Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah mengamalkan sunnah tidak memotong rambut dan kuku termasuk misai dan janggut juga?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t,

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum kami menjawab persoalan yang diajukan saudara, kami melihat terdapat beberapa perbahasan ringkas yang perlu dijelaskan agar tidak timbul sebarang salah faham.

Hukum Memotong Rambut

Pertamanya, memotong rambut hukumnya adalah harus. Tiada arahan khusus pada penggayaan rambut; tiada anjuran memanjangkan rambut dan tiada larangan untuk memotong rambut. Syariat Islam hanya menggariskan panduan agar rambut sentiasa bersih dan kemas; sama ada pendek atau panjang.

Rasulullah SAW juga mempunyai gaya rambut yang bervariasi dan berbeza-beza. Terkadang baginda membiarkan rambut menjadi panjang. Terkadang baginda memendekkan rambut sedikit, terkadang baginda mencukurnya terutamanya selepas melaksanakan Umrah atau Haji.

Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani berkata ketika menjelaskan kepelbagaian gaya rambut Rasulullah SAW: “Adapun apa yang hadith isyaratkan adalah keadaan rambut Nabi SAW, adakalanya panjangnya mencapai dua bahu Baginda. Kadangkala, Baginda berambut panjang hingga belakang pundak, kemudian Baginda mengikatnya dan membuat tocang padanya. Keadaan seperti ini barangkali dilakukan kerana Baginda tiada masa yang mencukupi untuk merapikan atau memotong rambut Baginda; iaitu keadaan ketika sibuk bermusafir dan yang semisalnya.” (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/360)

Hukum Memotong Kuku

Seterusnya, memotong dan memendekkan kuku adalah sunat hukumnya, terutamanya pada hari Jumaat berdasarkan mazhab al-Syafi‘i. Anjuran sunat ini adalah berdasarkan hadith baginda Nabi SAW menerusi hadith ‘Abdullah bin ‘Umar bin al-Khattab R.Anhuma, bahawa Rasulullah bersabda:

الفِطْرَةُ خَمْسٌ – أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – : الخِتَانُ، وَالِاسْتِحْدَادُ ، وَنَتْفُ الْإِبْطِ، وَتَقْلِيمُ الْأَظْفَارِ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: “Amalan fitrah itu ada lima – atau lima perkara ini adalah antara tuntuan fitrah – : berkhatan, mencabut bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, memotong kuku, memendekkan misai.”

Riwayat al-Bukhari (5889) dan Muslim (257)

Anjuran ini sebaiknya dilaksanakan pada hari Jumaat, sepertimana qaul muktamad mazhab al-Syafi‘iyyah. Imam al-Nawawi berkata: “Imam al-Syafi‘i dan para ashab – semoga Allah merahmati mereka semua – telah menyebutkan bahawa dianjurkan (sunnah) memotong kuku; dan melaksanakannya perkara ini pada hari Jumaat (adalah yang terbaik).” (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/287)

Hukum Menyimpan Misai dan Janggut

Memelihara janggut pula adalah salah satu amalan sunnah yang digalakkan. Dalam masa yang sama, dibenarkan juga untuk memendekkan janggut atau mengemaskannya. ‘Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:

خَالِفُوا الْمُشْرِكِينَ؛ وَفِّرُوا اللِّحَى، وَأَحْفُوا الشَّوَارِبَ

Maksudnya: “Berbezalah kalian dengan orang-orang musyrikin. Biarkanlah janggut tumbuh dan pendekkanlah misai-misai kalian.”

Riwayat al-Bukhari (5892) dan Muslim (259)

Imam al-Nawawi ketika mensyarahkan hadith di atas berkata: “Makna (وَفِّرُوا) di dalam hadith di atas adalah tinggalkanlah ia sepertimana adanya, jangan diubahsuai atau ditukar keadaannya dengan memotong atau mencukurnya. al-Qadhi ‘Iyadh menyatakan makruh mencukur janggut, atau memendekkannya. Namun, sebenarnya memendekkan janggut dengan kadar segenggam adalah amalan yang baik dan pernah dilakukan oleh Ibn ‘Umar R.Anhuma. Sebahagian salaf juga tidak menyukai janggut dibiarkan terlampau panjang.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 3/151)

Akan tetapi, tidak digalakkan mencukur janggut kerana berlaku perbezaan pendapat dalam kalangan ulama mazhab al-Syafi‘iyyah berkenaan hukum mencukurnya. Khilaf tersebut berlegar antara makruh dan haram. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Imam ‘Abd al-Hamid al-Syarwani, dan kami ringkaskannya seperti noktah berikut:

  1. Haram, ini merupakan fatwa Imam Ibn al-Rif‘ah berdasarkan salah satu nas Imam al-Syafi‘i di dalam kitab al-Umm, fatwa Imam al-Zarkasyi, Imam al-Halimi di dalam kitab Syu‘ab al-Iman, Imam al-Qaffal al-Syasyi di dalam kitab Mahasin al-Syari‘ah, Imam al-Azra‘i.
  2. Makruh, ini merupakan fatwa Imam Abu al-Qasim al-Rafi‘i, Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami, Imam al-Ramli al-Kabir dan jumhur ulama mazhab al-Syafi‘i. Ini merupakan pendapat muktamad mazhab al-Syafi‘i.

Sebelum pernyataan Imam al-Syarwani di atas, Ibn Hajar al-Haitami ada mengatakan: “Adapun mencukur janggut maka hukumnya adalah makruh, begitu juga hukumnya dengan jambang di kedua-dua belah pipi (الْحَاجِبَانِ). Begitu juga, keumuman fatwa-fatwa para Imam (mazhab al-Syafi‘i) adalah memakruhkan memotong apa-apa bahagian daripada janggut secara mutlak.” (Lihat Hasyiah al-Syarwani ‘ala Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 9/376)

Imam al-Ramli al-Kabir berkata: “Pendapat Imam al-Hulaimi yang mengharamkan cukur janggut adalah dha‘if (di sisi pandangan mazhab al-Syafi‘i).” (Lihat Hasyiah al-Ramli al-Kabir ‘ala Syarh al-Raudh, 1/551)

Dalam masa yang sama, janggut yang terlalu panjang dan tidak kemas boleh merosakkan penampilan seseorang, dan ia sewajarnya dielakkan. Syeikh al-Islam Zakariyya al-Ansari menyebutkan, kepanjangan janggut yang melampau boleh merosakkan penampilan seseorang. (Lihat Asna al-Matalib fi Syarh al-Raudh al-Talib, 1/551)

Wajib kita menjaga kesucian, kekemasan dan ketertiban diri kerana ia merupakan Sunnah Rasulullah SAW yang agung dan begitu dituntut.

Semoga Allah mengurniakan kita ilmu yang bermanfaat dan kefaqihan (kefahaman yang baik dan kekuatan beramal soleh) dalam beragama. Sesungguhnya Dialah penjaga dan pelindung kita, dan Dialah sebaik-baik pelindung orang-orang yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اجْعَلْنَا مِنَ التَّوَّابِينَ وَاجْعَلْنَا مِنَ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Ya Allah jadikanlah kami dalam kalangan orang-orang yang bertaubat, dan jadikanlah kami dalam kalangan orang-orang yang bersuci.”

Wallahu a‘lam.

Leave a Reply