Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri, soalan saya adalah, Hawa diciptakan daripada apa? Memandangkan Nabi Adam daripada tanah. Dan asal usul kejadian manusia adakah daripada al-‘Alaq (Blood clot) (Surah al-‘Alaq: 2) atau air mani (Surah al-Tariq: 6)? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW. Amma ba’d:

Asal Usul Kejadian Hawa

Berhubung perkara ini, berdasarkan tafsiran al-Quran yang diriwayatkan daripada para Salaf, mereka menyampaikan kepada kita bahawa ibu kita, Saidatina Hawa diciptakan oleh Allah SWT daripada tulang rusuk kecil Nabi Adam AS.

Allah SWT berfirman menjelaskan berkenaan perkara ini dalam Muhkam al-Tanzil:

یَـٰۤأَیُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِی خَلَقَكُم مِّن نَّفۡسࣲ وَ ٰ⁠حِدَةࣲ وَخَلَقَ مِنۡهَا زَوۡجَهَا وَبَثَّ مِنۡهُمَا رِجَالࣰا كَثِیرࣰا وَنِسَاۤءࣰۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِی تَسَاۤءَلُونَ بِهِۦ وَٱلۡأَرۡحَامَۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَیۡكُمۡ رَقِیبࣰا

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya — Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya — zuriat keturunan — lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut-nyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.”

(Surah al-Nisa’: 1)

Ayat di atas mengisyaratkan bahawa Hawa diciptakan daripada unsur tubuh Nabi Adam AS itu sendiri. Imam Ibn Jarir al-Tabari ketika menafsirkan ayat di atas, meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Imam Mujahid bin Jabr, ilmuwan tafsir dalam kalangan Tabi‘in yang menafsirkan ayat: “وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا” [dan yang menjadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya], iaitu Hawa’ daripada tulang rusuk Adam ketika Baginda sedang tidur. Apabila Adam terjaga (dari tidurnya), Baginda menyebutkan: “Atha (أَثَا)” yang bermaksud wanita dalam bahasa Nabatieh (النَّبْطِيَة).

Imam al-Tabari juga meriwayatkan menerusi sanadnya daripada Imam Qatadah bin Di‘amah al-Sadusi, ilmuwan tafsir dalam kalangan tabi‘in juga yang menafsirkan ayat: “وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا” [dan yang menjadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya], iaitu Hawa’, ia diciptakan daripada (bahagian tubuh Adam) iaitu daripada salah satu tulang rusuk Baginda.

Seterusnya, Imam al-Tabari menyimpulkan bahawa makna ayat: “وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا” [dan yang menjadikan daripadanya (Adam) itu pasangannya] iaitu Allah menciptakan pasangan bagi Adam daripada jiwanya yang satu itu, maksudnya pasangan adalah orang kedua yang menemaninya. Para ulama tafsir mengatakan bahawa pasangannya adalah Hawa’.” (Lihat Jami‘ al-Bayan li Ta’wil Ay al-Quran, 6/340)

Imam Ibn Juzai al-Gharnati turut menyetujui pendapat ini seraya berkata: “Ayat: “مِّن نَّفْسٍ وَاحِدَةٍ” [Daripada jiwa yang satu] iaitu Nabi Adam AS, “زَوْجَهَا” [pasangannya] iaitu Hawa’, yang diciptakan daripada tulang rusuk Nabi Adam AS itu sendiri.” (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 1/176)

 

Proses Penciptaan Manusia: Segumpal Darah atau Air Mani?

Kami faham, kebanyakkan orang melihat zahirnya seakan-akan berlaku pertentangan (kontradiksi) antara ayat-ayat al-Quran berkenaan perkara ini. Allah SWT berfirman:

خَلَقَ ٱلۡإِنسَـٰنَ مِنۡ عَلَقٍ

Maksudnya: “(Allah) yang menciptakan manusia daripada segumpal darah.”

(Surah al- ‘Alaq: 2)

Ayat di atas menjelaskan, peringkat kedua proses penciptaan manusia selepas ia wujud dalam bentuk nutfah (air mani) adalah dalam bentuk segumpal darah (‘alaqah). Di dalam Tafsir al-Jalalain dijelaskan bahawa ayat: (خَلَقَ الإنْسان), Alif Lam itu adalah lil jins (الجِنْس) iaitu manusia secara keseluruhan. Seterusnya perkataan ‘alaq (عَلَقَ) adalah kata majmuk (plural) bagi ‘alaqah (عَلَقَةٌ) yang bermaksud: potongan kecil (segumpal) darah yang pekat.” (Lihat Tafsir al-Jalalayn, hlm. 814)

Allah SWT juga berfirman:

فَلۡیَنظُرِ ٱلۡإِنسَـٰنُ مِمَّ خُلِقَ ۝٥ خُلِقَ مِن مَّاۤءࣲ دَافِقࣲ ۝٦ یَخۡرُجُ مِنۢ بَیۡنِ ٱلصُّلۡبِ وَٱلتَّرَاۤىِٕبِ ۝٧

Maksudnya: “(Setelah mengetahui yang demikian), maka hendaklah manusia memikirkan: dari apa ia diciptakan (5). Ia diciptakan dari air (mani) yang memancut (ke dalam rahim) (6) Yang keluar dari ‘tulang sulbi’ lelaki dan ‘tulang dada’ perempuan.”

(Surah al-Tariq: 5-7)

Menerusi ayat di atas pula, Allah menyatakan bahawa peringkat pertama manusia diciptakan adalah daripada cantuman dua air mani (nutfah) yang digabungkan hasil persetubuhan. Air mani ini terhasil daripada suami yang menyetubuhi isteri serta merembeskan benihnya, lantas benih tersebut berkembang di dalam rahim si isteri.

Imam al-Baghawi berkata: “Kemudian Allah menjelaskan menerusi firman-Nya: [Manusia diciptakan daripada air mani yang memancar pekat] iaitu dipancarkan, ia dipancar dan dirembeskan ke dalam rahim perempuan, iaitu air mani. Kalimat dafiq (دَافِقٍ) di sini adalah fa‘il (pelaku) dengan makna maf‘ul (yang diperlakukan ke atasnya) seperti firman Allah: “عِيشَةٍ رَاضِيَةٍ” [Surah al-Haqqah: 21] Maksudnya: “Yang diredhai.” Perkataan al-Dafq (الدَّفَقُ) bermaksud mencurah/menuang, iaitu air mani lelaki dan perempuan, kerana anak itu terhasil/dicipta daripada cantuman kedua-duanya, menjadi satu unsur kerana percampuran antara dua unsur ini.” (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 8/394)

Kesimpulannya

Oleh yang demikian, berdasarkan penjelasan di atas, kami katakan bahawa sebenarnya tiada sebarang pertentangan dalam perkara ini sebaliknya Allah hanya menceritakan setiap peringkat secara khusus; ringkasnya, manusia dicipta daripada air mani yang dipancarkan di dalam rahim wanita, kemudian air mani lelaki di dalam rahim itu bercantum dengan air mani wanita dan berubah menjadi segumpal darah.

Lebih-lebih lagi, Imam al-Tahir bin ‘Asyur berkata mengharmonikan perkara di atas: “Makna [خَلَقَ الإنْسانَ مِن عَلَقٍ] bahawa air mani lelaki dan air mani perempuan selepas kedua-duanya bercampur dan berlalu sebuah tempoh yang mencukupi, maka dua unsur ini pun bergabung menjadi segumpal darah.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 30/438)

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبۡ لَنَا مِنۡ أَزۡوَ ٰ⁠جِنَا وَذُرِّیَّـٰتِنَا قُرَّةَ أَعۡیُنࣲ وَٱجۡعَلۡنَا لِلۡمُتَّقِینَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Jadikanlah isteri-isteri dan zuriat keturunan kami sebagai penyejuk mata, dan jadikanlah kami pemimpin dalam kalangan orang-orang yang bertakwa.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply