
  • Zat besi yang berfungsi membentuk sel darah merah.[2]

Manakala antara penyakit yang memerlukan seseorang untuk melalui kaedah rawatan ini adalah:

  • Vera Polisitemia: Kanser darah yang menyebabkan tubuh menghasilkan sel darah yang berlebihan. Sel darah yang terlampau banyak boleh mengakibatkan pengaliran darah ke seluruh badan menjadi lambat.[3]
  • Hemokromatosis: Penyakit yang menyebabkan tubuh menyerap zat besi secara berlebihan dari makanan yang diambil oleh seseorang. Zat besi ini akan di simpan pada organ utama badan seperti hati, jantung, dan pancreas. Jumlah zat besi yang berlebihan dalam badan boleh menyebabkan penyakit lain seperti penyakit hati, masalah jantung dan juga diabetis.[4]

Rawatan fasdu ini mampu mengurangkan sejumlah sel darah merah daripada badan, kemudian tubuh akan menghasilkan sel yang baru menggunakan zat besi dalam badan.

  • Porphyria: Satu gangguan yang menyebabkan masalah saraf atau kulit. Gangguan ini berlaku kerana badan kekurangan komponen hemoglobin darah yang disebut sebagai Heme yang berfungsi membawa oksigen daripada paru-paru ke seluruh tubuh badan. Kaedah fasdu mampu mengurangkan zat besi dalam badan pesakit secara berkala supaya kandungan Hemedalam badan menjadi stabil semula.[5]

Fasdu dalam Perubatan Islam

Fasdu merupakan salah satu rawatan islam yang pernah disebutkan oleh Rasulullah SAW. Diriwayatkan sebuah hadith daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الشِّفَاءُ فِي ثَلاَثَةٍ: فِي شَرْطَةِ مِحْجَمٍ، أَوْ شَرْبَةِ عَسَلٍ، أَوْ كَيَّةٍ بِنَارٍ، وَأَنَا أَنْهَى أُمَّتِي عَنِ الكَيِّ

Maksudnya: “Penyembuhan terdapat pada tiga perkara: secawan bekam, seteguk madu, penyelaran dengan api. Sedangkan aku melarang umatku (makruh) daripada rawatan dengan besi penyelar.”

Riwayat al-Bukhari (5681)

Dan diriwayatkan juga daripada Samurah bin Jundub R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ

Maksudnya: “Sebaik-baik rawatan yang kalian lakukan adalah berbekam.”

Riwayat Ahmad (20225)

Ahli majlis Fatawa al-Lajnah al-Da’imah menyebutkan bahawa berbekam yang dimaksudkan di dalam hadith adalah umum, meliputi bekam dan juga fasdu. Ia merupakan dalil bahawa fasdu ini diharuskan. Dan prosedur ini perlu dijalani dibawah pengawasan mereka yang pakar supaya diketahui mereka yang betul-betul memerlukan kepada rawatan ini, dan kawasan anggota badan pesakit yang sesuai untuk fasdu, dan juga dilakukan pada masa yang sesuai serta meraikan keadaan pesakit yang akan menjalani rawatan ini. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 25/8)

Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah mengatakan bahawa berbekam itu lebih banyak menyembuhkan luaran tubuh (anggota luaran) berbanding fasdu. Manakala fasdu itu lebih utama untuk dalaman tubuh (organ dalaman). Rawatan ini juga mempunyai manfaat-manfaat tertentu, bergantung kepada tempat pembuluh darah tersebut dilukakan dan diambil darah daripadanya. Antara bahagian yang dilakukan rawatan fasdu adalah:

  • Urat Vena Basilic: Ia bermanfaat untuk meredakan kepanasan hati dan limpa serta pembengkakan yang berlaku pada kedua-duanya disebabkan oleh darah, dan bermanfaat untuk pembengkakan paru-paru, serta bermanfaat untuk penyakit Pneumothorax (angin dalam rongga paru-paru) dan Pleurisy (radang selaput paru-paru) begitu juga semua penyakit berkaitan darah yang muncul dari bawah lutut hingga ke pinggul.[6]
  • Urat Vena Median Cubital: Ia bermanfaat untuk menangani masalah darah yang berlaku di seluruh badan, dan juga bermanfaat jika darah sudah rosak di seluruh badan.
  • Urat Vena Cephalic: Ia bermanfaat untuk mengatasi penyakit di kepala dan leher akibat darah yang berlebihan atau darah yang rosak.
  • Urat Vena Jugular: Ia bermanfaat untuk merawat sakit limpa, asma, sesak nafas yang teruk, dan sakit di bahagian dahi. (Lihat al-Tibb al-Nabawi, hlm. 80-81)

Menjawab persoalan yang diajukan saudara, kami katakan bahawa rawatan fasdu ini sememangnya satu kaedah rawatan yang pernah disebutkan oleh ulama Islam. Meskipun begitu, apabila kita perhatikan, ilmuwan Islam yang membicangkan perihal fasdu ini pada dasarnya mengikat keharus rawatan ini dengan satu syarat utama: Ia mestilah dijalankan oleh mereka yang berkepakaran sahaja. Ini di dalam konteks dunia moden di Malaysia merujuk kepada mereka yang bertauliah atau berkelayakan dalam bidang perubatan yang sah di sisi undang-undang. Ini amat penting kerana sebarang urusan berkenaan darah ini berisiko tinggi terhadap kesihatan seseorang itu, kerana jika rawatan fasdu yang pastinya menghilangkan banyak darah ini dilakukan tanpa pemantauan pakar, maka ia akan membawa kepada mudharat yang besar.

Benarlah kata-kata yang dinisbahkan kepada Khalifah ‘Umar bin ‘Abd al-‘Aziz, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab al-Zuhd (hlm. 244): “Sesiapa yang beramal tanpa ilmu, maka apa yang dia rosakkan lebih banyak berbanding apa yang diperbaiki.”

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pembacaan kami yang agak terhad dalam bidang perubatan ini, kami katakan bahawa fasdu ini adalah satu kaedah rawatan yang berkongsi tujuan yang sama dengan berbekam, iaitu mengeluarkan darah dari tubuh pesakit. Adapun yang membezakan antara keduanya adalah, berbekam pada kebiasaannya hanya melibatkan arteri-arteri kecil pada kulit tubuh sahaja, manakala fasdu melibatkan vena dan urat-urat besar yang terdapat pada anggota tubuh seseorang.

Rawatan fasdu ini juga ada disebutkan dalam beberapa riwayat, tetapi ia dinilai dha‘if jiddan(tersangat lemah tarafnya) sehingga tidak boleh dijadikan sebagai hujjah. Ia diriwayatkan daripada Saidina ‘Ali bin Abi Talib R.A, katanya:

خَيْرُ مَا تَدَاوَيْتُمْ بِهِ الْحِجَامَةُ وَالْفَصْدُ

Maksudnya: “Sebaik-baik rawatan yang kalian lakukan adalah berbekam dan fasdu.”

Riwayat Abu Nu‘aim (182) di dalam al-Tibb al-Nabawi, tetapi dinilai dha‘if jiddan oleh Syeikh al-Albani (2923) dalam Dha‘if al-Jami‘ al-Sahih.

Maka cukuplah sekadar kami membawakan hujjah dari riwayat lebih sahih, dengan disertai syarahan serta takwilan para ulama berkenaan hukum fasdu ini. Semoga ia dapat memberikan sedikit penjelasan serta mengurangkan salah faham yang timbul berkenaan rawatan ini, disertai dengan kefahaman mengenai tata-tertib sebelum menjalani rawatan tersebut. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنَ البَرَصِ، وَالْجُنُونِ، وَالْجُذَامِ، وَمِنْ سَيِّئِ الْأَسْقَامِ

Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.”

Wallahu a‘lam

Nota hujung:

[1] Lihat https://www.cancer.gov/publications/dictionaries/cancer-terms/def/venipuncture. Diakses pada 23 Oktober 2024.

[2] Lihat https://hellosehat.com/kelainan-darah/darah-lainnya/flebotomi/. Disemak pada 23 Oktober 2024.

[3] Lihat https://www.webmd.com/cancer/polycythemia-vera#1. Dirujuk pada 23 Oktober 2024.

[4] Lihat https://www.webmd.com/a-to-z-guides/what-is-hemochromatosis#2. Disemak pada 23 Oktober 2024.

[5] Lihat https://www.webmd.com/a-to-z-guides/porphyria-symptoms-causes-treatment. Disemak pada 23 Oktober 2024.

[6] Lihat http://www.myhealth.gov.my/penyakit-ruangrongga-paru-paru/. Diakses pada 23 Oktober 2024.

Leave a Reply