Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum memberi tempoh kepada yang berhutang jika sekiranya mereka kurang kemampuan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

وَإِن كَانَ ذُو عُسۡرَةٖ فَنَظِرَةٌ إِلَىٰ مَيۡسَرَةٖۚ وَأَن تَصَدَّقُواْ خَيۡرٞ لَّكُمۡ إِن كُنتُمۡ تَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika orang yang berhutang itu sedang mengalami kesempitan hidup, maka berilah tempoh sehingga ia lapang hidupnya dan (sebaliknya) bahawa kamu sedekahkan hutang itu (kepadanya) adalah lebih baik untuk kamu, kalau kamu mengetahui (pahalanya yang besar yang kamu akan dapati kelak).”

(Surah al-Baqarah: 280)

Ibn Kathir berkata: Allah menyuruh pemberi pinjaman bersabar terhadap peminjam yang dalam kesukaran dan tidak mampu membayar hutangnya. Hendaklah dia menangguhkan pembayaran sehingga peminjam berada dalam keadaan yang lebih baik dan mampu membayar hutangnya. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 1/512)

Syeikh al-Maraghi menjelaskan ayat ini: “Sekiranya penghutang sedang mengalami kesulitan, hendaklah pemiutang menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutang. Namun begitu, bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menanggung kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi pemiutang dan lebih besar pahalanya di sisi Allah SWT daripada menunda masa pembayaran mereka.” (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/649)

Syeikh al-Sa’di berkata: Maksudnya, apabila seseorang memikul hutang dalam keadaan kesulitan dan tidak mampu menunaikan hutangnya, maka adalah wajib bagi pemilik piutang menangguhkan pembayaran itu sehingga orang yang berhutang berada dalam keadaan lapang. Adalah wajib bagi orang yang berhutang melunasi hutangnya secepat mungkin setelah memperoleh wang yang mencukupi, dengan cara yang dibenarkan. Jika pemilik piutang bersedekah dengan memaafkan keseluruhan atau sebahagian hutang, maka itu adalah lebih baik baginya. Ini juga akan memudahkan seseorang untuk konsisten dalam melaksanakan syariat, menjauhi amalan riba, serta berbuat kebajikan kepada mereka yang sedang dalam kesulitan. Semua ini disebabkan pengetahuannya bahawa suatu hari nanti, dia akan kembali kepada Allah dan amalannya akan diterima. Allah tidak akan menganiaya sesiapa pun walau sedikit pun. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 322)

Ayat di atas ditujukan kepada pemberi hutang agar memberi tambahan masa sekiranya mengetahui penghutang masih dalam kesulitan. Dia bakal mendapat pahala yang besar atas kelonggaran yang diberikan. Bahkan ganjaran yang lebih hebat berdasarkan ayat di atas, sekiranya diisytiharkan sebagai sedekah kepada penghutang tersebut. Semoga para penghutang dan pemberi hutang dapat sentiasa menjadikan suluhan Ilahi sebagai pemandu dalam setiap tindakan yang diambil.

Terdapat juga beberapa hadith yang menunjukkan kurniaan Allah kepada golongan yang kaya, yang memberi hutang serta menangguhkan pembayaran kerana yang berhutang amat miskin dan memerlukannya. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَنْظَرَ مُعْسِرًا، أَوْ وَضَعَ لَهُ، أَظَلَّهُ اللهُ فِي ظِلِّ عَرْشِهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ

Maksudnya: “Siapa yang menangguhkan orang yang susah untuk membayar hutang atau melepaskannya, maka Allah akan melindunginya di bawah lindungan Arasy-Nya pada hari Kiamat.”

Riwayat al-Tirmizi (1306) dan Ahmad (8711)

Al-Mubarakfuri berkata: Siapa yang menangguhkan dan memberi waktu kepada yang berhutang, yang fakir agar dapat dia bayar di kemudian hari, begitu juga melepasi hutangnya dengan menghadiahkan kepadanya atau mengurangkan sebahagian daripada hutang tersebut, maka Allah SWT akan melindunginya pada hari Kiamat di bawah lindungan Arasy. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 4/444)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ فضْلِكَ وَرَحْمَتِكَ ، فَإِنَّهُ لا يَمْلِكُهَا إِلا أَنْتَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu agar diberi kurniaan dan rahmat-Mu. Sesungguhnya tiada yang memilikinya kecuali-Mu.”

Leave a Reply