Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, membaca basmalah sebelum memulakan solat bukanlah sunnah, waktu bila saya patut saya baca basmalah untuk solat fardhu? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Membaca al-Basmalah iaitu lafaz Bismillahir Rahmanir Rahim (بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ) sebelum melakukan segala sesuatu adalah suatu tuntutan sunnah. Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كُلُّ أَمْرٍ ذِي بَالٍ لَا يُبْدَأُ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ أَقْطَعٌ

Maksudnya: “Setiap urusan yang tidak dimulakan dengan menyebut nama Allah iaitu Bismillahir Rahmanir Rahim (Basmalah), maka urusan itu akan terputus (daripada keberkatan).”

Riwayat al-Ruhawi dalam al-Arba‘un sebagaimana turut dinyatakan dalam al-Jami‘ al-Saghir (2/158) oleh al-Suyuti; dinilai dha‘if oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Nata’ij al-Afkar (3/281) dan al-Kafi al-Syafi (7). Namun, Imam al-Nawawi, Imam Ibn al-Mulaqqin, Imam Ibn Daqiq al-‘Id menilainya sebagai hasan. (Lihat al-Futuhat al-Rabbaniyyah, 3/289).

Berhubung soalan di atas, kami nyatakan bahawa membaca al-Basmalah sebelum memulakan solat adalah amalan yang harus dan dibenarkan, meskipun tiada anjuran khusus mengarahkannya. Tambahan pula, tiada larangan untuk melaksanakan sedemikian dan lafaz basmalah merupakan salah satu zikir bahkan doa yang ma’thur. Hal ini berdasarkan dalil-dalil umum daripada nas-nas Syarak.

Pengarang al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyebutkan, majoriti fuqaha’ bersepakat bahawa disyariatkan untuk membaca basmalah sebelum melaksanakan setiap perbuatan yang mempunyai faedah, sama ada ia merupakan ibadat ataupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 8/92).

Perkara ini berdalilkan hadith yang diriwayatkan oleh Ummul Mukminin Aisyah R.Anha bahawa:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَذْكُرُ اللَّهَ فِي كُل أَحْيَانِهِ

Maksudnya: “Nabi SAW itu mengingati (nama) Allah pada setiap waktu Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (633) dan Muslim (373)

Syeikh Abd al-Haq al-Dihlawi mensyarahkan hadith di atas dengan menyebutkan, Rasulullah SAW sentiasa berzikir kepada Allah dan berdoa dalam setiap waktu dan keadaannya, terutamanya ketika solat malam yang merupakan waktu dan keadaan paling utama (afdhal). Pada waktu ini juga adalah detik turunnya Allah SWT (ke langit dunia iaitu pada sepertiga malam) dan penzahiran segenap cahaya rahmat, detik mustajabnya doa, serta kedekatan dan kehadiran-Nya. (Lihat Lama‘at al-Tanqih, 3/323)

Justeru kami nyatakan, detik waktu sebelum solat iaitu sebelum mengangkat Takbiratul Ihram juga adalah waktu mustajabnya doa dan turun rahmat Allah SWT. Maka, disunatkan untuk memperbanyakkan berzikir dan berdoa ketika waktu ini. Di antara zikir yang dianjurkan adalah membaca basmalah.

Seterusnya, berbalik kepada soalan yang diajukan, kami katakan bahawa kita dikehendaki bahkan diwajibkan untuk membaca basmalah setiap ketika membaca Surah al-Fatihah pada setiap rakaat. Hal ini kerana, Basmalah merupakan ayat pertama bagi surah al-Fatihah. Perkara ini merupakan suatu tuntutan wajib di sisi mazhab al-Syafi‘i berdasarkan beberapa dalil:

Pertama: Berdalilkan Qiraat al-Quran. Imam al-Syafi‘i membaca al-Quran menurut al-Quran mushaf ahli Makkah al-Mukarramah. Ahli Makkah pula membaca qiraat Imam Ibn Kathir al-Makki.

Qiraat Ibn Kathir al-Makki yang merupakan bacaan rasmi ahli Makkah ketika itu menjadikan basmalahsebagai ayat pertama surah al-Fatihah. Al-Imam al-Muqri’ Abu ‘Amr al-Dani berkata:

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ.. عَدَّهَا المَكِّيُّ وَالكُوفِيُّ وَلَمْ يَعُدَّهَا البَاقُونَ

Maksudnya: “Bismillahir Rahmanir Rahim.. Dikira sebagai satu ayat di sisi al-Makki (Ibn Kathir al-Makki) dan al-Kufi (‘Asim, Hamzah dan al-Kisa’i); manakala baki Qurra’ yang lain tidak mengiranya sebagai satu ayat.” (Lihat al-Bayan fi ‘Ad al-Ay, hlm. 139)

Kedua: Berdalilkan hadith Abu Hurairah R.A, beliau mengatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْحَمْدُ لِلَّهِ سَبْعُ آيَاتٍ، إِحْدَاهُنَّ بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ

Maksudnya: “Surah Alhamdulillahi (yakni surah al-Fatihah) mempunyai 7 ayat. Salah satu ayatnya ialah Bismillahir Rahmanir Rahim.”

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (3956); semua perawinya dinilai thiqah oleh Imam al-Haithami dalam Majma‘ al-Zawa’id (2/112)

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ ٱجۡعَلۡنِي مُقِيمَ ٱلصَّلَوٰةِ وَمِن ذُرِّيَّتِيۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلۡ دُعَآءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, jadikan aku orang yang mendirikan solat, begitu juga dengan zuriatku. Tuhanku, kabulkanlah doa kami.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply