Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Semasa saya tengah berkerja dulu pernah barang milik kami hilang dan harga barang itu sangatlah mahal. Saya pun masa itu sudah puas mencari barang itu tetapi tidak jumpa. Selepas penat mencari, saya duduk rehat sekejap dan bernazar dalam hati, kalau aku jumpa barang ini balik aku nak buat tahlil dan jamu orang makan dekat masjid kampung saya. Tidak lama selepas itu ada seorang memaklumkan kepada kami bahawa barang yang hilang tu telah dijumpai. Saya tengok memang barang itu, persoalan saya sah ke niat nazar saya itu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Nazar

Nazar dari sudut istilah ialah apa yang  telah ditakrifkan  oleh para ulama’ iaitu: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syara’, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara. (Lihat  al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 2/501)

Firman Allah SWT:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ

Maksudnya: “Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya.”

(Surah al-Hajj: 29)

Diriwayatkan daripada  Aisyah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: “Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu.

Riwayat al-Bukhari (6696)

Untuk menjadikan nazar itu wajib dilaksanakan perlu cukup rukun-rukun nazar.

  • Sighah
  • Orang yang bernazar
  • Perkara yang dinazarkan.

Nazar Mengikut Pandangan Mazhab

Pandangan Empat Mazhab Berkenaan Nazar Melalui Lintasan Hati

Secara umumnya, ia terbahagi kepada dua pandangan:

Pandangan Pertama: Mereka menganggap niat dan lintasan hati tidak dikira sebagai nazar. Ini merupakan pandangan mazhab Syafi’e dan Hanbali.

Imam al-Nawawi menyatakan bahawa pandangan yang paling sahih dalam isu ini yang menjadi kesepakatan dalam kalangan ulama mazhab Syafi’e ialah tidak sah nazar melainkan dengan melafazkannya dengan lisan dan kata-kata, dan tidak sah sekadar dengan niat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 8/451)

Hal yang sama juga dinyatakan Imam al-Mardawi al-Hanbali dimana jika seseorang itu berniat nazar tanpa kata-kata, nazar itu tidak sah, dan beliau mendapati tidak ada khilaf dalam kalangan ulama mazhab Hanbali pada hal ini. (Lihat al-Insaf fi Ma’rifati al-Rajih min al-Khilaf, 11/90)

Imam Jalaluddin al-Suyuti sewaktu mensyarahkan kaedah ‘Al-Umur bi Maqasidiha menyatakan bahawa nazar secara niat di dalam hati tidak dikira sebagai nazar. (Lihat al-Asybah wa al-Nazha’ir, 1/33)

Pandangan Kedua: Mereka mengambil kira niat sebagai nazar dan wajib ditunaikan. Ini merupakan pandangan mazhab Maliki, seperti mana yang disebut oleh Imam al-Hattab, Imam Ibnul ‘Arabi dan Imam Ibn Rusyd al-Hafid (Lihat Mawahib al-Jalil li Syarh Mukhtasar al-Khalil, 4/491, Ahkam al-Qur’an, 2/548 dan Bidayatul Mujtahid, 1/422)

Dalam isu ini kami mentarjihkan pandangan yang pertama iaitu tidak dikira nazar jika semata-mata berniat di dalam hati, dan nazar perlulah dilafazkan dengan lisan. Ini berdasarkan hadith Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ تَجَاوَزَ لِي عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا، مَا لَمْ تَعْمَلْ أَوْ تَكَلَّمْ

Maksudnya: “Allah telah memperkenankan permohonanku agar Dia memaafkan segala bisikan dalam hati dalam kalangan umatku, selagimana mereka tidak melakukannya atau melafazkannya.

Sahih al-Bukhari (2528)

Menjawab persoalan di atas, kami nyatakan niat atau lintasan hati, tanpa melafazkannya, tidak dikira sebagai nazar dengan mengambil pandangan yang pertama. Maka, anda tidak terikat dengan nazar yang dibuat. Namun, sekiranya anda mahu menjamu keluarga atau rakan atas menemui semula barangan tersebut, maka ia kembali kepada hukum sedekah yakni sunat.

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا

Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ketakwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”

Wallahu a’lam

Leave a Reply